"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MSO: Bangkai busuk yang dicerita Husam akhirnya telah menerawang…

MOHD SAYUTI OMAR

SPRM telah mencekup empat individu, dua termasuk pegawai kanan Syarikat Air Kelantan Berhad (ASKB).

Tangkapan itu dibuat ekoran berlaku penyelewengan dalam projek pembinaan telaga jejari membabitkan jumlah mencecah bilion ringgit.

Tampaknya, SPRM masih belum habis menjalankan kerja mereka di Kelantan selepas turun dari Banjaran Titiwangsa. Masalah iklim, cuaca kering dan tandus tidak menghalang tugas suruhanjaya berkenaan.

Terkejut juga saya membaca laporan mengenai kejadian menimpa Kelantan itu, ia seperti bersambungan dan ada beberapa siri lagi.

Baru minggu lepas SPRM telah memasuki ke agensi kerajaan Persekutuan KADA, menangkap beberapa orang kakitanganya, sekarang menjenguk masuk ke agensi kerajaan negeri pula. Kerajaan Kelantan telah memecah rekod bersih yang dipertahannya lebih tiga dekad.

Sebenarnya apa dilakukan oleh SPRM itu tidak pun pelik kerana isu air atau pun tanggapan negatif berlaku sesuatu tidak kena dalam pengurusan air Kelantan ini sudah lama kedengaran.

Ia mulai dipertikaikan secara serius sejak tahun 2015 lagi, kira-kira sembilan tahun lampau.

Ketika itu pihak kerajaan Kelantan tidak percaya dan cuba melindungi kebejatan yang berlaku dalam AKSB sehingga menyebabkan orang yang ikhlas dan cuba membersihkan Kelantan dari sebarang penyelewengan akhirnya dikenakan tindakan disiplin kemudian dipecat dari Pas parti memerintah.

Husam Musa telah membangkitkan permasalahan AKSB itu setelah menyedari ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam projek pembinaan telaga jejari.

Jika diselak balik isu yang pernah dibangkitkan bekas Exco itu, beliau telah membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Jawatankuasa Agung Pas Pusat yang dipengerusikan sendiri oleh timbalan presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, kerana presiden tidak hadir.

Namun malang, peringatan dan teguran ikhlas Husam itu tidak dipedulikan.

Sebaliknya beliau dianggap sebagai fitnah sengaja diada-adakan untuk memburukan kerajaan Kelantan. Tiada apa-apa tindakan diambil malahan beliau dicemuh.

Hatta semasa Tuan Ibrahim jadi menteri bertanggungjawab mengenai air, tiada apa-apa tindakan diambil.

Setelah sembilan tahun, bangkai busuk yang dicerita Husam disembunyikan dengan baik, akhirnya kini bau hapaknya telah menerawang dan masuk ke dalam hidup rakyat Kelantan apabila SPRM telah menunjukkan kuku dan taringnya di Kelantan.

Kelambatan SPRM bertindak itu menyebabkan Husam terjerut dengan tuduhan dan tiada seorang pun rakyat Kelantan menyebelahinya, melainkan marah sehingga kalah dalam dua pilihan raya.

Yang saya musykilkan kenapa SPRM mengambil masa hampir sedekad untuk bertindak, apakah dalam kes di Kelantan ini SPRM bertindak double standard?

Elok juga kalau bekas-bekas pengarah SPRM di Kelantan sebelum ini ditanya kenapa berlaku demikian? Justifikasinya didambakan.

Apapun terima kasih kepada SPRM di era kerajaan Madani ini. Benarlah seperti sering saya madahkan, KEBENARAN itu seperti keretapi malam, walaupun ia lambat tiba, tetapi ia akan sampai juga disetesen terakhirnya.

Dengan bermulanya tidak SPRM menyiasat segala macam kes yang berlaku di Kelantan, adalah elok kalau Kelantan yang kini dibawa pimpinan Nassaruddin Daud mengambil langkah untuk menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas diperingkat Negeri untuk menyiasat segala agensi dan jabatan negeri, bagi menyucikan saki baki kebobrotan yang berlaku atau tertepek dimana-mana.

Menjadi tanggungjawab beliau untuk menjamin kerajaan negeri bersih dan noda dan dosa yang selama ini disembunyikan atas nama Pas sebagai parti Islam.

Penubuhkan Jawatankuasa Kuasa Siasatan Khas negeri itu perlu dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Beliau tidak perlu takut dan bimbang dengan jawatankuasa berkenaan kerana beliau tidak terbabit dengan kebobrokan sebelum ini. Jawatankuasa itu juga selari dengan tindakan SPRM itu.

Maka, para penjawat jawatan penting berkaitan AKSB, baik Exco dan pengerusi AKSB, juga MB di era tahun 2008 hingga 2015 perlu tampil bersama atau menyerahkan diri untuk dihisab oleh Jawatankuasa Siasatan berkenaan.

Undi anak muda PN boleh ‘kalih’ jika PH agresif di media sosial

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Gelombang besar-besaran peralihan sokongan anak muda kepada Perikatan Nasional (PN) ketika ini boleh berubah kepada Pakatan Harapan (PH) jika kerajaan mendekati golongan terbabit dengan efektif menerusi media sosial, kata sebuah NGO.

Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai, berkata PH perlu memperbaiki naratif untuk anak muda, dengan ‘menangkap imaginasi’ mereka menerusi media baharu, merujuk sikap kumpulan itu yang mempunyai tahap kesetiaan politik rendah.

“Anak muda Melayu lebih suka kepada PN…itu memang tidak dapat dinafikan tetapi trend ini bukan sesuatu yang ‘ditentukan’ untuk selama-lamanya…tidak.

“Sokongan anak muda akan berubah juga kerana mereka mempunyai kesetiaan politik yang rendah,” katanya kepada FMT mengulas pola pengundian PRK Kuala Kubu Baharu membabitkan pemilih berusia bawah 40 tahun yang memihak kepada PN (65%) berbanding PH (39%).

“Katakan beberapa bulan atau beberapa tahun ini kerajaan Madani menunjukkan tadbir urus yang baik dan komunikasi dua hala berkesan, besar kemungkinan mereka boleh berubah arah untuk menyokong PH.”

Mengambil contoh situasi semasa PRU15, Tharma berkata PN berada pada kedudukan tercorot dalam kajian lapangan dibuat enam bulan sebelum pilihan raya itu, namun popularitinya melonjak dengan bantuan media baharu seperti TikTok.

“Kenapa PN tiba-tiba melonjak? Kerana (bagi anak muda) ia bukan isu agama atau ideologi konservatif yang dibawa PN tetapi naratif pemimpin manakah yang terbaik, diuar-uarkan di TikTok.

“Laskar siber mereka menunjukkan tiga pemimpin utama iaitu Zahid Hamidi (pengerusi BN), Anwar Ibrahim (pengerusi PH) dan Muhyiddin Yassin (pengerusi PN), dan hasilnya menunjukkan Muhyiddin menjadi tokoh paling diminati anak muda kerana gaya kepimpinannya,” katanya.

Bagaimanapun, Tharma berkata PN tidak boleh mendabik dada dengan populariti ‘undi muda’ yang dikecapinya kerana ia lebih kepada faktor demografi kaum, berbanding faktor lain.

“Selepas penguatkuasaan Undi18, peratusan pengundi Melayu naik dari 36% kepada 45% manakala undi bukan Melayu merosot dari 45% kepada 35%,” katanya.

Institut Darul Ehsan (IDE) semalam merumuskan, kejayaan PH mempertahankan kerusi Kuala Kubu Baharu disebabkan sokongan pengundi bagi kategori umur 41 tahun ke atas terhadap kerajaan Madani.

Namun, katanya PN masih menjadi pilihan pengundi muda kategori 40 tahun ke bawah, dengan memperoleh 65% undi daripada mereka walaupun peratusan keluar mengundi golongan itu hanya sekitar 57%.

Wakil Bersatu dakwa dikhianati parti 2 kali

Elill Easwaran

SHAH ALAM: Seorang Adun Bersatu yang menyuarakan tentangan terhadap pembangkang menjelang PRK di Kuala Kubu Baharu mendakwa beliau dikhianati parti itu, terutama mereka yang memegang jawatan kepimpinan.

Mengimbau kembali rundingan kerusi dalam kalangan komponen Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU ke-15 pada 2022, Abdul Rashid Asari berkata Bersatu dan PAS telah bersetuju untuk bertanding di tujuh kerusi Parlimen di Selangor.

Gerakan pula akan bertanding empat kerusi manakala empat lagi akan dipertahankan oleh penyandang Ahli Parlimen ketika itu.

Pada saat-saat akhir, PAS memutuskan untuk bertanding di Kapar juga, kerusi yang secara tradisinya milik Bersatu, kata Rashid.

“Saya berjuang keras untuk Kapar kekal sebagai kerusi Bersatu kerana jika PAS mengambilnya, mereka akan mengekalkannya sehingga kiamat,” katanya kepada FMT.

Dr Halimah Ali daripada PAS memenangi kerusi Parlimen itu dalam pertembungan tujuh penjuru.

Rashid, Adun Selat Klang, tidak menyatakan siapa yang akan mewakili partinya di kerusi itu sekiranya usahanya berjaya.

Bagaimanapun, beliau berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga pengerusi PN, boleh campur tangan tetapi memilih untuk berdiam diri.

“Apa yang anda akan lakukan jika anda berada di tempat saya?”

Rashid turut memetik satu lagi peristiwa yang mana katanya, beliau mengemukakan 22 nama untuk dipertimbangkan sebagai ketua bahagian semasa masih bertanggungjawab untuk bahagian negeri Bersatu.

Menurutnya, hanya lima dipilih manakala baki tempat diberikan kepada mereka yang sealiran dengan pemimpin tertentu – kumpulan yang disifatkannya sebagai kartel.

“Selepas bekerja dengan parti selama beberapa tahun, semua pendapat saya tidak diendahkan dan saya rasa dikhianati,” katanya.

Bersatu ditubuhkan oleh Muhyiddin dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 2016. Ia didaftarkan pada 2017.

Rashid mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada Mac tahun ini. Baru-baru ini beliau digantikan oleh bekas menteri besar Selangor Azmin Ali sebagai ketua Bersatu negeri.