"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perbicaraan Mat Sabu Kes Bukit Kepung Dah Jadi Macam Maharaja Lawak

HARAKAHDAILY 
KUALA TERENGGANU: Perbicaraan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini menyaksikan saksi pendakwa mengaku beliau tidak membuat laporan polis meskipun laporan polis kononnya atas nama beliau wujud dan dikemukakan di mahkamah.

Saksi pendakwa tersebut berkata demikian ketika beliau disoal balas oleh peguambela Mohamad yang mesra dengan panggilan Mat Sabu, Mohamed Hanipa Maidin di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini.

Saksi tersebut adalah Puan Azlas Jaafar, 65, merupakan saksi ke-10 pihak pendakwa dalam kes pendakwaan ke atas Mat Sabu berkaitan isu Bukit Kepong.

Mat Sabu didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana didakwa kononnya menfitnah anggota anggota polis di Bukit Kepong dan keluarga mereka semasa menyampaikan ceramah di Kg Jarak, Kepala Batas, Pulau Pinang pada bulan 21 Ogos 2011.

Di dalam keterangan semasa disoal oleh pihak pendakwa, Yusaini Amir, saksi tersebut menyatakan beliau tidak pernah membuat laporan polis ke atas ucapan Mat Sabu tersebut apabila ditanya soalan adakah beliau ada membuat laporan polis.

Saksi tersebut juga menyatakan dia tidak boleh menulis dan membaca dan dia juga tidak pernah mendengar ucapan Mat Sabu malahan tidak mengenali pemimpin PAS tersebut.

Saksi menyatakan ada orang beritahu beliau Mat Sabu telah menghina bapa beliau yang menurut beliau telah meninggal dunia pada tahun 1950 kerana diserang komunis di Bukit Kepong.

Peristiwa Bukit Kepong bagaimanapun berlaku pada bulan Februari tahun 1951.

Semasa disoal balas oleh Hanipa Maidin, saksi mengaku dia tidak membuat laporan polis namun apabila Hanipa menunjukkan laporan polis yang mengandungi nama beliau, saksi menyatakan itu bukan laporan beliau kerana beliau tidak buat laporan polis dalam sebarang masa.

Hanipa kemudian menyoal seperti berikut:

Hanipa: Mak cik Azliza, mak cik kata tidak pernah buat laporan polis, boleh terangkan bagaimana boleh wujud laporan polis atas nama mak cik ya?

Saksi: Saya tak tahu...mungkin jiran saya yang buat laporan itu.

Hanipa: Siapa nama jiran mak cik itu ya?

Saksi: Nama dia Saidi.

Hanipa: Saidi ni orang Umno kan mak cik?

Saksi: Ya, dia orang Umno.

Hanipa: Jadi Saidi Umno ni lah yang mak cik kata mungkin membuat laporan polis guna nama mak cik tanpa pengetahuan mak cik.

Saksi: Ya.

Hanipa: Mak cik pernah ke mendengar ucapan Mat Sabu dalam sebarang masa?

Saksi: Tak pernah.

Hanipa: Apabila tak pernah dengar, maka mak cik sendiri tak tahu lah apa sebenarnya yang Mat Sabu cakap kan... betul atau tidak mak cik?

Saksi: Betul.

Hanipa: Maknanya juga apa yang mak cik kata tadi bahawa Mat Sabu hina ayah mak cik juga pun tak betul lah mak cik sebab mak cik sendiri pun tak pernah dengar ucapan Mat Sabu.

Saksi: (Angguk kepala)

Apabila disoal semula oleh pendakwa tentang wujudnya tandatangan dalam laporan polis yang mengandungi nama saksi tersebut, saksi menjawab bahawa tandatangan tersebut bukan tandatangan beliau.

Selepas mendengar jawapan tersebut pendakwa menyatakan kepada mahkamah bahawa mereka tidak ada soalan lain kepada saksi tersebut.

Untuk rekod sebelum ini beberapa orang saksi pendakwa juga memberi keterangan yang dilihat begitu pelik.

Antaranya saksi Nazir Bin Yusuf telah memberi keterangan yang menyatakan dalam laporan polis beliau bahawa beliau menonton sedutan ucapan Mat Sabu yang disiarkan oleh TV3 dalam berita jam 8 malam pada 21 Ogos 2011 yang beliau dakwa memfitnah ayah beliau.

Bagaimanapun apabila disoal oleh Hanipa macam manakah TV3 boleh menyiarkan ucapan Mat Sabu pada jam 8 malam 21 Ogos 2011 sedangkan Mat Sabu hanya mula berceramah jam 11 malam pada tarikh 21 Ogos 2011 tersebut, saksi dilihat terkapai-kapai nak menjawab.

Begitu juga saksi pendakwa yang lain juga mengakui bukan Mat Sabu yang memfitnah polis Bukit Kepong sebaliknya menurut saksi tersebut, pembaca berita iaitu seorang singh yang fitnah polis.

Saksi pertama pendakwa, bekas anggota polis berbangsa India yang tinggal di Raub, Pahang pula mengakui bukan Mat Sabu yang fitnah polis tetapi dialah yang sebenarnya memfitnah Mat Sabu dalam laporan polis beliau.

Malahan saksi itu minta maaf kepada Mat Sabu dan juga meminta Hakim tarik balik pendakwaan dan bebaskan Mat Sabu.

Saksi tersebut juga menyatakan dalam mahkamah "Mat Sabu is my brother now!".

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Tuan Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi akan disambung semula pada 16 Jan depan di Mahkamah Sesyen Butterworth di mana pendakwa memaklumkan kepada mahkamah mereka bercadang memanggil saksi terakhir mereka iaitu Prof Khoo Kay Kim.

Mat Sabu diwakili oleh tiga orang peguambela iaitu Nasar Khan, Aminuddin Zulkifli dan Hanipa Maidin.

Tiada ulasan: