"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS diramal berpecah selepas muktamar

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki meramalkan berlakunya perpecahan dalam parti Islam itu  selepas muktamar tahunan yang akan dijadual berlangsung pada 1 Jun depan.

Beliau berkata ramalannya itu dibuat selepas membuat penilaian dan kajian mendalam terhadap konflik dalaman parti yang tidak dapat diselesaikan dengan baik oleh kepemimpinan parti, lapor Sinar Harian hari ini.

"Sebagai contoh, isu menteri besar Selangor tahun lalu, wujud percanggahan pendapat yang ketara seolah-olah ada dua kumpulan dalam PAS sering berselisih pendapat sehingga tidak dapat mencapai kata sepakat.

"Dua kumpulan ini adalah golongan yang terbahagi kepada dua iaitu satu menggunakan pendekatan lama dan satu lagi menggunakan pendekatan baru iaitu PasMa," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Laporan itu meyebut, Mohd Zuhdi menyifatkan NGO PasMa sebagai "duri dalam daging" dalam PAS sementara golongan ulama dan profesional dalam parti itu bukan merupakan ancaman kepada perpecahan dalaman.

Dalam laporan itu juga, beliau juga mendakwa PasMa sedang berusaha menguasai PAS dengan cuba menyusun barisan pemimpin dan ia akan direalisasikan melalui muktamar tahun ini.

Akhbar itu juga menyebut, Dr Zuhdi turut meramalkan NGO menjadi parti politik menggantikan PAS dalam Pakatan jika usaha mereka itu gagal.

"Mereka (PasMa) dilihat lebih diterima oleh DAP berbanding PAS dalam isu melibatkan soal agama kerana PasMa dilihat lebih bertolak ansur berbanding kami (PAS) yang lebih tegas menegakkan kesucian Islam.

"Jika mereka (PasMa) tidak berjaya, saya jangka PasMa akan menjadi sebuah parti dan bakal menggantikan PAS dalam Pakatan," katanya lagi
-malaysiakini-

Tiada ulasan: