"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perunding Israel akui Hamas sukar dikalahkan dan hampir mustahil tentera Israel mampu memusnahkannya

KUALA LUMPUR 3 Ogos: Seorang tokoh perunding dan penganalisis Israel mengakui pergerakan Hamas sukar dikalahkan dan hampir mustahil tentera Israel mampu memusnahkan pergerakan tersebut.
Akhbar Jewish News memetik Gershon Baskin yang juga kolumnis akhbar Jerusalem Post sebagai berkata, Hamas juga tidak boleh menewaskan Israel tetapi pergerakan itu semakin matang dalam pertempuran ketika berhadapan tentera Israel setelah melalui pengalaman dalam beberapa konflik sebelum ini.

Menurutnya, bertempur dengan pejuang Hamas merupakan situasi yang sukar kerana mereka adalah tentera yang sangat berdedikasi dan tidak takut untuk mati kerana mereka berjuang demi kebebasan tanah air mereka dan masa depan generasi mereka.

"Pejuang Hamas tidak akan menyerah diri dan tidak akan mengibarkan bendera putih, meskipun hanya tinggal seorang pejuang, sepucuk senapang dan sebuah roket.

"Mereka (pejuang Hamas) akan berjuang sehingga mereka terkorban (syahid) tanpa rasa gentar atau takut kerana mereka bersedia untuk mati demi negara (Palestin), agama dan Tuhan mereka," katanya.

Baskin yang bertanggungjawab membantu membebaskan askar Israel, Gilad Shalit yang ditahan pergerakan Hamas sebelum ini, turut berkata, sekali pun Israel berjaya melumpuhkan Hamas, konflik Israel-Palestin tidak akan dapat diselesaikan, sebaliknya ia akan menjadi semakin buruk pada masa akan datang.

"Hamas tidak boleh dimusnahkan kerana Israel tidak boleh menghancurkan hak penduduk Gaza yang sah untuk hidup bebas, sama seperti penduduk Yahudi yang mahu hidup aman tanpa diganggu oleh pergerakan Islam itu," katanya.

Beliau juga menagkui tindakan ketenteraan tidak akan dapat menamatkan masalah di Gaza, Tebing Barat dan juga konflik Israel-Palestin.

"Hanya pendekatan politik boleh menyelesaikan masalah di Gaza dan Tebing Barat, dan syarat yang dinyatakan oleh Hamas bukan sukar untuk dipenuhi.

"Hamas hanya meminta sekatan ekonomi ditarik balik, kawasan menangkap ikan yang lebih luas, penarikan semula sekatan gaji ke atas pegawai Palestin dan mengiktiraf pucuk pimpinan (Hamas) yang dipilih penduduk Gaza," katanya.

Tiada ulasan: