"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu tiada lesen ditahan rempuh tiga kereta, rumah

MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD
Kemalangan melibatkan kenderaan jenis Proton Preve di Jalan Persiaran Awana, Cheras, semalam.
KAJANG – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memandu tanpa lesen sebelum mencetuskan kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan dan sebuah rumah di Jalan Persiaran Awana, Cheras di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira pukul 6.33 petang itu dipercayai berlaku apabila suspek berusia 41 tahun yang memandu sebuah Proton Preve hilang kawalan.

Menurutnya, kenderaan dipandu lelaki tempatan yang merupakan seorang penganggur itu terlebih dahulu melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Myvi.

“Akibat pelanggaran itu, Perodua Myvi tertolak ke hadapan lalu merempuh bahagian belakang sebuah Mazda CX-3 yang berada di hadapannya.

“Pada masa sama, Proton Preve dipandu lelaki berkenaan turut melanggar bahagian sisi kiri Mazda CX-3 sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, impak pelanggaran menyebabkan pokok berkenaan tumbang lalu menghempap tembok sebuah rumah berhampiran.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut,” ujarnya.

Naazron berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lelaki itu menemukan satu kartrij mengandungi cecair yang disyaki mengandungi dadah jenis MDMA.

“Hasil semakan juga mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu. Lelaki itu telah ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

“Suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine,” jelasnya.

Menurut beliau, siasatan kemalangan dijalankan mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, manakala kes pemilikan dadah disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana didapati positif dadah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, tidak memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol serta berhati-hati ketika berada di jalan raya. – KOSMO! ONLINE

19 warga asing dikaitkan Network School gagal dikesan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen gagal mengesan 19 warga asing yang dikaitkan dengan aktiviti Network School di Forest City, Johor.

Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata daripada 430 warga asing yang dikenal pasti terbabit aktiviti Network School, 210 orang masih berada dalam negara dan 201 lagi dikesan meninggalkan Malaysia.

“Daripada jumlah itu, kita ada 19 orang yang tidak dapat dikesan pergerakannya. Mungkin mereka keluar secara tidak sah ataupun mereka juga masuk secara tidak sah.

“Perkara itu akan disiasat lanjut. Kita akan kesan sama ada mereka ini masih berada di dalam negara ataupun mereka sudah keluar,” katanya menurut Sinar Harian selepas Sambutan Hari Imigresen Ke-104 di Cyberjaya.

Kontroversi berhubung Network School tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan program itu di Forest City dengan mendakwa ia menarik usahawan asing, termasuk warga Israel yang menggunakan pasport negara kedua.

Antara dakwaan tular ialah soalan temu duga kepada bakal peserta menyentuh isu berkaitan Israel, teknologi ketenteraan dan politik, selain dakwaan inisiatif itu berpotensi menjadikan Forest City sebagai lokasi pertemuan usahawan mempunyai kaitan dengan Tel Aviv.

Susulan itu, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menggesa Kementerian Dalam Negeri dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School.

Zakaria berkata, dua pemeriksaan imigresen telah dijalankan di lokasi berkaitan, tetapi tidak menemui perkara yang didakwa berhubung operasi Network School.

“Kita sudah membuat pemeriksaan terhadap 379 warga asing yang berada di Network School dan sehingga kini, dua kali pemeriksaan yang kita laksanakan, kita tidak menjumpai apa yang didakwa sebagaimana yang didakwa.”

Jelasnya, semua warga asing itu menggunakan pasport sah dan sistem imigresen hanya dapat mengesan seseorang menggunakan pasport berlainan ketika keluar masuk negara.

“Kalau seseorang itu secara konsisten menggunakan satu pasport yang sama, sistem kita tidak dapat mengesan sama ada dia memiliki pasport lain.

“Namun, jika dia masuk menggunakan satu pasport dan keluar menggunakan pasport berbeza, sistem biometrik imigresen akan mengesannya secara automatik.”

Presiden NGO disyaki seleweng peruntukan RM2 Juta bina dewan ditahan SPRM

Bernama

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan menyeleweng peruntukan pembinaan sebuah dewan berjumlah RM2 juta.

Menurut sumber, lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu ditahan pada 10 pagi tadi ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Sabah.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2022 dengan menyeleweng peruntukan yang diperoleh dari Kementerian Kewangan untuk pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri di negeri berkenaan.

“Suspek dipercayai mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan dewan itu tanpa persetujuan ahli majlis tertinggi pertubuhan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata suspek dijangka dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, pada Khamis ini.

Dalam kes berasingan, SPRM menahan setiausaha dan bendahari sebuah NGO kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram serta penyelewengan wang pertubuhan berjumlah RM5 juta untuk kepentingan peribadi.

Sumber memaklumkan kedua-dua suspek melibatkan seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara 2021 hingga 2023,” katanya.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) SPRM, Norhaizam Muhammad mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau berkata kedua-dua suspek akan dituduh pada 29 Julai ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.