"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pendaftaran Pakatan Rakyat Awal Tahun 2010

Pakatan Rakyat bersedia menjadi sebuah entiti politik menggabungkan KEADILAN, PAS dan DAP seawal-awalnya Disember ini berikutan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak lagi memerlukan syarat tujuh parti untuk mendaftar gagasan itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KEADILAN, Datuk Zaid Ibrahim berkata, perkara itu akan dibentang dan diperinci dalam konvensyen yang dihadiri pemimpin utama ketiga-tiga parti, Disember ini.

"Jika semua pihak mencapai persetujuan berkaitan soal dasar, lebih cepat entiti boleh didaftar tapi ia mungkin mengambil masa dan perbincangan lanjut. Kita tidak menetapkan tempoh masa (time frame)," katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas persediaan pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti seperti Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, dokumen berkaitan dasar yang bakal menjadi tunjang Pakatan Rakyat akan dibentang dalam mesyuarat bulanan antara ketiga-tiga parti pada 20 Oktober ini.

"Perbincangan mengenai soal dasar meliputi pendirian kita terhadap isu perundangan, ekonomi, bahasa, pelajar dan banyak lagi. Ia mengambil masa tapi, untuk menggubal Perlembagaan, tidak susah," katanya.

Naib Presiden KEADILAN, R Sivarasa pula berkata, ketiga-tiga parti sejak berakhir pilihan raya umum ke-12 sudah memberi tumpuan untuk membina satu entiti tapi mahu mengukuhkan aspek lain dulu.

Beliau berkata, semua parti mahu perkukuh dan memperkemas struktur mekanisme antara parti terbabit terlebih dulu, selain membaiki masalah komunikasi dan pentadbiran.

"Kini, kita sudah ada sekretariat Pakatan Rakyat peringkat negeri dan dalam fasa melengkapkan sekretariat di peringkat Cabang yang masih dalam proses," katanya.

Sivarasa menganggap isu pendaftaran Pakatan Rakyat penting tapi tidak sepenting permuafakatan dan penyelesaian masalah antara ketiga-tiga parti kerana ia menjurus kepada masalah teknikal.

"Ia hanya signifikan jika semua parti mahu guna satu lambang pada pilihan raya ke-13 tapi kita memang beri tumpuan aspek itu," katanya.

Baik Zaid mahupun Sivarasa tidak bimbang dengan kewujudan sebuah parti politik di Sarawak, Pakatan Rakyat Malaysia (PRM) yang diluluskan ROS awal Oktober lalu.

Walaupun wujud unsur sabotaj tapi kedua-dua pemimpin itu sependapat, ia dianggap cuma masalah teknikal walaupun penggunaan nama Pakatan Rakyat sentiasa menjadi pilihan utama.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof berharap ROS tidak membesar-besarkan masalah itu dan menolak permohonan pendaftaran sebagai entiti dengan nama Pakatan Rakyat.

"Pakatan Rakyat yang mahu kita daftar adalah sebuah gabungan manakala satu lagi 'Pakatan Rakyat' hanya sebuah parti. Sepatutnya tidak masalah kecuali ROS atau SPR sengaja cari pasal.

"Kita memang mahu mendaftar sebagai sebuah gabungan bagi memantapkan persefahaman sedia ada antara tiga parti. Ini mewujudkan sistem dua parti di negara ini," katanya.

Selain Pakatan Rakyat, 'Makkal Sakhti' yang selama ini menjadi laungan pemimpin Pakatan Rakyat bagi menarik sokongan masyarakat India, sudah 'dicuri' dan menjadi nama sebuah parti politik baru.

Malah, ungkapan reformasi yang menjadi laungan rakyat sejak 1998 juga telah dijadikan nama sebuah parti pada 2000 apabila aktivis Hindraf, P Uthayakumar menubuhkan Parti Reformasi Insan Malaysia.
-tvantara.com-

Tiada ulasan: