Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Seorang juruwang stesen minyak dijatuhi hukuman lapan bulan penjara dan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan identiti nombor MyKad seorang pelanggan bagi menggunakan subsidi diesel BUDI MADANI tanpa kebenaran.
Tertuduh, Khairul Haizad Herman, 27, membuat pengakuan itu sebaik semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Mengikut empat pertuduhan, dia didakwa menyalahgunakan identiti nombor MyKad milik seorang lelaki dengan menggunakan subsidi BUDI MADANI tanpa pengetahuan dan kebenaran pemiliknya di Stesen Minyak Petronas Aman Jaya, Jalan Silam, di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 26 Julai lalu masing-masing jam 7.14 malam, 7.34 malam dan 8.30 malam, serta pada 27 Julai lalu, jam 9.31 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebat dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu berusia 48 tahun dari Taman Semarak, Tawau menyedari kuota subsidi BUDI MADANI diesel yang didaftarkan menggunakan nombor MyKad miliknya digunakan tanpa pengetahuan selepas membuat semakan menerusi laman sesawang BUDI MADANI pada 30 Julai lalu.
Semakan itu mendapati berlaku empat transaksi pembelian diesel berjumlah 43.01 liter di stesen minyak berkenaan antara 26 hingga 27 Julai lalu, menyebabkan pengadu mengalami kerugian sebanyak RM99.78.
Pengadu memaklumkan tidak pernah kehilangan MyKad dan mengesyaki identitinya disalahgunakan oleh individu tidak dikenali bagi mendapatkan subsidi diesel BUDI MADANI.
Siasatan polis kemudian mendapati tertuduh yang bekerja sebagai juruwang di stesen minyak berkenaan mengaku menggunakan identiti nombor MyKad pengadu untuk melakukan empat transaksi itu tanpa pengetahuan dan kebenaran mangsa.
Tertuduh ditahan pada 31 Julai lalu di pekarangan stesen minyak berkenaan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Mohaideen memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam serta sebagai mesej pencegahan kepada masyarakat.
Beliau turut memaklumkan kes itu dipercayai yang pertama seumpamanya di Sabah.
Bagaimanapun, tertuduh merayu hukuman diringankan dengan alasan menjadi pencari nafkah tunggal keluarga selain perlu menjaga ibunya yang menghidap penyakit kanser.
Selepas mempertimbangkan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan empat sebatan terhadap tertuduh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan