"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu Perak: Tak perlu bincang, beri mandat pada rakyat

Muhammad Arif Ismail  

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - "Cara terbaik bagi menyelesaikan masalah krisis di Perak adalah dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat dan saranan Perdana Menteri,Dato' Seri Najib Tun Razak tidak perlu untuk membuka kesediaan untuk berbincang."

Demikian kata Pesuruhjaya PAS negeri Selangor II, Iskandar Abdul Samad yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Pandan ketika diminta mengulas kesediaan Najib bagi membincangkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat dalam usaha menyelesaikan masalah di Perak.

Menurut beliau, Najib tidak perlu untuk membuka perbincangan untuk menyelesaikan masalah di Perak. Tetapi krisis itu ada cara terbaik iaitu menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan dengan melakukan pilihanraya semula.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Pameran Hartanah Bumiputera Selangor 2009 yang diadakan di pusat beli belah terbesar, Midvalley dekat sini semalam.

Pameran tersebut bermula pada 15 hingga 17 Mei yang dianjurkan oleh sebuah syarikat pengurusan bumiputera, MMC Sdn Bhd diadakan di Hall 2, Pusat Pameran Mid Valley.

"Terdapat 58 buah yang turut serta dalam pameran ini antaranya ialah Syarikat Lebar Daun Development Sdn Bhd, MK Land Sdn Bhd, IJM Land, Th Poperty, Mah Sing Group, Magna Park, Dijaya Corporation, bangi Height, Metro Kajang dan banyak lagi syarikat yang berwibawa,"katanya.

Pameran ini katanya, bertujuan untuk memelihara status pemilikan hartanah oleh kaum bumiputera sekitar Lembah Klang selari dengan Dasar wawasan Negara supaya pegangan ekuiti bumiputera dalam sektor hartanah meningkat secara berterusan.

"Nilai hartanah dianggarkan berjumlah melebihi RM 1 bilion yang meliputi rumah kediaman, lot perniagaan, dan lot banglo dengan jumlah 3,000 unit kuota bumiputera dipamerkan," katanya lagi.

MB 'syok sendiri'

Zambry hanya MB 'syok sendiri'
Mohd Khalil Abdullah  

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) -PAS Wilayah Persekutuan menyifatkan tindakan Dato' Seri Dr Zambry Abd. Kadir kembali bertugas sebagai 'Menteri Besar' adalah kemuncak kepada penderhakaan terhadap seluruh rakyat Perak.

Menurut Penasihat Undang-undang PAS Wilayah Persekutuan,Ahmad Zamri Khuzaimi,sungguhpun Zambry telah mendapatkan perintah penggantungan daripada Mahkamah Rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur , tindakan Zambry kembali bertugas bersama barisan Exconya dilihat membelakangkan kehendak rakyat yang telah memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Abdul Aziz Abd Rahim Isnin lalu telah mengesahkan lagi bahawa Dato' Seri Nizar sememangnya Menteri Besar Perak yang sah dan kerajaan Pakatan Rakyat adalah kerajaan pilihan rakyat Perak yang masih sah berkuasa.

"Apa yang dilakukan Zambry kini tidak lebih sebagai Menteri Besar yang 'syok sendiri' dengan menafikan kehendak majoriti rakyat,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, kedudukan Zambry kini hanya sebagai 'care taker' sahaja sementara menunggu selesainya proses rayuan di Mahkamah Rayuan dan berkemungkinan juga akan berakhir di Mahkamah Persekutuan yg merupakan mahkamah tertinggi negara.

"Justeru itu, beliau dan barisan Exconya tidak boleh membuat apa-apa keputusan yang bersifat dasar ataupun yang melibatkan kewangan negeri.

"Walaupun dari segi perundangannya, Zambry berhak untuk merayu atas keputusan Mahkamah Tinggi tempoh hari, tetapi secara moralnya, Mahkamah Tinggi telahpun membuat keputusan yang jelas mencerminkan hasrat majoriti rakyat Perak yang mahukan kerajaan Pakatan Rakyat kembali menerajui negeri Perak,"katanya yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Titiwangsa.

Ahmad turut mengulas bahawa,keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dicapai selepas Hakim meneliti dan mendengar keterangan saksi-saksi dan hujahan-hujahan peguam kedua belah pihak dalam perbicaraan yang mengambil masa empat hari untuk diselesaikan.

"Zambry sepatutnya akur dengan keputusan tersebut demi menamatkan kemelut perebutan kuasa yang sudah berlanjutan lebih tiga bulan ini.

"PAS Wilayah Persekutuan juga melahirkan rasa kagum yang amat sangat di atas keputusan Mahkamah Rayuan pada hari Selasa lalu yang disifatkan 'extra' efisyen dengan kelajuan yang sangat luar biasa.

Menurutnya, difahamkan bahawa permohonan untuk penggantungan penghakiman tersebut telah dibuat oleh peguam Zambry pada pagi tersebut dan ia didengar dan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Dato' Ramly Ali secara berseorangan dalam masa kurang tiga jam selepas permohonan tersebut difailkan.

"Ini merupakan satu rekod baru dalam sejarah kehakiman negara dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

"PAS Wilayah Persekutuan amat berharap agar kecekapan mahkamah dalam melupuskan kes sepantas ini dapat diteruskan ke mahkamah-mahkamah lain terutamanya yang melibatkan kes-kes jenayah,"jelasnya lagi.

Sementara itu menurut Ahmad,sehingga hari ini masih terdapat tahanan-tahanan reman yang sudah menunggu bertahun-tahun lamanya untuk dibicarakan dan masih belum diselesaikan.

"Setiap rakyat sepatutnya mendapat keadilan yang sama rata berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan doktrin hak asasi manusia dan tidak sepatutnya ada layanan istimewa diberikan kepada pihak-pihak tertentu.

"PAS Wilayah Persekutuan mengulangi dan menegaskan bahawa satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak ini ialah dengan cara membubarkan DUN dan mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapakah yang layak untuk mewakili mereka dan menerajui kerajaan Negeri Perak.

"Selagi isu ini dibiarkan berlegar di mahkamah perundangan dengan mengheret insitusi istana, maka selagi itulah rakyat Perak akan terus berhadapan dengan konflik politik ini dengan tidak ada kesudahannya,"tegasnya. 

Sultan Perak Akan Bubar Dun Isnin Ini?

Satu pengumuman besar dijangka dibuat pihak istana Perak Isnin depan yang mungkin mampu memecahkan kebuntuan politik yang melanda negeri itu dan seterusnya mengakhiri kemelut politik yang berpanjangan sejak tiga bulan lalu.

Menurut sumber pengumuman itu ada kena mengena dengan desakan rakyat Perak yang mahukan mandat mereka dikembalikan untuk memilih kerajaan pilihan mereka semula setelah Barisan Nasional mendalangi rampasan kuasa terhadap kerajaan sah Pakatan Rakyat 5 Februari lalu.

“Kemungkinan pihak istana mengumumkan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak adalah besar memandangkan situasi kemelut politki di anatara Pakatan Rakyat dan BN nampaknya tidak ada jalan keluar.

“Desakan rakyat supaya DUN dibubarkan dan pilihan raya negeri diadakan mungkin sudah dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pihak istana dan demi kebaikan, kemakmuran dan kestabilan negeri Perak langkah ini sajalah yang terbaik bagi mengatasi krisis tersebut,” sumber memberitahu TV Antara.

Sekiranya ini berlaku Perak akan menyaksikan pilihan raya negeri pertama setelah pilihan raya umum tahun lalu.

Pada PRU ke 12, Pakatan Rakyat memenangi 31 kerusi sementara BN pula mendapat 28 kerusi.

Perbuatan BN memujuk 3 Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat keluar daripada gagasan itu dan mengisytiharkan diri mereka sebagai ADUN bebas telah mencetuskan krisis politik yang paling buruk dalam sejarah moden Perak yang turut mengheret institusi raja, badan-badan kehakiman dan legislatif.

Beberapa perkembangan yang berlaku kebelakangani ini juga mungkin mempengaruhi pihak istana untuk memperkenankan pembubaran DUN.

Antara yang paling penting ialah senario persefahaman yang telah wujud di antara Pakatan Rakyat dan BN berkaitan jalan penyelesaian krisis politik Perak.

Beliau juga berkata isu sama ada DUN Perak akan dibubarkan atau tidak kini terletak ditangan Sultan.

Walaupun Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini berkeras tidak mahu mengadakan pilihan raya baru negeri melalui pembubaran DUN namun kini beliau dilihat sudah berlembut dan mahu berdialog dengan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat pula atas dasar mahu melihat penyelesaian kemelut politik tersebut diatasi secara aman bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan BN tetapi prinsip pembubaran DUN tetap dipertahankan.

Ini kerana menurut Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim hak rakyat perlu dikembalikan semula jika amalan demokrasi sihat mahu diwujudkan di negera ini serta menolak budaya kedurjanaan politik.

Walaupun menurut perlembagaan pembubaran DUN adalah di atas nasihat Menteri Besar namum pensyarah undang-undang Universiti Islam Antaranbangsa Malaysia, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata Sultan mempunyai kuasa khas yang jarang digunakan yang membolehkan baginda membubarkan DUN selaku kedudukan sebagai Sultan.

“Dalam keadaan di mana sesuatu keadaan itu tidak lagi boleh diselesaikan melalui kompromi politik dan juga proses perundangan baginda Sultan boleh menggunakan “reserve power” baginda untuk membubarkan Dewan tanpa merujuk kepada Menteri Besar apatah lagi dalam keadaan di Perak sekarang yang mempunyai dua penyandang jawatan,” Prof Aziz berkata.

-TVAntara.com.my-