"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan baru Anwar tanpa pemimpin DAP dalam Kabinet?

BORHAN AHMAD

Kerajaan baru yang bakal dibentuk selepas 13 Oktober ini besar kemungkinan tanpa DAP menyertai Kabinet walaupun menyokong usaha yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Ini kerana DAP tidak senang untuk bekerjasama dengan Umno manakala Umno pula tidak mahu bersama-sama kerajaan yang di dalamnya ada pemimpin DAP.

Inilah rumusan yang boleh diambil dengan apa yang berlaku sekarang menjelang tiga hari Anwar menghadap Yang Dipertuan Agong 13 Oktober ini.

Menurut orang kanan Datuk Seri Najib Razak, pemimpin yang banyak mempengaruhi sikap Umno sekarang, Umno memang sah tidak boleh lagi bekerjasama dengan Bersatu.

“Akar umbi Umno juga tidak boleh bersama dengan DAP,” kata Datuk Lokman Noor Adam dalam siri facebook live beliau.

Namun, katanya, Anwar boleh meredakan keadaan jika DAP tidak berada dalam Kabinet yang akan dibentuk Anwar nanti.

“Anwar kata dia ada 122 kerusi. Jika dia dapat tarik 19 MP Umno, dia kena mengekalkan 42 DAP dalam kerajaan tersebut.

“Kalau dia nak redakan keadaan, dia boleh minta DAP tidak berada dalam kerajaan. Itu akan kemungkinan besar meredakan keadaan,” kata Lokman, bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan ketika Najib adalah menterinya.

Kabinet itu nanti, kata Lokman, mungkin ada orang PKR, ada orang Umno, AMANAH tetapi tidak ada orang DAP.

Sebelum ini, Setiausaha Agong DAP, LIm Guan Eng berkata, DAP sukar untuk bekerjasama dengan Najib atau presiden Umno sekarang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita lawan Umno, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) kerana kita tak boleh terima dasar memecahbelahkan rakyat.

“Saya tegaskan di sini bahawa DAP tidak akan kerjasama dengan Umno di bawah pimpinan Zahid dan juga Najib,” katanya ketika berucap dalam ceramahnya di Kota Kinabalu, dua hari selepas Anwar mengumumkan mempunyai sokongan kukuh untuk membentuk kerajaan baru.

Isu bekerjasama dengan Umno menjadi isu pokok dalam pembentukan kerajaan baru yang diumumkan Anwar itu.

DAP dan AMANAH dalam kenyataan mereka sebaik sahaja Anwar mengumumkan beliau mempunyai sokongan itu berkata, mereka akan akan menyokong Anwar.

Namun selepas itu berbangkit, dari manakah sokongan ‘yang kuat’ yang diumumkan Anwar itu.

Presiden Umno, Ahmad Zahid mengumumkan Umno tidak akan menghalang mana-mana ahli parlimen Umno yang mahu menyokong usaha Anwar itu.

Penyokong Anwar pula berkata, kerjasama yang dibuat Anwar adalah dengan individu MP Umno tidak termasuk Najib dan Zahid.

Tiada ulasan: