"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Barangan yang tidak kena GST

Timmy Say
Pelbagai pihak telah memberikan hujah mereka terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula 1 April 2015 ini.

Cadangan GST yang telah diserang sejak awal oleh pihak pembangkang menyebabkan kerajaaan BN diletakkan di posisi bertahan sebaik sahaja perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Bajet 2014.

Akibat itu, media perdana pro-kerajaan berhempas-pulas mencari berita yang menyokong, memuji dan mengampu agar GST dilaksanakan termasuklah memainkan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan menyokong GST sebagai satu sistem cukai yang efisien.
Pertarungan politik mengenai GST menyebabkan perbahasan mengenai GST lari daripada perkara pokok yang harus dibincangkan.

Ketika mengumumkan GST, Najib menggunakan hujah bahawa GST telah dilaksanakan di lebih 160 negara. Malah beliau menggunakan contoh Indonesia, Filipina, Laos, Cambodia Burkina Faso, Burundi, Zimbabwe, Rwanda dan Kenya pun telah melaksanakan GST.

Tujuan Najib menggunakan nama-nama negara ini adalah untuk menjawab hujah pembangkang bahawa rakyat Malaysia masih tidak lagi bersedia untuk GST.

Untuk mengurangkan kegusaran rakyat, Najib turut mengumumkan bahawa bukan semua perkara dikenakan GST.

Antaranya:
Beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, cencalok, budu, belacan;

Bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik; perkhidmatan kerajaan seperti pengeluaran pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah; perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuhraya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan; jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih.

Hujah di sinilah yang rakyat mula keliru mengenai GST.

Mesej Najib bahawa ada barangan yang tidak akan dikenakan GST telah membawa tanggapan bahawa harga barangan bagi semua yang disebut di atas akan kekal di paras lama walaupun GST dilaksanakan kepada rakyat, terutamanya mereka yang di kampung.

Itu satu tanggapan yang silap.

Najib hanya berjanji perkara-perkara di atas tidak dikenakan GST, beliau tidak pernah berjanji bahawa perkara-perkara di atas tidak akan mengalami peningkatan harga.

Contoh paling mudah ialah gula. Gula tidak dikenakan GST, kata Najib dalam Bajet 2014. Kemudian Najib berkata subsidi gula dimansuhkan dan gula kini dijual pada harga RM2.84 sen sekilo (disebabkan ketiadaan satu sen, maka harga sebenar ialah RM2.85 sekilo).

Jika gula dikenakan GST 6%, harganya menjadi RM3.01 sekilo, peningkatan sebanyak 17 sen.

Dalam tempoh 17 bulan ini sehingga terlaksananya GST, rakyat Malaysia percayakah harga gula masih akan berada di tahap RM2.84 sekilo pada 1 April 2015 nanti?

Sudah tentu tidak.

Jika ya, maka golongan yang percaya ini juga harus percaya bahawa kerajaan tidak akan meningkatkan tarif elektrik dan bahan api pengangkutan (mengekalkan pemberian subsidi minyak) untuk 17 bulan akan datang.

Lihat pula makanan-makanan asas yang dikecualikan GST yang memberikan gambaran bahawa harga makanan tidak akan meningkat atau meningkat sedikit sahaja iaitu 6% jika GST dilaksanakan. Kita ambil contoh mudah - tepung.

Tepung dikecualikan daripada GST. Tapi harga tepung tidak, lebih-lebih lagi ialah harga roti yang dijual di pasaran dan juga kedai-kedai bakeri yang layak dikenakan GST. Begitu juga dengan biskut.

Harga tepung, roti dan biskut yang dijual di pasaran bergantung pada kos penghasilannya – gaji, kos elektrik dan kos pengangkutan – yakni tiga kos yang dijangka meningkat dari semasa ke semasa. Tambahan kos akan berlaku pada bayaran elektrik dan kos pengangkutan apabila GST dilaksanakan. Semua ini akan dimasuk kira ke dalam harga jualan produk yang baru dan lebih tinggi, yang akhirnya dibayar rakyat.

Ya, tepung tidak dikenakan GST. Tapi berapa ramai rakyat menggunakan tepung sebagai bahan asas untuk membuat makanan di rumah? Berapa ramai pula rakyat terus membeli produk yang dihasilkan tepung seperti roti dan biskut yang akan dikenakan GST sebagai makanan?

Begitu juga kos perkhidmatan kesihatan. Betul kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam bahawa ia tidak dikenakan GST, tapi apakah jaminan beliau bahawa perkara ini tidak akan mengalami peningkatan harga?

GST tidak dinafikan ialah satu sistem yang baik untuk dilaksanakan sebagai satu sumber pendapatan baru yang dibayar rakyat kepada kerajaan daripada harga yang dibayar untuk pembelian barangan dan perkhidmatan.

Namun, GST akan membawa inflasi. Kos GST yang ditanggung oleh syarikat-syarikat akan dipikul oleh rakyat marhaen pada akhirnya kerana semua kos tambahan akan dimasukkan bersama dalam harga jualan produk mereka nanti.

Debat sebenar bukan pada baik-buruk sistem GST. Debat sebenar ialah pada peningkatan harga barangan dan perkhidmatan yang bakal berlaku kerana GST.

Rakyat perlu faham pengecualian sesetengah barangan daripada dikenakan GST bukan bermaksud harga tersebut tidak akan melambung tinggi.

Dalam konteks Malaysia, pembangkang berpendapat rakyat yang bergaji rendah dan pertengahan tidak perlu dibebankan oleh peningkatan kos akibat GST dan GST sendiri kerana kegagalan BN mengurus sumber negara yang kaya. Pendek kata, rakyat tidak harus dihukum kerana keborosan BN.

Seperti roti putih, harga jualan dijangka mengalami inflasi apabila kerajaan terus mengurangkan subsidi minyak, menaikkan tarif elektrik dan apabila GST dilaksanakan.

Harga jualan yang bakal dibayar rakyat sudah pasti termasuk peningkatan kos yang perlu ditampung syarikat roti. Apa yang membezakan harga akhir yang dibayar rakyat ialah tempat di mana seseorang itu membeli roti.

Jika membeli roti tersebut daripada pasaraya – bayarlah lebih 6% GST sebagai sumbangan cukai anda kepada kerajaan. Jika membeli dari kedai runcit di kampung, nikmatilah roti anda pada harga yang baru tanpa perlu menyumbang kepada kerajaan.

Namun yang pasti, semua diwajibkan membeli roti pada harga yang lebih tinggi – samada kaya mahupun miskin, CEO mahupun kerani. Adil dan saksamakan?

Tiada ulasan: