"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anggota tentera maut ditikam isteri

Melvin Joni

am@hmetro.com.my

Kota Samarahan: Seorang anggota tentera darat meninggal dunia selepas dipercayai ditikam oleh isterinya menggunakan pisau pemotong sayur di bahagian paha.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Sudirman Kram berkata kes dikesan selepas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan menerima maklumat daripada Hospital Umum Sarawak (HUS) berkaitan seorang lelaki yang dibawa ke hospital untuk rawatan akibat cedera di bahagian peha akibat tikaman pisau.

Katanya hasil siasatan awal pihaknya mendapati berlaku pergaduhan antara mangsa, 28, dengan isterinya, 24, di kediaman mereka di Kem Penrissen, di sini, pada kira-kira jam 10.30 malam tadi.

"Akibat pergaduhan itu, pisau pemotong sayur yang digunakan oleh isterinya untuk menggertak mangsa tertikam pada bahagian paha suaminya menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak.

"Mangsa kemudian dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan HUS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Sudirman, pasangan berkenaan mempunyai seorang anak.

Susulan itu, beliau berkata isteri mangsa seorang suri rumah kemudian ditahan di HUS kira-kira jam 2.24 pagi.

Turut dirampas sebilah pisau pemotong sayur dan pakaian suspek semasa kejadian.

Sudirman berkata suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan untuk proses permohonan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: