"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin Ali pun okay, malahan lebih dari okay

Aspan Alias
Kenapa PKR meletakkan Wan Azizah sebagai pengganti Khalid, semua orang tahu sebabnya. Kenapa PKR tidak meletakkan Azmin Ali, Pengerusi PKR Negeri Selangor, ke jawatan itu pun semua orang tahu. Sebagai seorang yang mengetuai parti di Selangor Azmin sebenarnya adalah orang yang ‘legitimate’ untuk mengambil alih Khalid jika benar Khalid tidak lagi mendapat sokongan dari Dewan Undangan. Malahan ramai bertanya kenapa selepas pilihanraya ke13 dahulu Azmin tidak dibawa ke Istana untuk mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar itu?

Jika Anwar dan PKR menganggap Khalid tidak sesuai lagi dan perlu diganti, mencadangkan Wan Azizah itu juga merupakan satu ‘misadventure’ bagi PKR. Keadaaan di Selangor tidak kan kembali seperti dahulu kala lagi. Azmin bukannya seorang yang sakit atau mengidapi penyakit mental atau sebagainya. Azmin sihat dan segar bugar. Beliau adalah Ketua PKR Selangor dan juga seorang Ahli kepada Dewan Undangan Negeri Selangor.

Azmin merupakan seorang arkitek pembinaan PKR dan beliau bukan calang-calang orang untuk tidak dipertimbangkan kepada jawatan ini. Nasib Azmin yang tidak dipandang oleh pucuk pimpinan PKR ini juga adalah diatas pertimbangan politik peribadi seseorang atau keluarga seseorang itu.

Bukan tidak ada desakan untuk Azmin ditempatkan ke jawatan itu. Kenapa hendakkan Wan Azizah juga? Tetapi persoalan itu hanya boleh dijawab oleh Anwar Ibrahim dan keluarganya sahaja. Jika kita sebut sebabnya yang benar, nanti kita akan dinafikan kebenaran itu.

Ada yang membuat spekulasi supaya meletakkan Dr Idris, ADUN Ijok sebagai calon kompromi. Jika semua pihak termasuk Azmin bersetuju, Dr Idris mungkin calon kompromi yang sesuai. Tetapi Dr Idris sebagai seorang yang saya kenali agak rapat, adalah orang baik dan orang baik semata-mata bukannya pilihan yang tepat. Kita bukannya mencari orang baik, tetapi pemimpin yang baik.

Kalau hendak mencari setakat orang baik, mungkin bilal dan imam di mana-mana masjid di Kuala Selangor dan Tanjung Karang ada yang layak untuk menggantikan Khalid Ibrahim ini.

Nama Azmin ini bukan terbit dari saya atau sesiapa, tetapi itulah yang saya dengar berlegar dipemikiran orang biasa di bawah-bawah ini dan saya bersetuju dengan pandangan itu. Saya sendiri mengenali Azmin dan pernah duduk bercakap tentang apa yang berlaku dalam politik negara.

Adalah tidak adil bagi saya untuk menafikan yang Azmin adalah seorang yang mempunyai ‘sisek’ kepemimpinannya. Beliau mempunyai pemikiran dan jiwa yang mantap untuk menjadi calon pengganti kepada Khalid jika Khalid terpaksa juga berhenti. Azmin menjaga bukan sahaja kekuatan mentalnya, tetapi beliau juga menjaga kesihatan tubuhnya seolah-olah sudah bersedia untuk menyeliakan sebuah negeri yang maju di negara ini.

Tetapi apa yang menyebabkan beliau dipinggirkan tidak dapat ramai yang tahu. Hanya Anwar boleh memberikan jawapannya walaupun agak ramai juga yang boleh ‘menyelam air dalam tunggak itu’.

Tetapi pandangan ini hanyalah pandangan seorang yang di ‘luar kandor’ bak kata pepatah orang kampung saya. Saya hanya memberikan pandangan sebagai seorang biasa yang telah menumpang berteduh di negeri Selangor sejak 44 tahun dahulu.

Relatively speaking, memilih Azmin itu adalah lebih dari okay. Yang nyata Kajang Move dahulu merupakan satu tindakan yang menghasilkan apa kita semua lihat hari ini. Ia tidak berapa nak menjadi.

Tiada ulasan: