"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS mahu rampas kerusi Azizah dan Azmin

Khairil Ashraf
SHAH ALAM: PAS Selangor akan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang serta Bukit Antarabangsa yang dimenangi 2 pemimpin tertinggi PKR, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Azmin Ali, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehin Mukhyi berkata, parti Islam itu juga akan mencabar kerusi Parlimen Gombak yang dikuasai menteri besar Selangor itu sejak 2008.

“Memang wajib kita ambil. Sebenarnya, sejarah sebelum adanya PKR, sejak pilihan raya dulu PAS sangat berminat berada di banyak kerusi di Selangor. Setelah adanya PKR, itu yang kita bagi beberapa (kerusi).

“Selepas pilihan raya yang lalu, presiden PAS yang mencadangkan supaya PKR jadi menteri besar Selangor, bukannya PAS walaupun PAS menang 15 kerusi ketika itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Azmin berjaya mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa pada PRU13 selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Nadzim Ibrahim dengan majoriti 4,044 undi.

Dr Wan Azizah yang berdepan calon MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang pada Mac 2014 pula menang dengan majoriti 5,379 undi.

Sallehin yang juga adun Sabak berkata, parti itu akan bertanding di sekurang-kurangnya 42 kerusi DUN di Selangor pada PRU14, selepas mendapat persetujuan PAS Pusat.

Katanya, parti itu juga bersiap sedia menghadapi pertandingan 3 penjuru atau lebih.

“Bersedia untuk letakkan calon di semua kerusi yang ditandingi BN atau Pakatan Harapan.

“Perlu diingatkan pertembungan 3 penjuru di Selangor, kalau berlaku bukan dimulakan PAS, tapi rekod DAP dan Amanah (yang mula mencabar) bertanding di kerusi PAS,” katanya.

PANAS!!! Sultan Johor cabar KJ

Sultan Johor pula cabar Khairy dan skuad polo Sukan SEA
FMT Reporters
PETALING JAYA: Selepas cabaran Tuanku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada skuad polo Sukan SEA yang disertai Khairy Jamaluddin bulan lalu, hari ini Sultan Johor pula mencabar menteri belia dan sukan itu dan pasukannya untuk berentap dengan 2 puteranya.

“Saya akan hantar 2 anakanda saya dan 2 orang penjaga kuda ataupun saya sekali kerana saya melihat diri saya masih handal lagi.

“Kalau pasukan saya kalah, saya akan akui bahawa pasukan Sukan SEA itu lagi baik dan semuanya handal-handal belaka,” kata Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam kenyataan dimuat naik di Facebook.

Sultan Ibrahim berkata pasukan yang bertanding untuk sukan polo di temasya Sukan SEA ibarat “hanya untuk cukupkan syarat pertandingan sahaja”.

“Ada yang datang dengan handicap rendah, jadi memanglah mudah untuk dikalahkan,” katanya merujuk tahap kelayakan pemain polo.

“Kalau jantan, mari kita main dan tunjukkan taring masing-masing di Johor.”

Sultan Johor mempertikaikan kemampuan sebenar pasukan polo negara, yang kelmarin menewaskan pasukan polo Brunei 12-4 di perlawanan pembukaan acara polo sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Khairy merupakan antara pemain pasukan negara berdepan Brunei, yang diwakili anak Sultan Brunei, Putera Abdul Mateen Bolkiah dan Puteri Azemah Ni’matul.

Sultan Johor turut merujuk kepada aksi “pura-pura” pasukan negara pada perlawanan Sukan SEA.
“Hari ini lawan Singapura. Bila pasukan sudah menang baru masuk bermain dan suruh budak yang sedang ‘perform’ berpura-pura mengalami kecederaan.

“Jadi ada gambar beliau dapat masuk dalam pasukan untuk dipaparkan dalam media cetak dan melakukan propaganda menipu orang ramai seolah-olah dia yang menang dan handal.”

Sultan Johor berkata negeri Johor mempunyai tradisi sukan polo sejak 1884, dan Sultan Ibrahim sendiri pernah bermain di serata dunia termasuk Piala Dunia.

“Kalau hendak dibandingkan dengan Sukan SEA, ia bukan tandingannya. Jikalau anda mahukan perlawanan yang lebih serius, datang ke negeri Johor.”

Bertanding 42 kerusi Dun Selangor sahkan Pas 'pengebom bunuh diri'

MALAYSIA DATELINE
Kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi bahawa Pas akan bertanding di 42 kerusi Dun Selangor mengesahkan parti itu sebagai 'suicide bomber' (pengebom bunuh diri) dan bukannya 'king maker' dalam politik tanah air.

Keputusan itu juga menunjukkan bahawa Pas tidak lagi bersama pembangkang malahan menjadi pengganggu (spoiler) dalam perjuangan rakyat menjatuhkan rejim Umno-BN pimpinan kleptokrat Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan ketua Pemuda AMANAH Nasional Faiz Fadzil bagaimanapun yakin rakyat akan memilih blok yang benar-benar kuat bagi menjatuhkan Umno-BN iaitu Pakatan Harapan.

"Dalam keadaan ini, mustahil untuk Pas menjadi 'king maker' kerana mereka bukan lagi pilihan rakyat kerana tidak lagi berada bersama gabungan pembangkang," ujarnya.

Menurut beliau, dalam sejarah pilihan raya negara ini, Pas hanya mendapat sokongan kuat rakyat apabila berada dalam satu gabungan seperti mana bersama Barisan Alternatif dalam PRU 1999 dengan 27 kerusi parlimen, PRU 2008 (23 kerusi) dan PRU 2013 bersama Pakatan Rakyat (21 kerusi).
"Sebaliknya apabila bersendirian, Pas hanya mendapat 1 kerusi dalam PRU 1986 dan 7 kerusi dalam PRU 2004," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan Pas sebagai 'suicide bomber' yang bukan sahaja akan membunuh dirinya sendiri, tetapi juga orang yang berada di sekelilingnya.

"Begitulah juga ibaratnya dengan kedudukan Pas yang akan ditolak rakyat kerana dilihat mesra Umno dan seringkali membela korupsi Datuk Seri Najib Razak yang mana parti-parti yang bersama Pas juga dibimbangi bakal ditolak rakyat," katanya.

Oleh itu, Faiz menyeru semua parti gabungan Pakatan Harapan supaya memberikan fokus memperkukuhkan Pakatan Harapan di semua peringkat dan menumpukan kepada objektif menjatuhkan Umno-BN.

"Masa yang diberikan kepada Pas untuk menyertai Pakatan Harapan telah lama dibuka, namun tidak disambut oleh Pas. Sebaliknya Pas lebih ketagih menyerang Pakatan Harapan dan parti-parti komponennya.

"Maka, punca dan agenda Pas di sebalik langkah sumbang Pas ini di kala Datuk Seri Najib Razak mengamalkan khurafat baru 'cash is king' demi survival politiknya bukan lagi suatu misteri," tegas beliau.