"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes bunuh, kerat mayat di Sepanggar, polis tahan dua wanita

Bernama

KOTA KINABALU: Polis menahan dua wanita tempatan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi di kawasan tempat pembuangan sampah di Indah Permai, Manggatal pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu Syed Lot Syed Ab Rahman berkata wanita berkenaan masing-masing berusia 29 dan 21 tahun ditahan di kawasan Sepanggar dan Inanam, hari ini.

Katanya, ini menjadikan keseluruhan tangkapan sebanyak empat orang, bermula dengan lelaki tempatan berusia 71 tahun yang ditahan di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II pada hari kejadian sebelum disusuli penahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 19 tahun di Sepanggar.

“Kedua-dua wanita berkenaan merupakan anak kepada suspek utama dan ditahan bagi membantu siasatan berhubung peranan serta pengetahuan mereka berkaitan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan antaranya telefon bimbit, pakaian, sepasang sarung tangan, sebilah parang serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail.

Pada Khamis lepas, anggota tubuh seorang wanita yang dipercayai dikerat kepada beberapa bahagian ditemukan di tempat pembuangan sampah di Indah Permai kira-kira 7 pagi dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: