"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

TGNA hebat kerana amalan, bukan jawatan

MOHAMAD SABU
KEHEBATAN Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan atas kelulusan pengajian yang diperolehinya, sama ada dia berkelulusan MA, BA atau Phd dalam bidang syariah, usuluddin, falsafah, pengajian al-Quran dan tafsiran.
Yang mana itu semuanya ramai orang memperolehinya.

Jikalau kita pergi ke Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa atau lain-lainnya, kita cari mereka yang berkelulusan syariah, berkelulusan Phd dalam bidang usuluddin, fiqh, ulumul Quran, ilmu hadis, barangkali jumlah mereka terlalu ramai dan ratusan jumlahnya.Tuan Guru Nik Aziz juga memiliki dan berkelulusan seperti mereka.

Yang paling penting dalam kehidupan seseorang, kejayaannya ialah amalannya. Tuan Guru Nik Aziz semasa berkecimpung dalam PAS, beliau tidak terkenal ketika menjadi ketua Dewan Ulama, menjawat jawatan yang begitu lama sebagai ketua Dewan Ulama ataupun sebagai pesuruhjaya PAS negeri Kelantan, ataupun sebagai ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Tuan Guru Nik Aziz terkenal dan menjadi sebutan orang ramai apabila beliau memperolehi kuasa, iaitu bila mendapat kuasa dalam pentadbiran (sebagai menteri besar). Semasa menjadi ketua Dewan Ulama, saya sering mengikuti ceramah-ceramah beliau terutama di Pulau Pinang, di Kedah dan juga di sebelah utara. Kehadiran dalam majlis ceramah-ceramah beliau tidaklah begitu ramai, iaitu sekitar 200 ke 300 orang.

Beliau bukanlah seorang “crowd puller” iaitu penarik untuk orang ramai datang mendengar ceramah beliau. Tambahan pula jika beliau memberi ceramah di sebelah selatan tanah air iaitu di sekitar Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Dialek Kelantannya itu kadangkala menyebabkan “audience” atau orang ramai sukar untuk memahaminya.

Itulah watak dan akhlak Tuan Guru Nik Aziz yang senantiasa memberikan penerangan sebagai ketua Dewan Ulama PAS merentasi ke seluruh Malaysia, terutama daripada Johor sampailah ke Perlis.

Beliau menjadi hebat, apabila mendapat kuasa melalui pakatan ataupun “collusion” Angkatan Perpaduan Ummah, di mana setelah mendapat kemenangan pada tahun 1990, Tuan Guru Nik Aziz dilantik menjadi menteri besar Kelantan.

Dengan kuasa yang diperolehinya itu, iaitu sebagai kuasa eksekutif, beliau mempersembahkan satu pentadbiran yang baru, perangai dan akhlak yang baru, penerokaan pentadbiran yang baru, di mana beliau telah mempraktiskan apa yang telah beliau mengajar selama ini. Iaitu bila Islam menentang pembaziran, di mana kita tahu pembaziran itu adalah amalan syaitan. Beliau telah mengkotakan iaitu dengan mengamalkan apa yang telah beliau ajar selama ini.

Iaitu bila beliau mendapat kuasa sebagai seorang pemimpin, bukan tujuan untuk mencari kekayaan peribadi dan juga kaum keluarga. Beliau sendiri mempraktiskan perkara ini, iaitu dengan menjadi pemimpin dan kuasanya yang diperolehi bukan untuk mencapai kemewahan hidup dan ketinggian martabat hidup.

Ketinggian ataupun penghormatan datang daripada ketakwaan dan amalan. Beliau memulakan di antaranya ialah dengan tidak mendiami rumah rasmi untuk menteri besar yang diperuntukkan oleh kerajaan. Beliau tidak mengambil sewa, walau peruntukkan untuk sewaan rumah, jikalau mendiami rumah sendiri.

Beliau juga tidak mengambil elaun-elaun keraian untuk Aidilfitri atau perayaan-perayaan yang lain. Jimat cermat adalah lebih diutamakan, bila beliau pergi ke tandas untuk mengambil wuduk, maka lampu di biliknya akan dimatikan dahulu untuk menjimatkan elektrik. Begitulah juga amalan-amalan yang lain, bila ada perayaan-perayaan yang lain untuk beliau hadiri, dia mahu dan akan pastikan dibuat dengan paling sederhana.

Rumahnya juga adalah rumah biasa, iaitu rumah orang kampung yang berkembar dengan masjid di Pulau Melaka. Beliau mendiami rumah itu sehinggalah menemui ajalnya iaitu sehinggalah beliau wafat. Rumahnya menjadi sumber inspirasi dan juga tarikan pelancong untuk orang datang melihat kesederhanaan yang beliau amalkan.

Amalan-amalan inilah yang menyebabkan Tuan Guru Nik Aziz menjadi terkenal, iaitu bukan kerana sijil, bukan kerana pidato, bukan kerana kehebatannya untuk berhujah. Itu mungkin ada kepada sesiapa yang lain, tetapi amalan yang murni, yang mengamalkan apa yang disyarahkan dan apa yang diajarkan ada pada beliau. Itulah keistimewaan yang ada kepada Tuan Guru Nik Aziz sehingga dia dihormati oleh kawan dan lawan.

Tuan Guru Nik Aziz telah menjadi “guidance” kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk mereka yang bukan beragama Islam, hatta mendiang Karpal Singh, bila saya bertanya tentang hal Tuan Guru Nik Aziz kepadanya, secara peribadi beliau berkata kepada saya bahawa Tuan Guru Nik Aziz adalah “Tuhan punya orang.”

Mungkin beliau berbeza pandangan dalam beberapa hal syariat dengan Tuan Guru Nik Aziz, tetapi penghormatan beliau ke atas kewibawaan dan kehebatan akhlak Tuan Guru Nik Aziz diakui oleh beliau, begitu juga lain-lain pimpinan.

Inilah Tuan Guru Nik Aziz telah meninggalkan satu khazanah yang begitu bernilai kepada mereka yang berkuasa, dan mereka yang ingin mendapat kuasa, supaya kuasa itu digunakan untuk berbakti kepada ummah, kepada rakyat, kepada negara dan juga kepada sekalian makhluk.

Hidupnya bukan mengejar kuasa untuk mendapat kedudukan dunia, harta benda dan yang selalu diperingatkan oleh al-Quran dan dari ayat yang boleh dipetik dari kitab suci kita iaitu: “Almalu walbanun zinatul filhayah waddun’ya....” Inilah yang selalu diperingatkan, iaitu yang bermaksud sesungguhnya bahawa anak-pinak dan harta benda itu sebagai satu perhiasan di dunia yang selalunya kita amat tertarik dengan godaan itu.

Inilah satu pengajaran yang paling hebat yang telah ditunjukkan oleh Tuan Guru Nik Aziz sebagai “Al-Qaed” dan juga “Murabbi,” iaitu sebagai seorang pemimpin dan juga seorang pendidik.

Tiada ulasan: