"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muafakat Nasional bukan penyatu Melayu

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN

Berbeza parti politik tidak bermakna orang Melayu berpecah. Bagi orang parti cap agama, setelah wujud Muafakat Nasional (MN), orang Melayu dianggap sudah bersatu, tidak lagi berpecah. Bagi parti itu, MN penyatu Melayu.

Orang Melayu tidak berpecah kerana berbeza parti politik. Jika berbeza parti politik dianggap berpecah, maka sampai kiamat orang Melayu tidak bersatu. Cuba beritahu, semenjak bila orang Melayu pernah bersatu jika logik lebai parti cap agama dipakai?

Katakan orang Melayu dalam MN ada sejuta orang, bagaimana dengan 20 juta orang Melayu di luar MN? Takkan sejuta orang dianggap bersatu sementara 20 juta orang dianggap berpecah? Matematik apa lebai guna?

Penyatuan orang Melayu tidak berlaku melalui MN kerana dalam konteks bernegara, penyatuan berlaku dalam kalangan orang Melayu bahkan dalam kalangan rakyat melalui penghayatan Rukunegara.

Jika orang Melayu menghayati Rukunegara, dalam parti manapun orang Melayu berada, mereka bersatu. Dakwaan kononnya orang Melayu bersatu dengan kewujudan MN adalah dongeng yang dibawa oleh pemimpin parti cap agama untuk menghalalkan keselingkuhan parti itu dengan kleptokrat.

Setelah lebai jual agama, kononnya kalau parti cap agama jadi kerajaan hudud akan dibuat, penyebab kematian Adib akan ditangkap, pramugari diwajib tutup aurat dan RUU 355 dipinda, dan jualan itu nampaknya tidak laku, lebai beralih jual Melayu pula.

Konon-kononnya parti cap agama pimpinan lebai menyatukan orang Melayu, padahal lebailah hakikatnya pihak yang menjahanamkan Melayu melalui fahaman takfiri.

Lebai lupa itu semua? Bukankah dulu lebai lawan Umno kerana kononnya Umno parti asabiah Melayu, kini lebai tampil jadi pejuang Melayu pula?

Sudah-sudahlah lebai bermain dengan retorik Melayu dan agama. Orang Melayu tidak berpecah kerana berbeza parti politik dan MN bukan penyatu orang Melayu.

Bahkan orang Melayu tidak perlukan MN untuk bersatu kerana orang Melayu berada dalam negara yang punya Rukunegara.

Parti cap agama sudah kehabisan modal politik. Gayutan mereka kepada Muhyidin semakin rapuh, menunggu masa untuk runtuh. Sementara boleh bertongkat, disambarlah sana-sini pelbagai tongkat dan tongkat terakhir adalah tongkat Melayu.

Kesian orang bukan Melayu dalam parti cap agama. Di depan mereka lebai bercakap soal kemanusiaan merentas bangsa, tetapi di belakang mereka lebai mainkan sentimen Melayu.

Saranan Ku Li supaya Umno mengkaji hubungan politik dengan parti cap agama merumuskan bahawa Ku Li tahu sandiwara politik parti itu.

Ku Li bukan kenal parti cap agama sehari dua macam lebai yang baru masuk parti itu tahun lepas, tapi Ku Li sudah masak dengan sandiwara lebai parti itu.

Tiada ulasan: