"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami menerima sepuluh jahitan di kepala akibat dibelasah oleh isterinya menggunakan kayu dan batu

Kajang: Sepuluh jahitan di kepala dan lebam di beberapa bahagian badan. Itu akibat terpaksa ditanggung seorang pengawal keselamatan apabila dihentak dengan batu dan dipukul menggunakan kayu oleh isterinya sendiri.

Puncanya, hanya disebabkan lelaki terbabit yang berusia 29 tahun terlupa membeli makanan untuk juadah sarapan sebagaimana disuruh isterinya itu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi Selasa lalu di lokasi mangsa bertugas iaitu di pondok kawalan sebuah taman perumahan di Bandar Baru Bangi, di sini.

Sumber polis berkata, sebelum itu, ketika mangsa mahu keluar rumah untuk bekerja, isterinya yang berusia 25 tahun berpesan supaya dibelikan makanan untuk sarapan.

“Bagaimanapun, mangsa terlupa pesanan isterinya itu dan terus ke tempat kerja yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah mereka,” katanya.

Menurutnya, tidak lama selepas itu wanita berkenaan datang ke pondok kawalan tempat suaminya bertugas dengan menaiki motosikal.

“Sebaik saja wanita itu turun dari motosikal, mangsa menghampirinya untuk bertanya tujuan kedatangan ke situ, namun belum sempat lelaki itu bertanya, suspek menumbuk mukanya beberapa kali.

“Mangsa tidak membalas pukulan isterinya dan hanya berulang-kali meminta penjelasan. Dengan marah suspek memberitahu dia tidak puas hati kerana mangsa tidak membelikan sarapan sebagaimana diminta,” katanya.

Sumber itu berkata, di sebalik usaha mangsa untuk menenangkan dan meminta suspek bersabar, wanita itu bertindak lebih agresif dengan menendang pula badan suaminya.

Menurutnya, amukan wanita terbabit tidak berakhir di situ kerana dia kemudian mengambil kayu di kawasan berhampiran dan memukul badan mangsa.

“Selepas dipukul beberapa kali, mangsa merampas kayu daripada isterinya, namun tindakan itu menambahkan kemarahan suspek yang kemudian mengambil batu dan menghentak kepala mangsa.

“Akibat hentakan itu, mangsa pengsan, manakala suspek yang panik terus melarikan diri daripada lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Kajang, di sini, untuk mendapatkan rawatan oleh rakan sekerjanya dan menerima 10 jahitan di kepala, selain ditahan di wad.

Sumber itu berkata, sebaik saja dibenarkan keluar dari hospital petang, kelmarin mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang, di sini.

“Dalam laporan dibuatnya, lelaki itu mendakwa dia memang sering dibelasah isterinya itu biarpun hanya melakukan kesalahan kecil sejak lebih setahun lalu.

“Mangsa berkata, dia memutuskan untuk membuat laporan polis ke atas isterinya kerana sudah tidak tahan dikasari selain bimbang kejadian lebih buruk berlaku pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan setakat ini belum ada tangkapan dilakukan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi Harian Metro, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
-hmetro-

1 ulasan:

Nyokomeng berkata...

Nanti tokey boleh ambil si bini tu pulak jadi pengawal keselamatan.