"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa IC merah bertukar biru kurang 24 jam

Hazayani Zakaria
SHAH ALAM, 5 Ogos: PAS Selangor akan membuat laporan polis petang ini berhubung dakwaan Penduduk Tetap (PR) yang memegang kad pengenalan merah didaftarkan sebagai pengundi.

Sepanjang tempoh bantahan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku ke-2 tahun 2011 yang tamat pada 2 Julai lalu, PAS Selangor mengesan seramai 1,108 PR berdaftar sebagai pengundi.

Jumlah ini daripada 1,860 nama yang dibantah atas pelbagai sebab.
Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbohong kononnya nama-nama tersebut tidak dikemaskini oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"SPR kata guna Agency Link Up System (Alis) dengan JPN tapi kalau dalam JPN tak ada nama-nama ini sebagai pemegang kad pengenalan biru, bagaimana mereka boleh didaftar sebagai pengundi?" soalnya pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor mengesan nama-nama tersebut pada 1 Julai namun terkejut apabila mendapati kesemua mereka di dalam rekod JPN telah bertukar status sebagai warganegara keesokan harinya.

"Kenapa pemegang kad pengenalan merah boleh bertukar kepada biru dalam masa kurang daripada 24 jam?" Soalnya lagi.

Beliau juga kesal dengan pihak polis yang belum menyatakan hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat berhubung warga Indonesia dan Kemboja diberi kad pengenalan dan borang daftar pemilih yang berlaku di Dun Paya Jaras dalam Parlimen Subang.

Menurutnya, pihaknya menangkap seorang penduduk luar Selangor yang ditemui sedang mengedarkan kad pengenalan dan borang kepada sekumpulan warga Indonesia dalam sebuah rumah pada tengah malam.

Satu kes lagi ialah individu yang datang dari Johor mengedarkan kad pengenalan kepada rakyat Kemboja.

Kedua-dua kes ini berlaku pada Februari lalu manakala sekitar akhir bulan lalu,pihaknya mendapati warga asing mengambil kad pengenalan di Kuala Selangor.

"Kita sudah buat laporan polis tapi masih belum ada tindakan yang diambil dan kita tidak tahu kes ini disiasat atau tidak," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keselamatan negara dan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat negara ini.

"Jika kerakyatan sedang digadai untuk kemenangan BN, ini satu pengkhianatan yang sangat teruk.

"Bagi negara demokrasi, orang yang melakukan kerja ini boleh dihulum dengan hukuman berat," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III.

Kalimah suci dihina: Majlis Perbandaran Dungun makan gaji buta

awang_ja
JANGAN TERKEJUT !! Gambar ini dirakam pada 02 Ogos jam 1 tengahari di laluan utama projek menaiktaraf jalan Sura Gate - Kuala Dungun.Keadaan ini berlarutan sudah lima hari sebelum gambar ini dirakam tanpa pemantauan dan tindakan daripada pihak yang berwajib seperti Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan juga Pejabat Agama Islam Dungun.


Tidak pasti adakah semua ini terlepas pandang atau kurang prihatin dan peka kejadian yang amat memalukan ini.


Adakah pihak MPD akan segera bertindak bilamana jika signboard itu tertera gambar pimpinan Umno BN Dungun.Nescaya sudah tentu kontraktor ini akan disaman atau disenaraihitamkan akibat sikap sambil lewa ini.


Rakyat Dungun sedia maklum kepantasan dan keaktifan pihak MPD dalam memantau kawasan perbandaran terutama yang melibatkan para peniaga dan juga landskap.Baner-baner yang dipasang oleh pihak yang tak sehaluan dengan pihak Umno BN Dungun akan segera dibuang jika menyakitkan mata memandang dan juga membacanya.

Cerita selanjutnya dan gambar-gambar tempat lokasi..klik DI SINI

PAS S'gor Desak Tubuh RCI Siasat JPN


SHAH ALAM, 5 OGOS: Semakin banyak pembongkaran salah laku data daftar pengundi dikesan muktahir ini terutamanya yang melibatkan warganegara asing menjelang pilihan raya yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Dakwaan pemberian status kewarganegaraan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu kini mencuri tempat selepas gabungan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat menggerakkan jentera mengumpul segala bukti bagi mengukuhkan dakwaan tersebut.

Sehubungan itu, Pas Selangor hari ini mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salahgunakuasa oleh JPN yang dianggap menguggat kedaulatan negara.

"Saya yakin selepas insiden ini rakyat merasa sangat keliru dan bimbang dimana keselamatan pengeluaran kad pengenalan kita," kata Setiausaha Pas selangor Mohd Khairuddin Othman pada sidang media tadi.

Menurut Mohd Khairudin, pihaknya telah mengadakan sebanyak 1,860 bantahan terhadap Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku ke 2 tahun 2011 yang tamat pada 2 Julai lalu.

Antara perkara yang disuarakan termasuk SPR sengaja tidak menyertakan alamat lengkap pengundi selain dakwaan terdapat pihak tertentu yang membawa masuk pengundi-pengundi yang tidak berkelayakan ke negeri Selangor.

Ini termasuk dakwaan bahawa SPR gagal memasukkan seramai 240 nama pengundi Cina yang telah didafarkan sebagai individu layak memilih.

"Melebihi 240 nama yang kita daftarkan tapi tidak keluar dalam rang daftar pemilih untuk suku kedua," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairudin berkata pihaknya baru-baru ini berjaya mengesan kelibat mengedar kad pengenalan biru kepada warga Indonesia dan Kemboja di DUN Paya Jaras.

Dalam dua kejadian yang berasingan itu Khairuddin berkata, seorang individu tempatan dipercayai menjadi agen pengedaran kad pengenalan dan borang permohonan warganegara kepada yang lain.

Kata beliau, setelah kad pengenalan biru tersebut dimasukkan ke dalam pengimbas cip, nama yang tertera adalah betul namun perkara yang mengejutkan apabila pihaknya menyemak dilaman web JPN, kesemua nama tersebut berstatus Penduduk Tetap (Merah).

"Yang peliknya apabila kita ambil kad pengenalan ini dan dimasukkan dalam pembaca kad, ianya dapat dibaca. Tapi bila kita semak dalam laman web JPN, kad pengenalan merah," kata beliau.

Pas sebelum ini telah menyenaraikan 610 nama yang dikesan memiliki kad pengenalan berwarna merah di dalam senarai layak mengundi SPR.

Berdasarkan pecahan, DUN Semenyeh mendahului dengan 261 pengundi diikuti DUN Paya Jaras 225 pengundi, DUN Kajang 140 pengundi dan DUN Dusun Tua 49 pengundi.

Kejadian pada 2 Julai lalu turut disentuh Mohd Khairuddin apabila berjaya mengesan rekod kerakyatan Penduduk Tetap bagi 610 orang warganegara asing bertukar kepada warganegara dalam masa 24 jam setelah Pas mendedahkan perkara tersebut kepada media.

Walhal menurutnya, proses menukar status kad pengenalan memerlukan kehadiran secara fizikal individu tersebut untuk diimbas menerusi sistem biometrik.

"Tan Sri SPR menyebut bahawa JPN tidak kemaskini data. Kalau data tidak dikemaskini, kenapa nama-nama ini boleh ada dalam Rang Daftar Pemilih yang disebut telah disaring dan diproses?" ujar beliau.

Justeru, Pas menyatakan kebimbangan berdasarkan jumlah individu layak mengundi yang memegang kad pengenalan merah kian bertambah saban hari akibat tindakan meragukan oleh JPN dan SPR.

Oleh yang demikian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein digesa untuk tampil memberi penjelasan kerana ianya melibatkan isu keselamatan negara yang semakin membimbangkan.

Sejurus sidang media itu tadi, Pas membuat laporan polis terhadap JPN untuk menyiasat dalam disebalik konsporasi yang dipercayai menjaga kepentingan kerajaan.
-tvsnews-