"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS guna Taliban demi tingkat imej Islamik, kata Bukit Aman

FMT Reporters

PAS mengucapkan tahniah kepada Taliban apabila mereka mengambil alih kerajaan Afghanistan selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara bergolak itu pada Ogos tahun lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PAS menggunakan Taliban demi meningkatkan imej Islamiknya, kata Ketua Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Normah Ishak.

Bercakap dalam webinar bertajuk, “Alumni Afghan Generasi Seterusnya? Penilaian daripada SEA”, Normah berkata, PAS melakukan tindakan sedemikian apabila memuji kejayaan Taliban mengambil alih Afghanistan selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara bergolak itu Ogos, tahun lalu.

Beliau merujuk kepada mesej tahniah yang dimuat naik oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi, pada 18 Ogos.

Khalil, yang juga anak kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dalam ciapannya di Twitter, berkata Taliban berjaya mencapai kemenangan tanah air mereka daripada cengkaman penjajahan tidak berperikemanusian. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, ciapan berkenaan dipadamkan.

“Mereka merangka naratif demi memberi kelebihan kepada parti, membentuk pandangan dan persepsi dalam kalangan Muslim di Malaysia, jadi Muslim di Malaysia (berfikir) ‘Taliban adalah okay sekarang. Mereka akan baik-baik sahaja tanpa sokongan bersenjata’.

“Pengiktirafan daripada parti itu terhadap perjuangan Taliban memberi petanda baik kepada pihak yang cenderung kepada keganasan di Malaysia.”

Bagaimanapun, beliau mengingatkan masyarakat bahawa kerajaan Malaysia belum mengiktiraf kerajaan Taliban di negara itu.

Dalam kenyataan disiarkan lidah rasmi PAS, Harakah, pada 25 Ogos, Hadi mendakwa kepimpinan Taliban sudah berubah dan menuju ke arah yang betul.

Beliau turut menggesa Muslim tidak terpengaruh dengan liputan berhubung Taliban oleh media Barat, yang disifatkannya sebagai “media fasik”.

Pendirian PAS berhubung gerakan militan mengambilalih Afghanistan diselar warganet, merujuk kepada nilai ekstrimis Taliban membabitkan diskriminasi terhadap minoriti agama lain dan wanita

Tiada ulasan: