"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kondom bersepah di kuarters lama

Razali (kiri) bersama Syed Othman (kanan) menunjukkan kondom terpakai yang dibuang bersepah di dalam bangunan terbiar berkenaan.
Razali (kiri) bersama Syed Othman (kanan) menunjukkan kondom terpakai yang dibuang bersepah di dalam bangunan terbiar berkenaan.
PASIR GUDANG - Perasaan ingin tahu seorang penduduk berikutan kelibat beberapa pasangan remaja yang kerap mengunjungi bangunan tinggal di Jalan Sena kawasan Sungai Buluh, di sini membawa kepada penemuan mengejutkan.

Razali Ngah, 48, berkata, bangunan bekas kuarters kerajaan yang ditinggalkan sejak lebih 15 tahun lalu itu menjadi ‘port maksiat’ apabila menemui banyak kondom dan tisu terpakai bertaburan di beberapa bilik bangunan lima tingkat berkenaan.

Menurutnya, lebih mengejutkan apabila kebanyakan perempuan yang membonceng motosikal pasangan lelaki masing-masing yang masuk ke bangunan berkenaan lengkap bertudung.

“Saya mula sedar kawasan itu menjadi tumpuan setiap hari Ahad pada waktu pagi dan petang apabila ramai pasangan yang masuk ke kawasan lima blok bangunan tinggal berkenaan.

“Perasaan ingin tahu itu membuatkan saya sendirian ke lokasi dan sangat mengejutkan apabila menemui banyak kondom dan tisu bersepah di dalam beberapa bilik bangunan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Razali berkata, dia tidak menyangka bangunan terbiar yang terkenal sebagai lokasi panas yang menyeramkan itu boleh dijadikan ‘port’ tidak bermoral golongan muda.

Menurutnya, ia dibimbangkan boleh mendatangkan perkara yang tidak diingini sekiranya terus dibiarkan tanpa pemantauan daripada pihak bertanggungjawab.

“Saya nampak pasangan keluar masuk pada waktu siang sahaja, mungkin mereka takut nak datang pada waktu malam memandangkan kawasan ini terkenal sebagai lokasi ‘keras’.

“Saya mohon pihak bertanggungjawab dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi perkara ini daripada dibiarkan berterusan kerana banyak juga botol minuman keras ditemui,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan menghubungi pihak bertanggungjawab dalam masa terdekat untuk mencari jalan penyelesaian.

“Kita akan mencari jalan penyelesaian bersama sama ada mengambil tindakan memasang pagar semula seperti dahulu atau meletak pengawal keselamatan.

“Tindakan ini boleh mengawal pasangan remaja menceroboh ke kawasan itu agar tidak berterusan dijadikan ‘port maksiat’,” katanya.

Tiada ulasan: