"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ulama Pas keterlaluan - Ustaz Zolkharnain Abidin

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN

Saya menonton klip video ucapan seorang perwakilan Pas (Hassan Muhammad) dalam muktamar Pas yang berkata:
“… bila kita di Sabah, kita tidak bertanding. Untuk melahirkan rasa kecewa, boleh. Tapi rasa untuk menentang, tidak boleh. Nabi SAW sebut, sapa-sapa (sesiapa) yang cuba-cuba nak memecahbelahkan perpaduan kita, Nabi SAW sebut, faqtuluh, bunuh dia…”

Saya sempat meninjau hadith Nabi SAW yang ada ungkapan “faqtuluh (bunuh dia)”. Ada banyak hadith yang ada ungkapan itu termasuk hadith bunuh orang murtad.

Saya berjumpa sebuah hadith riwayat Muslim yang mungkin dirujuk oleh pembahas berkenaan.

Nabi SAW sebut, “Akan berlaku bencana besar. Sesiapa yang mahu memecahbelahkan urusan umat ini dalam keadaan mereka bersatu-padu, maka pukullah (bunuhlah) dia dengan pedang, biar siapa sekalipun dia.” (Muslim: 3442).

Memang ada riwayat yang lain yang menggunakan lafaz “faqtuluh (bunuhlah dia)”, ganti kepada “pukullah dia dengan pedang”, juga riwayat Muslim tetapi melalui jalur sanad yang lain.

Allah lebih tahu. Bagi saya, menggunakan hadith ini untuk menjustifikasikan kewajipan taat kepada pemimpin Pas dalam isu PRN Sabah agak keterlaluan dan janggal.

Apatah lagi, mewajarkan bunuh kepada mana-mana ahli Pas yang menentang keputusan pemimpin Pas dalam kes berkenaan. Ini sudut pandang saya:

1. Nabi SAW sebut, “memecah belahkan urusan umat ini” merujuk kepada umat Islam yang berada di bawah satu kepimpinan, bukan merujuk kepada Pas. Ungkapan “umat ini” tidak merujuk kepada Pas dan kepada mana-mana parti politik.

2. Lawan keputusan pemimpin dalam isu PRN Sabah adalah persoalan politik bukan persoalan aqidah (murtad), atau jenayah nyawa (bunuh), atau jenayah maruah (penzina sudah berkahwin) yang layak ditumpahkan darah.

3. Kedudukan pemimpin Pas tidaklah setaraf khalifah yang dibai’ah seperti Khulafa’ Rasyidin sehingga layak dibunuh jika ditentang. Para Khulafa’ Rasyidin sendiri tidak sewenang-wenang menghukum bunuh kepada penentang mereka.

4. Menentang pemimpin Pas tak sama dengan menentang kepimpinan umat kerana Pas hanya sebuah parti politik sama seperti parti politik yang lain. Kedudukan seseorang sebagai ahli parti politik tak sama dengan kedudukan seseorang di bawah kepimpinan umat.

5. Kegagalan Pas menyertai PRN Sabah kerana disailang oleh rakan politik parti itu. Namun pemimpin Pas tak membantahnya kerana menjaga beberapa kepentingan politik parti berkenaan. Wajarkah ahli yang membantah dibunuh?

Saya fikir pemimpin Pas perlu lebih berhati-hati dalam menggunakan hadith untuk menjustifikasikan kekecewaan mereka dalam politik. Jangan sampai dilabel penjual hadith pula selepas beberapa kali menjual ayat al-Quran.

Tiada ulasan: