"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri lawat lima negeri, tiga masjid, tiga IPT sebelum sah positif

Seperti semua kes Covid-19 lain, pengesan kontak kini berlumba dengan masa untuk mengesan individu yang mempunyai kontak dengan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Zulkifli Mohamad sejak 14 hari lepas.

Kali ini, tugas itu menjadi lebih mencabar kerana dua minggu sebelum dijangkiti, Zulkifli telah merasmikan pelbagai acara yang dihadiri ratusan peserta, merentasi beberapa negeri- jika berdasarkan hantaran di laman Facebooknya.

Negeri-negeri berkenaan ialah Sabah, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Beliau turut melawat Putrajaya dan Kuala Lumpur,

Di tempat-tempat berkenaan, beliau dilihat memberikan ucapan di atas pentas, atau menyampaikan sijil atau bantuan dalam acara yang dihadiri ramai peserta.

Pada kebanyakan masa, Zulkifli mengenakan pelitup muka, tetapi ada ketikanya- seperti di Kampung Serusup, Tuaran ketika beliau menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan pada 24 September- pelitup mukanya diturunkan ke bawah.

Lawatan ke Sabah itu merupakan titik genting. Selain kes penjara di Alor Setar, Kedah dan kes-kes yang dikaitkan dengan pendatang tanpa dokumen di Klang, Selangor, hampir semua kes di semenanjung Malaysia mempunyai kaitan dengan perjalanan ke Sabah.

Selepas pulang dari Sabah, Zulkifli telah melawat beberapa masjid di pelbagai negeri, kebanyakannya untuk menyampaikan khutbah atau ceramah.

Ini termasuklah Masjid Dato Kelana Petra, Nilai, yang pada hari ini mengumumkan penutupan serta-merta sehingga pengumuman lanjut kerana “beberapa suspek pesakit Covid-19 hadir ke masjid” berkenaan.

Zulkifli menyampaikan khutbah di situ sebanyak dua kali sejak pulang dari Sabah.

Masjid dan surau lain termasuklah Masjid Ulul Albab di Jerteh (25 September), Surau An-Nur di Bangi (27 September), Masjid Jamek Sultan Hisamuddin di Serdang (3 Oktober).

Selain acara-acara, menteri itu turut berkongsi gambar mesyuarat yang dihadirinya, termasuklah di pejabatnya, yang menyaksikan kebanyakan peserta mesyuarat tidak memakai pelitup muka.

Beliau turut melawat kedai makan, dan seperti pelanggan lain, dia menanggalkan pelitup mukanya untuk makan, seperti di Putrajaya (Kedai Pak Tam Sup Utara di Presint 8) dan Tuaran (Gerai Kelapa Bakar Kak Tini).

Dalam pengumumannya hari ini, Zulkifli menggesa semua pihak yang mempunyai kontak dengannya untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata menteri-menteri kabinet dan pegawai tertinggi kerajaan turut dikenakan perintah kuarantin di rumah, selepas berlakunya kontak dengan Zulkifli dalam satu mesyuarat pada 3 Oktober.

(Di bawah, Zulkifli dilihat mengenakan kopiah merah putih, di bahagian atas-kiri gambar).

Sidang khas MKN Covid-19, Oktober 3, 2020, kredit FB Muhyiddin Yassin.
Di bawah ini, disenaraikan tempat dan acara yang dilawati atau dihadiri menteri berkenaan sekembalinya dari Sabah, berdasarkan hantaran Facebooknya:

Majlis di Kampung Serusup.
24 September (Sabah)

Menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran.

- Kampung Serusup, Tuaran
Menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan sebagai sebahagian daripada program Food Bank Yapeim.

- Gerai Kelapa Bakar Kak Tini
Makan tengah hari.

- Kediaman Sakaran Dandai

Melawat bekas gabenor Sabah dan isterinya (gambar, atas).

- Lapangan Terbang Kota Kinabalu

Berlepas dari Sabah, dihantar oleh Mufti Sabah Bungsu @ Aziz Jaafar.

25 September (Kelantan, Terengganu & Putrajaya)

- Dewan Jubli Perak, Kota Bharu

Menghadiri Hari Terbuka Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

- Sekolah Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu
Menyampaikan bantuan kewangan kepada sekolah.

- Masjid Ulu Albab, Jerteh
Menyampaikan khutbah Jumaat.

- Kedai Pak Tam Putrajaya Sup Utara, Presint 8, Putrajaya

Minum (atas).

26 September (Kelantan, Kuala Lumpur)

-Dewan Jubli Perak, Kota Bharu
Menghadiri program ‘Tausiyah Khas Sempena Hari Terbuka Yadim’.

- Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa
Berlepas dari Kelantan.

- PPR Pantai Ria, Kuala Lumpur
Mengagihkan zakat kepada penerima, sebagai sebahagian daripada program ‘Projek Bakul Rezeki Khaira PPZ’ (bawah).

27 September (Selangor)

- Surau An-Nur, Bangi
Menyampaikan kuliah (bawah).

30 September (Selangor)

- Hotel Movenpick, Sepang
Menghadiri ‘Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara’ pada 30 September.

2 Oktober (Negeri Sembilan)

- Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Melancarkan portal ‘Jom Infaq’ di Usim, Nilai. Turut menyampaikan khutbah Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Mukhriz di universiti itu, dan mengadakan mesyuarat dengan pihak pengurusan universiti.

Zulkifli Mohamad menghadiri mesyuarat dengan pihak pengurusan Usim pada 2 Oktober, 2020.
3 Oktober (Selangor)
- Jabatan Perdana Menteri
Menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

- Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Serdang

Menyampaikan kuliah.

- Dewan Muktamar Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Bharu
Menghadiri Majlis Pengijazahan Perubatan dan Pengubatan Islam Darussyifa’ Sesi 2020 dan Majlis Penganugerahan Darul Quran Jakim.

Zulkifli Mohamad menyampaikan bantuan kepada pelajar UiTM, 4 Oktober 2020.
4 Oktober (Selangor)

- Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam
Menyampaikan bantuan kepada pelajar (atas).

- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi
Menyampaikan bantuan kepada pelajar.

- Hotel Geno, Subang Jaya
Menghadiri ‘Majlis Tilawah dan Hafazan al-Qur’an KAFA Peringkat Kebangsaan 1442 / 2020’. (bawah).

Tiada ulasan: