"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Covid-19: Rakyat ada hak ambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan

MUHAMMAD RAFIQUE RASHID ALI
Peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 kebelakangan ini amat memeranjatkan. Semalam, angkanya mencecah 691 kes berbanding 260 kes baharu pada 1 Oktober.

Keseluruhan rakyat menyuarakan kebimbangan dan kritikan pedas terhadap pihak kerajaan yang dilihat tidak berkeupayaan untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam membendung penyebaran wabak berbahaya ini.

Artikel ringkas ini bertujuan untuk melihat dan mengenalpasti apakah punca-punca peningkatan kes secara mendadak tersebut dan apakah remedi undang-undang yang tersedia kepada rakyat untuk membawa tindakan undang-undang terhadap kerajaan.

Gelombang pertama wabak Covid-19 melanda negara pada 24.01.2020 sehingga 13.02.2020. Dalam tempoh itu hanya 22 kes dicatatkan. Kemudiannya sifar kes mulai 14.02.2020 sehingga 27.02.2020.

Walaubagaimanapun, keupayaan kerajaan Pakatan Harapan dalam membendung wabak ini tidak dapat dinilai dengan adil kerana mereka mempunyai tempoh yang singkat di mana kerajaan PH jatuh pada 24.02.2020.

Pada 24.02.2020, negara dilanda krisis politik yang mengakibatkan jatuhnya kerajaan PH. Pada 01.03.2020, Tas Sri Muhyiddin Yasin dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 menggantikan Tun Dr. Mahathir dan kemudiannya membentuk kerajaan baharu.

Dato’ Adham Baba kemudiannya dilantik menjadi Menteri Kesihatan yang baharu. Untuk rekod, dari 27.02.2020- 18.03.2020, sebanyak 768 kes dicatatkan.

Melalui penguatkuasaan PKP, PKPB dan PKPP, kerajaan Tan Sri Muhyiddin dilihat mampu membendung penularan wabak Covid-19 tetapi tempoh 31.08.2020 sehingga hari ini (06.10.2020) adalah menarik perhatian rakyat kerana peningkatan yang amat-amat ketara.

Kami telah melihat kembali pola penularan wabak Covid-19 ini mulai gerakan oleh kerajaan pusat di Sabah. Pada 29.07.2020, Tan Sri Musa Aman mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu Sabah.

Pada 30.07.2020, Yang Di-Pertua Sabah telah berkenan untuk membubarkan DUN Sabah. Pada 27.08.2020, SPR mengumumkan bahawa PRN Sabah akan diadakan pada 26.09.2020 dan penamaan calon adalah pada 12.09.2020. Tempoh berkempen bermula pada 12.09.2020 sehingga jam 11.59 malam 25.09.2020.

Ahli-ahli politik dari serata negara termasuk Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri serta Exco-Exco Negeri telah ke Sabah untuk berkempen. PRN Sabah ini terpaksa diadakan memandangkan cubaan mengambil alih kuasa sah pilihan rakyat di tangan kerajaan Warisan.

Ini jelas apabila TS Musa Aman menamakan Menteri Dalam Negeri dan seorang setiausaha politik kepada Perdana Menteri yang terlibat berjumpa dengan TYT Yang Di-Pertua Sabah.

Peningkatan kes secara mendadak dilihat telah berlaku bermula dari tempoh pembubaran DUN Sabah sehingga kini. Ini antara lainnya disebabkan oleh Menteri-Menteri dan ahli-ahli politik yang berkunjung ke Sabah telah tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

Walaupun Sabah adalah ‘kawasan merah’, namun mereka semasa berkempen telah tidak mematuhi SOP yang ditetapkan. Sedikit sebanyak perkara ini diakui sendiri oleh Tan Sri Muhyiddin di dalam Perutusan Khas semalam.

Apa yang lebih memeranjatkan selepas mereka pulang ke Semenanjung, mereka telah tidak melakukan sebarang kuarantin selama 14 hari. Mereka masih bergerak bebas menjalankan tugas seperti biasa demi menjadi ‘kerajaan popular’ di mata rakyat.

Menteri Kanan (Pertahanan) DS Ismail Sabri baru-baru ini berkata bahawa kes positif dari Sabah tidak hanya melibatkan ahli politik sahaja bahkan orang awam juga. Menteri Kesihatan pula berkata bahawa peningkatan kes adalah disebabkan oleh kealpaan rakyat dalam mematuhi SOP.

Pada 12.09.2020, DS Ismail Sabri dilaporkan berkata bahawa tiada kuarantin adalah diwajibkan untuk mereka yang pulang dari Sabah. Pada 29.09.2020, beliau selanjutnya menyatakan melalui akaun Facebook miliknya:

“Perlu kuarantin di rumah sehingga dapat result. Dengan izin Allah selepas result negatif perlu ke klinik kesihatan untuk potong gelang kuarantin. Ramai yang tanya kenapa bukan 14 hari? Rentas negeri kita benarkan. Sabah samalah dengan negeri lain.

“Seperti Kedah, terdapat kes mendadak kita tidak kuarantin pun mereka yang datang dari Kedah. Namun kita buat swab test mereka yang balik dari Sabah kerana peningkatan kes. Swab test untuk kepastian status. Jika negatif terus lah dibebaskan dari kuarantin.

“Lagipun, seluruh Sabah tidak ‘red zone’ kecuali 4 daerah. Walaupun dah bebas kerana negatif namun mesti teruskan kawalan kendiri. Patuhi setiap SOP” .

Kecuaian oleh kerajaan dalam menangani penyebaran wabak berbahaya ini hingga menyebabkan kesusahan dan/atau kerugian kepada rakyat, maka rakyat mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan di mahkamah.

Sama ada tindakan undang-undang tersebut akan dibenarkan oleh mahkamah atau tidak, ianya adalah perkara lain.

Sebagai contoh, di dalam kes Kerajaan Malaysia & Ors v Lay Kee Tee & Ors [2009] 1 MLJ 1, kesemua 184 Plaintif-Plaintif adalah sama ada orang yang mengalami penyakit akibat daripada Japanese Encephalitis (‘JE’)/virus Nipah atau tanggungan orang yang mati akibat daripada JE/virus nipah atau pemilik ladang khinzir yang terjejas akibat daripada JE/virus Nipah.

Bimbang mengenai virus tersebut, Plaintif-Plaintif yang terlibat meminta kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk mengawal virus daripada merebak. Kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri tersebut masing-masing telah gagal bertindak dengan segera, sebaliknya membenarkan dan/atau menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan Plaintif-Plaintif mengalami kesakitan.

Kausa tindakan Plaintif-Plaintif adalah, antara lain, untuk kecuaian, kemungkiran tanggungjawab fidusiari, pelanggaran kewajipan statutori, kecuaian salah nyata, fraud, kehilangan hak-hak asas secara yang salah di sisi undang-undang, misfeasans jawatan awam dan pencerobohan terhadap tanah, bangunan dan barangan.

Di dalam kes Master Brisbane ak Itang v Robinson Lee & Ors [2014] 2 MLJ 565 pula, isu yang timbul ialah sama ada Jabatan/Kementerian Kesihatan terhutang kewajipan berjaga-jaga kepada perayu untuk memastikan perayu sudah diimunkan terhadap virus Japanese Encephalitis (‘JE’).

Harus ditekankan di sini bahawa meskipun kedua-dua kes di atas ditolak oleh Mahkamah, apa yang penting adalah bahawa satu tindakan undang-undang di bawah tort kecuaian boleh dibawa oleh rakyat yang terjejas dengan tindakan dan/atau omission oleh kerajaan dalam membendung penyebaran wabak ini.

Maka, persoalannya adalah adakah Kerajaan ini harus dibiarkan terus menerus alpa dan lalai dalam tanggungjawabnya tanpa sebarang mekanisme untuk ‘merotan’ mereka?

Artikel ini bermaksud untuk menelusuri tindakan perundangan yang mungkin boleh digunapakai sebagai satu mekanisme semak imbang.


*Disediakan oleh: Law Practice of Rafique, Peguambela & Peguamcara, Shah Alam.

Tiada ulasan: