"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Ibu pengsan 4 kali lihat anak parah, enggan pergi sekolah jadi petanda

Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my
Ahli keluarga mangsa berkumpul di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Ahli keluarga mangsa berkumpul di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Kuala Krai: "Umi pengsan sebanyak empat kali di dalam ambulans semasa dalam perjalanan ke hospital ketika menemani adik bongsu yang mengalami kecederaan parah untuk mendapatkan rawatan," kata Mohd Shahril Rosli, 28.

Mohd Shahril adalah abang kepada Mas Siti Rosnani Rosli, 7, dan Muhammad Muskir Rosli, 14, yang mengalami kecederaan parah dalam kemalangan di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai berhampiran Kampung Pek, di sini, pagi tadi.

Turut mengalami kecederaan adalah dua anak saudara mereka iaitu Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12.

Mohd Shahril berkata, ibunya, Hanita Yusoff, 48, tidak dapat menahan sebak apabila melihat keadaan adik bongsunya, Mas Siti Rosnani yang kini koma akibat kecederaan serius, manakala seorang lagi anak serta dua cucunya turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

"Adik bongsu (Mas Siti Rosnani) mengalami koyakan teruk pada paha kanan selain pendarahan di dalam kepala dan retak tulang punggung kanan menyebabkan dia koma dan terpaksa dipindahkan ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk menjalani rawatan lanjut dan dipantau oleh doktor pakar.

"Manakala Muhammad Muskir patah kedua-dua paha dan selain kecederaan saraf, manakala Muhammad Zulhaqif patah paha kanan dan Muhamad Zulkifli pula pecah gusi dan patah paha kanan dan kesemuanya dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma HSIP, di sini, hari ini.

Katanya, sebelum kejadian berlaku, kedua-dua adik serta anak saudaranya enggan ke sekolah pada pagi tadi terutama sekali Mas Siti Rosnani, namun dipujuk oleh ibu.

"Bagaimanapun, saya tidak menyangka keengganan mereka itu menjadi petanda kepada kejadian buruk yang tidak diingini apabila dimaklumkan oleh orang kampung mengenai insiden yang berlaku.

"Pada masa sama, mereka juga keluar rumah agak lewat, iaitu pada jam 7.10 pagi berbanding kebiasaannya pada jam 6.45 pagi, selain tidak sempat bersarapan," katanya.

Katanya, mereka berempat ke sekolah dengan menunggang motosikal milik ibu.

"Jarak perjalanan dari rumah di Kampung Berangan Mek Nab ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pek dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Intan adalah kira-kira lima kilometer," katanya.

Media hari ini melaporkan, empat bersaudara yang dalam perjalanan ke sekolah parah selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati kereta Honda Jazz dipandu guru wanita berusia 39 tahun dari arah Machang menghala ke Kuala Krai sebelum berlanggar dengan motosikal Honda C100 yang dinaiki oleh kesemua mangsa dari arah bertentangan.

Tiada ulasan: