"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penerbangan dron di KLIA ancam keselamatan

drone
KUALA LUMPUR - Mutakhir ini, menerbangkan heksakopter kawalan jauh atau dron yang mampu merakam panorama indah dari udara sama ada melalui gambar atau video, menjadi hobi yang semakin digilai.

Dron yang dilengkapi dengan kamera itu mudah diperoleh di pasaran atau menerusi Internet dengan harga serendah RM200 hingga mencapai lebih RM2,000 bergantung kepada spesifikasi.
Pada asalnya, dron yang juga dikenali sebagai kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) popular dalam sektor pertahanan udara dan peperangan, namun teknologi itu kini berkembang untuk kegunaan komersial, selain menjadi hobi orang awam.

Tanpa memikirkan implikasi dan bahaya yang menanti, ada pengguna menyalahguna peranti fotografi dan ghairah menerbangkannya di lokasi sensitif seperti di kawasan lapangan terbang.

Terbaru, foto dari udara, dipercayai dirakam melalui penggunaan dron memaparkan pesawat Air Asia dan Saudi Airline menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang untuk mendarat menjadi viral setelah dimuat naik di laman foto Instagram oleh individu yang menggunakan nama Yengnasir.

Tindakan berkenaan menimbulkan kebimbangan orang ramai dan kemarahan warga Internet yang berpandangan penggunaan dron di KLIA itu membahayakan dan boleh mengakibatkan nahas udara.
Ambil gambar guna drone bahayakan kapal terbang?
[ARTIKEL BERKAITAN: Ambil gambar guna drone bahayakan kapal terbang?]

Datuk Ismail Ibrahim, jurulatih Jabatan Penyenggaraan Pesawat, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), sebuah institut kemahiran milik kerajaan, berkata tindakan menerbangkan dron di kawasan lapangan terbang mengancam keselamatan dan mengundang kemalangan.

"Dron yang diterbangkan tinggi di udara itu boleh tersedut masuk ke dalam enjin kapal terbang dan kemudiannya merosakkan enjin. Ini amat berbahaya, ia boleh menyebabkan pesawat terhempas.

"Dron tidak sepatutnya diterbangkan di lapangan terbang atau pun berdekatan laluan pesawat... burung pun boleh menyebabkan kemalangan dan merosakkan enjin, apa lagi dron," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ismail berkata, menara kawalan mempunyai teknologi dan protokol yang ditetapkan dan berupaya mengesan sekiranya berlaku pencerobohan di kawasan lapangan terbang.

"Saya pasti menara kawalan boleh mengesan sebarang aktiviti yang berbahaya di kawasan itu dan mungkin dron itu didapati tidak mengganggu penerbangan, namun penggunaan dron harus diharamkan di kawasan lapangan terbang," katanya.

Ismail berkata kerajaan perlu tegas mewajibkan setiap pemilik dron memohon lesen untuk mengendalikan dron bagi memastikan ia tidak disalah guna.

Pakar kanan dari Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Ahmad Maulan Bardai pula berkata meskipun dron yang digunakan orang awam adalah dron amatur, bukannya spesifikasi seperti UAV, ia tetap mendatangkan bahaya sekiranya diterbangkan di lokasi berisiko.

Beliau berkata, dron asas yang digunakan orang awam dikawal melalui kawalan jauh di tangan manakala UAV yang berciri lebih kompleks dikawal menggunakan program komputer.

"Sepatutnya, anda memerlukan lesen kerana dron adalah satu objek terbang... oleh itu untuk menerbangkan dron, terutamanya jika ia adalah dalam kawasan lapangan terbang, anda perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa yang berkenaan.

"Menerbangkan dron sama ada di dalam atau di luar kawasan lapangan terbang amat berbahaya dan boleh menyebabkan dron berlanggar ketika pesawat mendarat kerana tidak ada koordinasi," katanya.

Ahmad Maulan berpendapat tiada masalah jika menerbangkan dron amatur di lokasi lapang yang tidak terdedah bahaya dan jauh dari laluan kapal terbang.

"Dron amatur kebiasaannya ada ketinggian tertentu dan ia tidak boleh terbang terlalu tinggi, maka ia tidak menjadi masalah.

"Sebagai contoh, Amerika Syarikat, sedang menggubal peraturan baharu untuk membenarkan dron diterbangkan di ruang angkasa tetapi mereka perlu mematuhi banyak syarat-syarat keperluan untuk mengelakkan kemalangan," katanya.

Seorang pemilik dron yang mahu dikenali sebagai Shahrul menyifatkan tindakan individu berkenaan melampau dan tidak sepatutnya berlaku hanya kerana mahu merakam gambar yang hebat.

"Berdasarkan gambar yang dimuat naik, jelas memperlihatkan dron diterbangkan dekat dengan landasan lapangan terbang dan kapal terbang itu sendiri.

"Dron ringan, justeru bagaimana sekiranya pengguna itu hilang kawalan terhadap dron dan ia terbang ke arah pesawat? Pengguna dron sepatutnya faham dan tidak sesekali menerbangkan dron di kawasan berisiko," kata jurugambar berusia 29 tahun itu.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata dron atau UAV yang mencerobohi kawasan lapangan terbang boleh mengganggu dan membahayakan operasi penerbangan, merupakan satu kesalahan di bawah Akta Penerbangan Awam 1969.

DCA, yang memandang serius kegiatan menerbangkan dron sebagai suatu rekreasi dan komersil, mahu orang ramai mendapatkan kebenaran daripada DCA sebelum menjalankan apa-apa aktiviti melibatkan dron atau UAV di ruang udara Malaysia.

Singapura mengharamkan penerbangan pesawat model terbang dalam jarak lima kilometer dari lapangan terbang atau pangkalan udara; dan untuk menerbangkannya dalam had lima km atau ketinggian 61 meter, kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura diperlukan.

Di Thailand, di bawah undang-undang penerbangan awam baharu, menerbangkan dron yang dipasang dengan kamera akan diharamkan mulai bulan ini kerana ia dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Dron membawa kamera hanya dibenarkan untuk digunakan oleh media massa atau industri pembikinan filem dan sesiapa yang ingin menerbangkan dron di Thailand mestilah mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan.

Di United Kingdom, dron dikawal selia oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.

Seseorang tidak memerlukan sijil atau permit untuk menerbangkan dron seberat 20kg terbang atau kurang; permit hanya diperlukan untuk dron melebihi berat 20kg.
-Bernama-

Tiada ulasan: