"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Belanjawan 2021: Pas hanya mampu menikus

MOHD ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN

Selepas Belanjawan 2021 dibentang pada 6 November lalu, pasti menarik untuk ditinjau pendapat atau pandangan ahli-ahli Parlimen dalam pelbagai perkara.

Tatkala ahli Parlimen pembangkang dan sebahagian daripada parti pemerintah memberikan pandangan kritikal dan lantang, berbeza pula dengan Pas yang mendakwa kononnya memperjuangkan Islam.

Bayangkan, sepanjang perbahasan yang masih berlangsung, hampir atau tiada langsung kedengaran suara lantang Pas memberikan pandangan yang berbeza dengan kerajaan.

Apa sahaja yang disuap dalam belanjawan, itu jugalah yang ditelan tanpa kunyah oleh seluruh ahli Parlimen Pas.

Hatta ketika Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah diserang oleh ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing kerana tidak turun padang di Sabah tatkala Covid-19 meningkat tinggi di negeri itu, tiada reaksi spontan daripada ahli Parlimen Pas bangkit membantah kenyataan itu.

Kalau pun ada, kenyataan oleh ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzah Hashim. Tetapi sanggahan itu pula dibuat di luar Dewan Rakyat, walhal sepatutnya kalau benar Pas anak jantan dan tak takut hilang jawatan, sanggah sahajalah di dalam Parlimen ketika Tiong bersikap biadab.

Respon yang diberikan seperti disiarkan dalam Harakahdaily bukan sahaja lembik, malah tidak mencerminkan langsung kegarangan yang dibangga-banggakan oleh sekalian ahlinya selama ini.

Apa yang mampu disebut hanyalah sokongan kepada Dr Noor Hisham dan gesaan supaya perbuatan biadab seperti itu tidak diulang lagi pada masa akan datang. Demikian perubahan Pas daripada singa menjadi tikus. Langsung tidak berani mengangkat suara atau membalas herdikan biadab Tiong itu.

Sepatutnya pada waktu beginilah Pas bersuara lantang menjadi pembela pertama kepada penjawat awam popular itu. Itulah yang sepatutnya kerana beliau tidak berada dalam Dewan Rakyat untuk membela dirinya sendiri.

Sudahlah tidak dapat membela diri sendiri, Menteri Kesihatan dan dua Timbalan Menteri yang langsung tidak boleh diharap pun lesap tidak bersuara.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan turut mengejutkan rakyat seluruh negara apabila kerajaan sanggup menyediakan peruntukan sebanyak RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa). Dan seperti biasa sejak menjadi kerajaan, Pas juga tidak bersuara lantang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan yang juga ahli Parlimen Kota Bharu ketika mengulas tentang peruntukan itu sekadar berkata bahawa isu tersebut masih boleh dibincangkan.

Begitu lemahnya Pas dalam isu peruntukan belanjawan ini sehingga Dewan Ulama Pas Pusat pula menganggap Belanjawan 2021 sebagai menyerlah kebajikan buat rakyat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 7 November 2020, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang juga ahli Parlimen Pasir Puteh langsung tidak menyentuh atau mempertikaikan peruntukan kepada Jasa.

Sebaliknya cukup dengan memberi sokongan penuh kepada belanjawan tersebut. Jika begini sikap dan pendirian yang diambil oleh ketua dewan ulama yang dianggap institusi terpenting dan tersuci dalam kalangan ahli-ahli Pas, maka boleh dijangkakan sikap dan kebaculan yang sama akan diamalkan oleh semua ahli Parlimen mereka.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula membandingkannya dengan peruntukan membaikpulih sekolah daif yang telah dikurangkan kepada RM58 juta manakala untuk Kesihatan Mental pula hanya diberikan RM24 juta.

Sudah tentu sekali imbas kita boleh melihat dengan ketara perbezaan dan keutamaan yang diperlukan antara ketiga-tiga perkara ini dengan jumlah peruntukan yang dijanjikan oleh kerajaan.

Pas juga kalau masih waras dan sedar pasti tahu bahawa Jasa pun tiada jasa kepada parti itu malah kerap dijadikan mangsa propaganda ketika pentadbiran Umno-BN dahulu. Malah kalau diminta oleh Pas supaya menyenaraikan kebaikan Jasa kepada pembangunan negara juga rasanya akan mengambil masa yang lama untuk memikirkan jawapan.

Tetapi demikianlah Pas. Mungkin kerana mulut terlalu penuh disumbat dedak jawatan kabinet, GLC dan elaun yang tinggi, maka parti itu kini hanya menjadi pak angguk sahaja.

Tradisi Pas yang kononnya memperjuangkan nasib rakyat juga boleh dipertikaikan apabila ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari pula mempertikaikan kritikan dan syarat yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Pekan, Najib Razak semasa perbahasan belanjawan itu.

Desakan Najib yang membawa suara Umno supaya kerajaan melanjutkan moratorium sehingga tempoh enam bulan. Najib juga menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran sekali bagi (one-off) hingga RM10,000 daripada akaun 1 KWSP.

Memanglah kita boleh pertikaikan kredibiliti Najib kerana skandal 1MDB yang masih membelit peribadinya, tetapi apabila Fadhli menempelak gesaan itu sebagai syarat Puteri Gunung Ledang, maka jelaslah beliau gagal memahami pula masalah yang ditanggung oleh rakyat.

Ketika Covid-19 masih kuat membadai dan rakyat pula semakin dihimpit kesusahan, bukan sahaja Pas dalam kerajaan pusat lemah dan lembik. Di peringkat negeri Kelantan juga sama.

Semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada minggu ini berlangsung, sebulat suara sekalian wakil-wakil rakyat negeri itu meluluskan kenaikan elaun melalui Rang Undang-Undang (RUU) Saraan Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Dewan Negeri pindaan 2020.

Awal tahun ini, kecoh pula tindakan Kerajaan Negeri Kelantan membeli 14 kereta mewah Mercedes Benz sebagai kenderaan rasmi Menteri Besar dan Exco-Exco. Besar sungguh nafsu dan selera pemimpin Pas ketika ini.

Berbeza sungguh sikap pemimpin Pas sekarang dengan kisah-kisah kesederhanaan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz yang selalu disebarkan oleh para pimpinan parti itu bagi meraih sokongan rakyat supaya memilih Pas sebagai kerajaan.

Kalau selera dan nafsu semakin besar selari dengan pencapaian yang diperoleh sebagai kerajaan negeri Kelantan, mungkinlah boleh diberikan peluang kepada mereka untuk mengecapi nikmat dunia.

Malangnya, wakil-wakil rakyat merasa naik elaun dan pimpinan kerajaan negeri pula dapat naik kereta mewah tetapi rakyat bawahan terpaksa menanggung keperitan akibat bekalan air kotor yang masuk ke dalam rumah.

Malah terpaksa pula menunggu masalah itu diselesaikan selama berpuluh-puluh tahun.

Demikian kisah kegagalan Pas mengamalkan konsep perjuangan dan pentadbiran Islam seperti yang kerap dilaung-laungkan.

Tiada ulasan: