"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi: PAS tolak sertai ‘khemah besar’ dengan PH kerana ada ‘tikus’, ‘kucing’

FMT Reporters

PETALING JAYA: PAS berpendirian menolak kerjasama “khemah besar” dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU 15).

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata, parti itu enggan bersama dengan parti-parti dalam khemah besar PH yang diumpamakan sebagai tikus dan kucing yang boleh bercakaran antara satu lain.

“PAS ada kumpulan sendiri dan kita masih terus melaksanakan agenda perpaduan ummah.

“Kita tidak ikut khemah besar kerana di dalamnya ada tikus, kucing dan macam-macam. Kita bukan khemah, kita bawa agenda perpaduan ummah,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Hadi membayangkan agenda perpaduan yang didukung PAS, disertai Bersatu, Umno dan golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.

Rabu lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Md Nor berkata, parti itu tidak akan menyertai “khemah besar” yang dicadangkan PH mengambil kira pengalaman 20 tahun bersama PKR dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, perbincangan berhubung kerjasama politik itu membabitkan PH dan Perikatan Nasional (PN), dengan PAS hanya komponen dalam PN.

Rancangan mewujudkan “khemah besar” dalam kalangan parti pembangkang kini hangat diperkatakan, terutama PH yang bermatlamat menewaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Biarpun belum diperincikan, wujud perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan utama PH berhubung konsep gabungan itu apabila Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, konsep yang dipersetujui dalam resolusi Port Dickson adalah kerjasama blok pembangkang tanpa membabitkan PN yang diterajui Bersatu.

Pendirian Anthony itu senada dengan pendapat Presiden Amanah Mohamad Sabu bahawa tidak timbul cadangan untuk menarik penyertaan PN apatah lagi PAS ke dalamnya.

Bagaimanapun, nada Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub sedikit berbeza yang melihat keperluan membuka ruang perbincangan dengan PN, khususnya Bersatu.

Tiada ulasan: