"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RUU antilompat parti tak akan dibentang Isnin ini

Malaysiakini 

Kerajaan nampaknya tidak akan meneruskan rancangan untuk membentang dan meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan untuk menghalang ahli parlimen daripada lompat parti.

Beberapa sumber yang tahu berkenaan perkara ini memberitahu Malaysiakini bahawa kabinet hari ini sebaliknya memutuskan untuk membentangkan RUU bagi meminda beberapa bahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang akan membolehkan perundangan “antilompat” di masa akan datang.

Menurut sumber, sidang khas Dewan Rakyat Isnin ini bagaimanapun dijangka akan diteruskan seperti dirancang.

Kerajaan telah memberi taklimat beberapa kali kepada ahli parlimen berkenaan kandungan RUU tersebut dan mendapatkan maklum balas mereka. Namun perincian RUU tersebut belum dimaklumkan sepenuhnya.

Sementara itu, Free Malaysia Today melaporkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dijangka mempengerusikan mesyuarat dengan semua ahli parlimen dan senator berkenaan RUU itu, Ahad ini.

“Akta itu sendiri tidak akan dibentangkan pada Isnin. 

“Apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda, akta itu tidak lagi memerlukan majoriti dua pertiga, menurut sumber seperti dipetik laman itu.

Beberapa isu berbangkit

Laporan itu menyatakan kerajaan tidak berhasrat mengabaikan RUU itu tetapi mahu menyelesaikan beberapa isu terlebih dahulu, antaranya takrifan kepada “lompat parti”.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan Dewan Negara yang RUU itu akan merangkumi klausa yang memerlukan pilihan raya kecil dibuat jika ahli parlimen kawasan itu dipecat daripada parti.

Klausa itu, menurut peguam New Sin Yew, boleh disalah guna pimpinan mana-mana parti atau menjadikan ahli parlimen tunduk kepada parti dan bukannya pengundi.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan komen daripada Wan Junaidi, yang telah mengendalikan RUU itu, termasuk berbincang dengan para ahli Parlimen, selama lebih setengah tahun.

Dia berkata RUU itu akan menangani Perkara 48(6), yang menghilangkan kelayakan individu daripada menjadi ahli parlimen selama lima tahun setelah meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen.

Perkara 48(6) ditambah ke dalam Perlembagaan Persekutuan pada 1990, iaitu dua tahun setelah Shahrir Abdul Samad meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Johor Bahru yang membawa kepada PRK. Dia bertanding bebas dan menang dalam PRK itu.

Antara peruntukan yang perlu dipinda adalah Perkara 10(1)(c), yang menjamin hak berpersatuan kepada warga.

RUU antilompat parti adalah komponen utama dalam memorandum persefahaman (MOU) antara Ismail Sabri dengan PH.

Tiada ulasan: