"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: 22 Okt Keputusan Kes Tian Chua ‘Gigit’ Polis

Mahkamah menetapkan 22 Oktober depan untuk memutuskan kes Ahli Parlimen Batu Tian Chua yang dituduh mencederakan polis sewaktu perhimpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) berhampiran Parlimen, dua tahun lalu.

Majistret Mohd Faizi Che Abu membuat keputusan berkenaan setelah mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur hari ini.

Tian Chua ketika ditemui di luar mahkamah berasa yakin akan kemenangan dalam kes yang telah berlanjutan sejak 11 Januari 2008.

“Kebanyakan saksi secara nyata menyaksi saya di pukul dihentam pada kepala semasa saya dipegang oleh pegawai polis.

“Bagi pihak saya saya amat yakin kalaulah mahkamah ini memandang semua bukti-bukti secara adil saya yakin saya akan diisytiharkan tidak bersalah,” katanya.

Tian Chua dituduh menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Rosyaidi Anuar, 22 dari Bahagian Narkotik, ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Parlimen pada 10.45 pagi 11 Disember 2007.

Tian diwakili peguam Ranjit Singh dan Razlan Hadri Zulkifli, manakala pendakwaan diketuai oleh DPP Hanafiah Zakaria.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 332, Kanun Keseksaan. Jika didapati bersalah, Tian boleh dihukum denda atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tian akan kehilangan kelayakan sebagai ahli parlimen jika dipenjara melebihi setahun atau didenda melebihi RM2,000.

Tian ditangkap sewaktu perhimpunan Bersih di luar bangunan Parlimen kerana membantah pindaan perlembagaan bagi melanjutkan umur bersara pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun.

Tian Chua yang berkereta pada masa kejadian ditahan dan ditolak keluar dari kenderaan oleh Lans Korporal Amran sebelum diheret dari kereta tersebut oleh Konstabel Rosyaidi.

Tian semasa kejadian berada jauh dari lokasi perhimpunan Bersih. Saksi di mahkamah dan rakaman video menunjukkan Tian dikasari dan dipukul sewenangnya oleh pihak berkuasa.

Terkecuali Konstabel Rosyaidi yang mendakwa dirinya digigit Tian Chua, tidak ada saksi mahupun rakaman yang mengesahkan tuduhan tersebut.

Tian Chua turut menafikan dakwaan bahawa beliau berdolak dalih ketika menjawab soalan dari pendakwaraya.

Ahli Parlimen Batu itu berkata soalan yang dikemukakan pendakwaraya berbaur politik dan berniat jahat.

Bagaimanapun beliau memberi kerjasama ketika soalan sama diaju peguambela dengan lebih jelas dan spesifik.

“Ya memang saya pada mulanya enggan menjawab beberapa soalan berunsur politik seperti soalan yang dikemukakan bertanya sifat saya terhadap polis adakah saya seorang yang anti kerajaan?

“Pada waktu itu saya tidak mahu menjawab kerana soalan-soalan ini tidak ada kena mengena dengan pendakwaan hanya sebagai satu taktik untuk mencemarkan atau memburuk pendirian politik saya,” katanya
-tvantara.com-

Isu Manohara Dan Tengku TT:Peguam Manohara, ibu tarik diri kes saman RM105 juta

Firma guaman yang dilantik isteri dan ibu mentua Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra bagi mewakili mereka dalam kes saman fitnah, menfailkan permohonan untuk menarik diri menjadi peguam cara kepada mereka berdua.

Tetuan Fakrul Hisham Abdullah & Associates dalam permohonan saman dalam kamar juga memohon perintah mahkamah supaya semua prosiding writ saman yang dikemukakan Tengku Fakhry terhadap ibu mentuanya Daisy Fajarina dan isterinya Manohara Odelia Pinot digantung sementara, sehingga pendengaran dan keputusan permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur selesai.

Tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar permohonan itu.

Turut disertakan dalam permohonan itu yang difailkan pada 9 Sept lepas di Mahkamah Tinggi Sivil ialah afidavit sokongan peguam Fakrul Rizal Abdul Manaf yang dilantik Daisy dan Manohara bagi mewakili mereka dalam kes saman fitnah RM105 juta yang difailkan Tengku Fakhry pada 20 Julai lepas.

Fakrul Rizal dalam afidavit sokongan yang diikrarkan pada 8 Sept lepas berkata bahawa Daisy dan Manohara telah melantik Faiz Adnan & Associates yang beralamat di Jalan Abdullah Off Jalan Bangsar dan Farhat Abbas & Rekan, pengacara dari Jakarta sebagai pengantara antara Tetuan Fakrul Hisham dan Daisy serta Manohara.

"Saya menegaskan defendan-defendan (Daisy dan Manohara) telah memberikan arahan bahawa apa-apa dokumen, pertanyaan, arahan atau permintaan daripada pihak kami hendaklah dibuat melalui pengantara tersebut," katanya.

Fakrul Rizal berkata bahawa Daisy dan Manohara telah memberi arahan kepada pengantara berkenaan bahawa mereka tidak akan datang ke negara ini untuk sebarang perbincangan di antara Tetuan Fakrul Hisham dan mereka.

Beliau berkata bahawa tanpa arahan terus dan jelas daripada Daisy dan Manohara, beliau tidak dapat meneruskan sebarang tindakan terhadap mereka.

"Arahan yang diterima melalui pengantara tersebut tidak jelas dan tidak dapat dipastikan kesahannya yang boleh menjadikan setiap fakta yang diberikan oleh mereka melalui pengantara itu sebagai dengar cakap," katanya.

Fakrul Rizal berkata tindakan Daisy dan Manohara menggunakan pengantara berkenaan untuk berurusan dengan pihaknya menyebabkan firma guaman itu tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Daisy dan Manohara dan menyukarkan untuk membuat persediaan dokumen berkaitan kes itu.

Semalam, peguam Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Tengku Fakhry, berkata walaupun hampir sebulan diserahkan writ saman fitnah itu Daisy dan Manohara masih tidak memfailkan penyataan pembelaan bagi menjawab pernyataan tuntutan yang dikemukakan anakanda Sultan Kelantan itu.

Tengku Fakhry dalam pernyataan tuntutannya mendakwa pihak defendan telah secara palsu dan niat jahat melafazkan perkataan yang bersifat umpatan dan fitnah mengenai dakwaan penderaan seksual terhadap Manohara, semasa sidang akhbar antara April sehingga Jun lalu.

Ketika dihubungi hari ini Mohd Haaziq berkata sekiranya, Daisy dan Manohara masih tidak memasukkan pernyataan pembelaan, pihaknya akan memohon perintah mahkamah bagi mendapatkan penghakiman ingkar.
-BERNAMA-

Selepas 40 tahun, ke mana haluan OIC? / UBN Najib Altantuya

Haris Zalkapli
PENDAPAT

Pertubuhan Persidangan Islam, yang lebih dikenali dengan singkatan dalam bahasa Inggerisnya, OIC, hari ini memasuki tahun ke 40 penubuhannya. Organisasi yang ditubuhkan pada 25 September, 1969 sebagai reaksi satu tindakan musuh di Palestin itu kini berdepan cabaran yang kritikal, memandangkan isu berhubung Islam yang mendominasi wacana politik dunia hari ini.

Sekitar masa OIC mencecah usia 40 tahun, beberapa negara ahli menjadi tumpuan dalam politik dunia, dengan sebab-sebab yang tidak boleh dibanggakan.

Iraq yang mula menyaksikan pengunduran tentera asing dari wilayahnya masih berdepan serangan-serangan berdarah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Afghanistan dan Pakistan � yang mendapat perhatian meluas sejurus selepas peristiwa 11 September, 2001 � menjadi tumpuan dunia ekoran aktiviti Taliban dan al-Qaeda.

Perang saudara masih berlaku di Yaman, dengan saranan gencatan senjata dilaporkan dicabul pada sama seluruh dunia Islam menyambut Aidilfitri. Pada masa sama, dua negara berpengaruh dunia Islam, Arab Saudi dan Iran dilihat terlibat dalam percaturan politik masing-masing untuk menguasai negara itu.

Di Amerika Syarikat, presiden negara itu Barack Obama menjadi orang tengah pertemuan pemimpin Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, yang berakhir tanpa sebarang kemajuan, yang bermakna Israel terus dengan dasar merampas tanah Palestin.

Di Asia Tenggara, hubungan Malaysia dan Indonesia terjejas berhubung aktiviti militan Noordin Mohammad Top, warga negara Malaysia yang didakwa menjadi dalang dalam serangan-serangan teror di Indonesia.

Di semua tempat tersebut, OIC tidak dilihat sebagai memainkan peranan yang sewajarnya sebagai pertubuhan yang dianggotai negara-negara terbabit.

Palestin, isu sentral dalam dunia Islam tidak mengundang reaksi keras daripada OIC dan negara-negara berpengaruh yang menganggotainya.

Dalam banyak kes, isu Palestin � dan isu-isu lain melibatkan dunia Islam � dijadikan alat rejim-rejim negara Islam untuk politik domestik dan membina pengaruh serantau, seperti dilakukan Saddam Hussein semasa memerintah Iraq dan pada tahap tertentu, Iran pada masa ini melalui Hari al-Quds.

Hal yang sama berlaku di Malaysia, negara yang parti pemerintahnya sering menggunakan keanggotaan dalam OIC untuk kepentingan politik domestik.

Satu contoh, Malaysia sebagai ahli Majlis Keselamatan PBB semasa penaklukan Kuwait oleh Iraq pada 1990 menyokong sekatan PBB dikenakan terhadap Iraq dan menyokong Resolusi Majlis Keselamatan 678 yang membenarkan Iraq diserang oleh pasukan tentera pelbagai negara diketuai AS.

Lebih 10 tahun selepas itu, ketika Iraq berdepan ancaman serangan kedua diketuai AS, Malaysia yang tidak berada dalam Majlis Keselamatan PBB bersuara lantang mengecam serangan ke atas Iraq.

Pada masa itu juga, pemimpin-pemimpin politik parti pemerintah menyertai demonstrasi antiperang (dan pada masa sama pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang juga mengadakan demonstrasi dihalang dengan keras).

Masalah kredibiliti ini berlaku di hampir semua negara Islam dalam OIC yang politiknya terus dicorakkan oleh persaingan negara-negara berpengaruh dan persaingan kumpulan yang pro-AS seperti Arab Saudi, Turki, dan Mesir dengan kumpulan anti-AS seperti Iran dan Libya.

Abdullah al-Ahsan, profesor sejarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dalam tulisannya di akhbar Turki, Today�s Zaman menjelaskan masalah kredibiliti dan perbezaan kecenderungan politik ini. Beliau menulis, pada 1978 OIC menerima resolusi untuk tidak membenarkan tentera asing ditempatkan di wilayah negara ahli dengan tujuan menjadikan negara ahli lain sebagai sasaran.

Tulisnya, dalam tempoh beberapa tahun, beberapa negara ahli mencabul komitmen itu dan OIC terus hilang kredibiliti sebagai broker keamanan apabila menyokong Iraq dalam perang Iran-Iraq yang bermula pada 1980.

Jelas Abdullah lagi, pada masa kini, beberapa negara anggota OIC membenarkan tentera AS ditempatkan di wilayah mereka.

Semasa bermula perang pertama terhadap Iraq pada awal 1990-an, Arab Saudi membenarkan wilayahnya digunakan untuk menempatkan tentera AS, manakala Turki � sebuah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato � menjadi lokasi satu pangkalan tentera AS yang penting di Asia Barat.

Dalam dunia yang ditakrifkan oleh kuasa dunia sebagai era terorisme global yang mudah dikaitkan dengan Islam, OIC tidak mampu melakukan tindakan yang konkrit, malah tidak bersuara sebagai satu entiti di peringkat antarabangsa.

Malah, beberapa negara mempunyai kepentingan yang lebih utama untuk aktif bersama pertubuhan serantau dan pertubuhan lain yang lebih berpengaruh, seperti Turki dalam Nato dan Kesatuan Eropah, Iran dengan Pertubuhan Kerjasama Shanghai, dan banyak lagi negara lain yang berkepentingan untuk menjaga hubungan dengan sekutu kuasa besar.

OIC perlu dinilai semula dari segala sudut supaya dapat berubah menjadi pertubuhan yang berkredibiliti dan mempunyai keabsahan dalam kalangan negara-negara Islam.

Sebagai pertubuhan yang dianggotai 57 buah negara, OIC mampu bergerak sebagai pertubuhan berpengaruh sekiranya bersatu dalam hal-hal kepentingan bersama.

Cabaran untuk bersetuju tentang kepentingan bersama inilah yang perlu diselesaikan supaya sekurang-kurangnya dalam hal-hal paling penting kepada umat tidak menjadi korban dan diperalatkan untuk kepentingan politik domestik dan serantau.