"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin terus disakat?

Mohsin Abdullah

Ketika artikel ini ditulis, FMT melaporkan Presiden Ummo, Ahmad Zahid Hamidi, yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata soal sokongan majoriti kepada pentadbiran Muhyiddin Yassin mesti dirungkai dan Dewan Rakyatlah pentas terbaik untuk tentukan kestabilan politik.

Zahid dipetik berkata demikian semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri Muhyiddin tidak pernah mengumumkan secara rasmi angka sokongan terhadap beliau di Dewan Rakyat. Lalu kita terpaksa melakukan kira-kira sendiri atau “do the math” untuk tahu berapa ramai ahli Parlimen yang menyokong beliau.

Umpamanya, Julai lalu ketika Muhyiddin membentangkan usul untuk menukar speaker Parlimen (untuk “mengeluarkan” Mohamad Ariff Md Yusof). Kita tahu selepas pengundian, usul itu diluluskan dengan kemenangan tipis.

Seramai 111 ahli Parlimen menyokong manakala 109 menentang. Ketika itu 2 ahli Parlimen tidak mengundi. Kedua-duanya wakil kerajaan. Lantas disimpulkan Muhyiddin ada 113 ahli Parlimen menyokongnya.

Yang menentang seperti dikatakan tadi ialah 109. Berdasarkan itu Muhyiddin dilihat memegang majoriti 4 dalam Parlimen yang mempunyai 222 ahli. Majoriti 4 amat tipis untuk menarik nafas lega.

Itu pada Julai. Adakah perkiraan itu masih boleh digunakan? Apatah lagi baru-baru ini ahli Parlimen Gerik mewakili Barisan Nasional meninggal dunia. 

Apa pun golongan penentang untuk sekian lama mahu menguji sejauh mana Muhyiddin ada sokongan. Mereka berhasrat membawa usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

Dr Mahathir Mohamad ada berbuat demikian. Walaupun usul diterima speaker lama, Ariff, ia tidak dibentang apabila speaker baru, Azhar Azizan Harun, tidak memberi kesempatan kerana kata beliau, mengikut peraturan persidangan, urusan kerajaan mesti diberi keutamaan.

Pada sesi Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang diberitakan ada 25 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Seperti yang semua maklum jika usul itu berjaya Muhyiddin terpkasa letak jawatan kerana beliau tidak mendapat sokongan majoriti.

Dalam pada itu, diberitakakan juga ada 2 usul undi percaya untuk menyokong Muhyiddin yang dikemukakan kepada speaker. Yang mengemukan usul berkenaan ialah ahli Parlimen BN, Shahidan Kassim, dan ahli Parlimen PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Umno kita tahu tidak berada dalam Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin walaupun beberapa orang kanannya ada dalam kerajaan. PAS berada dalam Muafakat Nasional bersama Umno dan juga duduk dalam PN bersama Muhyiddin dan partinya, PPBM.

Berbalik kepada ucapan Zahid tadi seperti yang dilapor FMT. Kata beliau, sama ada terdapat usul percaya atau sebaliknya hendaklah diuji di Dewan Rakyat dan jika ini tidak dapat dilakukan kerana kekangan peraturan mesyuarat, sesuatu mesti dipersesuaikan dengan urusan kerajaan mesti diutamakan.

Oleh itu, Zahid mencadangkan “biarlah kerajaan yang menjadikannya sebagai urusan kerajaan”. Gesaan itu mendapat sokongan seorang lagi ahli Parlimen BN, Ahmad Maslan.

Dalam erti kata lain, mereka mahu kerajaan sendiri yang membawa usul percaya itu.

Tetapi perlu diingat pakar perlembangaan kerap mengingatkan usul tidak percaya dengan usul percaya sama sahaja. Bezanya cuma nama. Kedua-dua menyaksikan perdana menteri diuji di Parlimen. Kedua-duanya membawa risiko terhadap perdana menteri. Oleh kerana angka sokongan majoriti terhadap Muyiddin tidak dapat dipastikan, risikonya amat tinggi. Kedua-dua usul boleh menyaksikan beliau terpaksa melepaskan jawatan perdana menteri.

Bagi usul tidak percaya, Muhyiddin mesti kalahkan usul itu untuk kekal perdana menteri. Dalam hal undi percaya pula, Muhyididn mesti menang untuk terus jadi perdana menteri. Seperti dikatakan tadi kedua-duanya meletakkan beliau dalam situasi diuji.

Matlamat usul undi tidak percaya jelas. Namanya menceritakan segala-galanya. Namun usul percaya walaupun bertujuan menyokong, boleh juga diibaratkan satu usaha “sokong bawa rebah”.

Teringat pula saya akan perkataan “sakat”. Melakukan “sakat” bolehlah disebut “menyakat”. Menurut kamus Melayu, takrif “menyakat” ialah mengusik supaya menjadi takut, menangis, dan lain-lain. Ia juga membawa erti mempersenda dan mengejek.

Tidak tahu lah saya jika gesaan Zahid yang disokong Ahmad supaya kerajaan sendiri yang bawa usul undi percaya untuk Muhyiddin boleh dianggap “menyakat”?. Allahu a’lam. Adakah kerajaan akan membawa usul itu?

Apa pun Muhyiddin tetap berdepan dengan kedudukan amat tidak menyenangkan apabila Belanjawan 2021 melalui proses pengudian di Parlimen.

Kegagalan Belanjawan 2021 diluluskan Parlimen boleh menyaksikan Muhyiddin melepaskan jawatan.

Adakah ahli Parlimen khususnya pembangkang akan bertindak tidak menyokong Belanjawan 2021? Saya bukan “ahli nujum” dan tidak punyai gelok jampi Pak Belalang untuk tilik-menilik.

Kita tahu Yang di-Pertuan Agong mahu Belanjawan 2021 disokong semua pihak – ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang – dan diluluskan demi kebaikan dan kesejahteraan negara.

Seperti yang saya tulis pada artikel saya awal bulan ini, walaupun Agong bertitah demikan ia boleh membawa makna “the onus” atau menjadi tanggungjawab kerajaan khususnya perdana menteri memastikan Belanjawan 2021 benar-benar memberi kebaikan kepada rakyat yang kini dilanda kesusahan akibat wabak Covid-19.

Adakah belanjawan itu memenuhi hasrat itu? Jika jawapannya tidak, adakah tindakan tidak menyokong boleh dianggap sebagai mengingkari nasihat Agong?

Kita sudah lihat dan dengar rungutan pelbagai pihak terhadap “kelemahan” belanjawan yang dibentangkan.

Beberapa ahli Parlimen termasuk mereka yang mewakili Umno kelihatan seolah-olah tidak terlalu teruja menyokongnya. Melainkan cadangan mereka (untuk memperbaiki belanjawan) diterima.

Mungkin itu mendorong Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz memberi peringatan bahawa gaji penjawat awam, pekerja kesihatan, dan agihan wang tunai akan tertangguh jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan Dewan Rakyat.

Tampil peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah menyatakan gaji penjawat awam masih boleh dibayar jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan dengan memberi dalil yang saya tidak berhasrat mengulanginya di sini.

Kata beliau, ahli Parlimen “bertanggungjawab tidak menyokong belanjawan jika cadangan mereka tidak diterima dan aspirasi pengundi tidak dipenuhi”.

Respon Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim ialah kenyataan menteri kewangan berbaur ugutan dan percubaan untuk mengenepikan “suara majoriti”.

Pengundian untuk Belanjawan 2021 dijadual 25 November ini. Lazimnya ahli Parlimen mengundi mengikut pendiran atau arahan parti. Adakah amalan ini akan diteruskan?

Ahli Parlimen BN, Tengku Razaleigh Hamzah, yang mengganggotai Dewan Rakyat selama 11 penggal sejak 1974 berkata, undi Belanjawan 2021 ikut naluri bukan ikut parti.

“Kami mengundi berdasarkan kehendak pengundi. Jika mereka kata putih, kami pilih putih,” kata beliau.

Berkata pula ahli Parlimen Amanah, Salahuddin Ayub – mengingatkan kerajaan supaya “surrender” atau menyerah kalah secara aman jika gagal mendapat sokongan mencukupi untuk Belanjawan 2021 diluluskan.

Apa akan jadi 25 November ini? Kalaulah kita ada gelok jampi Pak Belalang

Tiada ulasan: