"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Khairuddin senyap: Rakyat mudah lupa, kata Ahli MPT Bersatu

SITI NUR ZAWANI MISCON
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff menganggap rakyat Malaysia mudah lupa apabila isu Menteri Pas yang melanggar perintah kuarantin wajib kini senyap tanpa tindakan lanjut yang dikenakan.

Menerusi ciapan Twitternya, beliau berkata, “Malaysian mudah lupa,” iaitu merujuk kepada persoalan ditimbulkan pengguna Rahmah Ghazali yang mempersoalkan perkembangan kes Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Pengguna tersebut mempersoalkan sekiranya kes Khairuddin boleh dianggap selesai dengan hanya memulangkan gaji empat bulannya.

“Dah sebulan lebih Khairuddin dikhabarkan tidak patuh kuarantin wajib, polis pun dah siasat, AG (Peguam Negara) pun dah terima kertas siasatan, bila nak bawa dia ke mahkamah?

“Lepas dia dah derma gaji dan RM50,000, kita dah boleh anggap dia tak bersalah ke?,” soalnya.

Menerusi komen yang ditinggalkan melalui hantaran Rais itu, Sayyed Alif Khan berkata kerajaan Muhyiddin sebenarnya tidak sanggup kehilangan walaupun satu ahli Parlimen.

“Begitulah rapuhnya. Tambahan pula, ini adalah kerajaan tidak sah. Oleh itu amalan tidak sah akan menjadi kebiasaan,” tulisnya.

Untuk rekod, Rais Hussin antara 27 ahli MPT bersama Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu yang mengeluarkan kenyataan menyokong penubuhan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, mereka juga menegaskan Bersatu membuat keputusan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dalam mesyuarat MPT pada 23 Februari lalu dan membentuk sebuah gabungan politik baharu dengan parti lain di luar PH.

Tiada ulasan: