"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Industri dosa juga ada sistem multilevel marketing!

ZULKIFLI YAHAYA
SAYA tertarik dengan pandangan mengenai budaya baharu ‘langit terbuka’. Sekarang adalah zaman segala maklumat tersebar dengan pantas dan tepat melalui pelbagai aplikasi seperti whatsapp, facebook dan twitter.

Harus sedar tiada rahsia lagi sebaik sahaja sesiapa mula mengetuk papan kekunci. Tiada maaf bagimu apabila ada yang mula mengeluar apa sahaja kenyataan dari lidah tidak bertulang. Tiada ampun bagi yang beraksi gampang. Sekelip mata ia akan tersebar dan akan mula menerima kutukan atau pujian.

Ramai yang menjadi pengguna aplikasi tersebut namun tidak mengubah cara dalam berinteraksi dan berkomunikasi. Maka akhirnya mereka akan dilihat menjengkelkan sedikit demi sedikit oleh khalayak yang pada mulanya menghormati dan menyayangi boleh berubah dalam sekelip mata membenci mereka.

Dalam budaya baharu langit terbuka ini, sesiapa sahaja tidak mampu lagi untuk menyekat, menghalang atau menasihati sesiapa sahaja dari mengeluarkan pandangan; bagaimana jengkel, bengap bahkan sesat sekalipun pandangan tersebut. Mengeluarkan nasihat ‘hentikanlah’ terhadap sebarang polemik di alam maya ini semacam suatu jenayah dalam budaya baharu ini.

Justeru, dalam konteks organisasi Islam sekalipun, para pemimpin organisasi jangan cuba menasihati ahli-ahli supaya menghentikan polemik berkaitan isu dalaman. Bagi pengikut budaya langit terbuka ini, mengarahkan penamatan polemik dalaman organisasi akan lebih mendedahkan pemimpin dan organisasi itu sendiri terhadap pelbagai tanggapan negatif.

“Masyarakat dunia khususnya di Malaysia mesti memahami budaya baharu ini, jika anda gagal memahaminya pasti anda akan kecundang walaupun anda sudah berada di singgahsana kayangan sekalipun akhirnya,” itu intipati penting dalam kata nasihat terhadap golongan yang berinteraksi dengan budaya baharu langit terbuka.

Jika nasihat ini ditujukan kepada seluruh ahli masyarakat dalam konteks pemahaman sekular yang memisahkan antara kehidupan sosial dan hukum hakam agama, mungkin ada ‘rasionalnya’. Tetapi jika ia menjadi unsur nasihat terhadap semua pemegang akidah Islam yang beriman kepada Allah dan hari pembalasan, lebih-lebih lagi kepada ahli-ahli gerakan Islam maka ia suatu penyelewengan.

Hakikatnya, budaya baharu langit terbuka ini tidak tinggi kedudukan daripada budaya Islam yang tidak mengizinkan fitnah, maki hamun, menempelak dengan hawa nafsu, menyindir, menghina, mengutuk, menggelar, mendedah kepincangan persepakatan, lawan melondeh; yang akibatnya terbarai ukhuwah, binasa akhlak, membakar api permusuhan, dendam mendendam sehingga ada yang menyambung permusuhan di luar maya - membelasah secara fizikal, ego, tidak tahu menghormati manusia lain, hilang pertimbangan memilih keutamaan; oleh khalayak itu daripada kelompok ahli-ahli harakah Islamiyah. Maka kerosakan yang lebih teruk ialah imej wadah yang jadi 'taruhan' dalam pilihan raya. Atau jika tidak kerana pilihan raya sekalipun, wibawa wadah Islam tersebut akan musnah serta tidak dihormati lagi oleh masyarakat.

Sebenarnya tiada masalah berpolemik dalam arus budaya langit terbuka jika di dalamnya adalah pemuka ilmuan atau sekurang-kurangnya yang tahu menjaga adab dalam berhujah. Namun realitinya di dalamnya ada si jahil, penyamun, pengadu domba, 'special branch' bahkan musuh yang menyamar pun turut serta. Maka 'perlawanan hujah' di alam maya di kala itu bagai tikus membaiki labu.

Kehancuran yang lebih teruk daripada itu ialah industri dosa yang berkembang pesat dan tersebar dengan pantas. Sama seperti ganjaran yang diterima dalam sistem 'multilevel marketing'. Setiap fitnah, adu bomba dan pendedahan rahsia jemaah yang dikirim di alam maya, disalin dan disebar secara meluas – maka sebanyak itu juga catatan dosa berhubungnya terkumpul.

Mengumpat dan mencela adalah perbuatan keji. Mengumpat di zaman dahulu berlegar di sekitar empat, lima orang yang berkumpul di ruang tamu rumah. Ia tetap keji sehingga Allah mempamerkan hukuman terhadap pengumpat dan pencela dalam perjalanan Israk Mikraj Rasulullah s.a.w.

Nah, hari ini pengumpat dan pencela melebarkan amalan keji mereka di hadapan ribuan manusia, di alam maya. Itu baru satu contoh dari pelbagai kisah perbuatan keji dalam budaya baharu langit terbuka yang diraikan oleh para pengkagum atau pengikut alam maya.

Hampir semua organisasi terpaksa menanggung akibat daripada ledakan budaya langit terbuka ini. PAS dan Pakatan Rakyat juga tidak terkecuali.
Kelihatannya agak mencemaskan juga. Apa yang penting dalam menghadapi situasi getir ini ialah kebijaksanaan pemimpin menguruskan diri sebagai pemimpin supaya tidak tersadung di alam maya. Termasuk juga kebijaksanaan pemimpin menguruskan ahli-ahli supaya bijak berperanan sebagai pemain di pentas maya.

Sesungguhnya cabaran zaman adalah berbeza. Jika PAS dan Pakatan dapat mengatasi cabaran budaya langit terbuka ini, maka mereka akan muncul sebagai pemenang. Janganlah cepat mengalah atau berputus asa dalam menghadapi cabaran terkini.
Tiada masalah yang tidak boleh diatasi. Masa depan Pakatan tetap cerah, selagi kerajaan yang memerintah adalah BN yang sedang menuju zaman nazak kerana ‘sakit tua’.

Tiada ulasan: