"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengundi bukan Melayu derhaka kepada PAS?

Sobri Ahmad
PETALING JAYA: Pada PRU-13 lalu, PAS memenangi kerusi DUN Sungai Limau apabila menewaskan calon BN dengan majoriti 2,774 undi, sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah selama 5 penggal berturut-turut.

Apakah pengundian esok bakal mengesahkan PAS terus unggul di kubu kuatnya itu atau sekadar berputih mata, andai BN berjaya merampas kerusi DUN-20 yang pernah diwakili oleh bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak sebelum ini?

Berbekalkan rekod kemenangan lampau, PAS dijangka tidak menghadapi kesukaran mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau dengan temanya; ‘Kekal’.

Sebaliknya, BN terpaksa berkerja keras mendekati penduduk setempat dengan tawaran pakej pembangunan modal insan dan infrastruktur, untuk meraih sokongan, khasnya pengundi atas pagar kira-kira 14,000 orang yang selama ini memihak kepada PAS. ‘Berani berhijrah’ kah mereka sepertimana slogan BN dalam PRK itu?

Sebelum ini, PAS disifatkan selesa dengan kedudukan 60-40 peratus di DUN Sungai Limau (dulunya DUN Sala), berdasarkan kejayaan PAS meningkatkan undi sebanyak 1,351 kepada jumlah undi 13,294 pada PRU-13, berbanding 11,943 pada PRU-12. Dari satu segi lain, penganalisa politik berpendapat peningkatan itu hanya mewakili satu perempat (25%) daripada 5,255 pemilih baru, bukanlah suatu petanda baik untuk PAS di Sungai Limau kerana kecenderungan 75% lebih memihak kepada BN.

Strategi PAS mempertaruhkan calon muda berusia 37 tahun, Mohd Azam Abdul Samat, cucu kepada Tuan Guru Haji Hamid, pengasas pondok di Bukit Besar, dilihat sebagai serampang dua mata, bukan sekadar mengekalkan imej kepimpinan ulamak oleh PAS, tetapi juga strategi menawan hati sebahagian 3,904 lagi pengundi muda yang mengundi BN pada PRU lalu.

Pun begitu, imej bersih calon PAS, sedikit tercalar apabila timbulnya isu poster kempen yang memanipulasi gambar Azizan, seorang tokoh dihormati oleh masyarakat Sungai Limau.

Personaliti Azizan

Tidak dinafikan, faktor kemenangan PAS selama lima penggal berturut-turut sebelum ini lebih banyak bergantung kepada personaliti Azizan itu sendiri, bukannya kekuatan mutlak PAS, kerana jumlah ahli PAS Sungai Limau hanya sekitar 3,000 orang saja.

Tidak hairanlah, apabila jentera kempen BN dengan mudah memasuki kubu-kubu PAS di Bukit Besar, Bukit Choras, Sungai Dedap dan Permatang Buluh, melalui program berkampung bersama masyarakat setempat yang turut disertai oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Jika sebelum ini, pusat daerah mengundi (pdm) Ulu Sedaka, Sedaka dan Titi Batu dikuasai oleh PAS, tetapi keadaan berbeza kali ini. Ketua Bahagian Umno Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berasal dari kawasan itu akan menjadi batu penghalang kepada PAS untuk terus mengekalkan majoriti undi di situ.

Tambahan pula, calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim anak kelahiran Titi Batu, dijangka mendapat sokongan padu daripada orang kampungnya sendiri.

Segelintir penyokong PAS mendakwa, pengumuman peruntukan sebanyak RM RM2.25 juta kepada tiga buah Sekolah Cina di DUN Sungai Limau baru-baru ini, akan menyebabkan sokongan kira-kira 1,800 pengundi bukan Melayu beralih arah kepada BN.

Jika ini berlaku, BN bukan sahaja dapat mengurangkan majoriti PAS, tetapi tidak mustahil akan berlaku kejutan. Mungkinkah PAS akan kecundang di gelanggang sendiri akibat dari penderhakaan pengundi bukan Melayu?
-freemalaysiatoday-

Tiada ulasan: