"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

48 remaja lelaki dan perempuan 'berpesta liar' ditahan

TELUK KEMANG: Tiga pelajar sekolah yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula Rabu ini antara 48 remaja dan belia yang ditahan polis selepas berpesta liar dan mengambil dadah di tepi pantai Batu 6, Jalan Pantai Teluk Kemang, Port Dickson dekat sini awal pagi ini. 

Pelajar ditahan itu terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki sedang berseronok di tepi pantai berkenaan dalam Op Cantas Khas kira-kira pukul 3.30 pagi.

Lebih mengejutkan apabila 27 remaja dan belia yang ditahan dalam serbuan itu didapati positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan ke atas mereka, termasuk sebahagiannya berada dalam keadaan khayal.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Abd. Wahab Harun berkata, serbuan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Port Dickson itu diketuai oleh Inspektor Nor Shaiful Asrar Mohd. Najib, hasil maklumat awam.

Menurutnya, ketika ditahan kesemua remaja yang terdiri daripada 27 perempuan dan 21 lelaki serta berusia 29 hingga 17 tahun itu sedang leka menari sambil diiringi muzik yang kuat.

"Pemeriksaan lanjut mendapati dua remaja perempuan dan seorang lelaki daripada kumpulan itu masih bersekolah dan bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi," katanya ketika ditemui dekat sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang positif dadah itu dibawa ke IPD Port Dickson untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya manakala bakinya dibebaskan selepas diambil keterangan.

"Kesemua mereka ini yang datang sempena cuti Deepavali dan hujung minggu berasal dari Lembah Klang dan ada yang bekerja sebagai pelayan hotel serta jurujual di beberapa pasar raya di ibu kota," katanya.

SEBAHAGIAN daripada 48 remaja yang ditahan polis selepas menyertai satu pesta liar di pantai Batu 6 Jalan Pantai, Teluk Kemang.
Utusan 

Tiada ulasan: