"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Susah Jadi Adi Putra Genius Matematik Yang Tak Diiktiraf (Video)

ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Siapa sangka disebalik populariti serta sanjungan daripada pelbagai pihak yang mengagumi bakat luar biasanya, genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani pernah berputus asa kerana tertekan dengan kehidupan penuh glamornya.
Seawal usia enam tahun Adi Putra terpaksa melupakan zaman kanak-kanaknya kerana perlu memenuhi pelbagai undangan daripada banyak pihak yang berminat untuk mengetahui mengenai kebolehannya itu.
Namun hanya selepas sedekad, Adi Putra yang kini berusia 16 tahun mula membuka mulut bagi mengimbau ‘keperitan’ yang dilaluinya selama ini.
Berkongsi kisah itu kepada mStar Online baru-baru ini, remaja itu mengakui pernah berhadapan konflik dalam dirinya sendiri kerana terbeban dengan kebolehan luar biasanya.
Jelas Adi Putra, sepanjang tempoh ini iaitu sejak bakatnya mula mendapat perhatian ramai sekitar 2005, beliau terpaksa melalui perjalanan hidup yang berbeza daripada kanak-kanak yang seusia dengannya.
"Alhamdulillah Adi bersyukur dapat anugerah macam ini. Adi dapat ilmu-ilmu yang Adi boleh kongsikan dengan orang lain.
"Cumanya (cara) Adi membesar tak sama sangatlah dengan orang lain yang sebaya dengan Adi. Mereka membesar dengan pergi ke sekolah, main dengan kawan-kawan.
"Tapi Adi membesar di rumah, pejabat, pergi mengajar dan sebagainya. Jadi agak sedih sebab Adi hilang zaman kanak-kanak," luahnya dalam sesi pertemuan hampir sejam tanpa kehadiran ibu bapanya, Abdul Ghani Abdul Wahid dan Serihana Elias.
Abdul Ghani turut berkongsi pengalamannya mendidik Adi Putra kepada golongan ibu bapa.
Bagaimanapun cerita Adi Putra yang bijak mengatur kata-kata, beliau memilih untuk melihat keperitan yang dilaluinya sejak kecil dari sudut yang positif.
“Dari sudut positifnya ialah...Alhamdulillah walaupun umur 16 tahun, Adi bersyukur sebab boleh bantu keluarga,” katanya.
Malah kata Adi Putra lagi, beliau bersyukur apabila kedua-dua ibu bapa serta abang dan kakaknya banyak memberi sokongan untuk terus berjaya dalam bidang matematik yang diminatinya.
Tambah Adi Putra, bapanya merupakan individu yang bertanggungjawab mencatat ilham dan ilmu yang diperolehinya selama ini.
"Syukur sangat ayah dan ibu amat memahami Adi. Mereka banyak berkorban untuk Adi," katanya.
Namun menurut remaja tinggi lampai itu, adalah sukar untuk menjadi seorang ‘Adi Putra’ lebih-lebih lagi bagi memastikan bakat yang dianugerahkan kepadanya sentiasa terpelihara dan tidak terjejas.
Luah Adi Putra, jauh di sudut hatinya beliau mahu menikmati zaman kanak-kanaknya serta mengimpikan untuk menerima layanan seperti remaja lain yang seusia dengannya.
"Kalau ikutkan hati memang susah sebenarnya sebab Adi dah biasa bekerja sejak kecil. Adi jarang berehat dan kalau penat macam mana pun Adi tetap kena pergi mengajar, bekerja dan sebagainya.
"Ramai orang puji sebab dapat bantu keluarga...memang bagus tentang itu tapi setakat ini tak ada lagi orang faham kecuali keluarga. Memanglah Adi bekerja dan sebagainya, namun Adi masih lagi remaja berumur 16 tahun.
"Jadi ada satu tahap yang Adi sendiri pun tak boleh handle. Adi pernah rasa malas dah nak buat kerja macam ni. Ada banyak (pengalaman) yang adi lalui," katanya.
KASIH IBU... Serihana sentiasa memberi sokongan kepada anaknya supaya terus berjaya.
Ditanya sama ada beliau berkongsi keperitan yang dilaluinya kepada ibu bapa, keluarga atau teman rapatnya, Adi Putra bagaimanapun hanya menggelengkan kepala.
Jelasnya beliau memilih untuk memendam semua masalah yang dihadapinya tanpa berkongsi dengan mana-mana pihak.
"Its' hard to say but no one. Daripada umur enam tahun sampai sekarang, banyak perkara yang Adi lalui. Ada benda baik, benda tak baik, benda yang menyakitkan hati serta yang sedih. Tapi Adi tak kongsikan dengan sesiapa.
"Adi tak ramai kawan. Agak memalukan nak cakap sebab Adi sendiri jarang keluar," katanya.
Jelas Adi Putra, akibat tekanan yang dihadapinya juga, terhasil produk makanan tambahan di bawah jenamanya sendiri yang pernah mencetuskan kontroversi suatu ketika dahulu.
Menurut Adi Putra, produk makanan tambahan ciptaannya iaitu Adi-Q itu banyak membantu memulihkan tekanan yang dihadapinya pada ketika itu.
"Pada asalnya produk tu Adi buat untuk diri sendiri sebab Adi ingat lagi waktu berumur enam tahun... kalau Adi nak kata Adi sudah fed up dengan matematik, jadi stress sangat. Waktu umur enam tahun Adi kena bekerja, mengajar ke sini ke sana sampai tak ada masa untuk berehat.
"Adi memang dah fed up, Adi dah tak nak apa-apa lagi dengam matematik," katanya.
Adi Putra bagaimanapun enggan menyentuh mengenai kontroversi produknya itu namun sekadar menjelaskan bahawa produk yang masih dijual hingga ke hari ini tidak mengandungi bahan terlarang seperti dakwaan pihak tertentu sebelum ini.
"Kandungannya hanyalah glukos, selain daripada itu memang tak ada apa-apa (bahan terlarang). Adi pernah hantar buat ujian makmal, dan kandungan tak ada apa.
"Tapi lebih daripada itu, banyak doa-doa dan ayat al-Quran yang Adi baca kepada produk-produk itu.
"Macam mana Adi dapat buat produk ini, susah nak cakap. Tapi ia datang daripada ilham. Macam mana orang dapat ilham buat lagu, melukis... macam itulah Adi dapat ilham buat benda ini," katanya.
-mstar-
----------
PETALING JAYA: Kira-kira sedekad yang lalu negara dihebahkan dengan kemunculan seorang kanak-kanak genius yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah dalam mata pelajaran matematik seperti algebra, indeks dan trigonometri.

Ketika berusia hanya enam tahun pada ketika itu, Adi Putra Abdul Ghani mengakui bahawa kepintaran luar biasa yang dimilikinya itu adalah pemberian Allah untuknya.

Kepintarannya dalam bidang matematik mendapat perhatian banyak pihak khususnya mengenai bantuan dan bimbingan yang wajar diberikan kepadanya bagi memastikan kebolehannya digilap dengan sebaik mungkin.

Bagaimanapun beberapa tahun selepas itu ramai pihak mula melahirkan kebimbangan apabila Adi Putra mengambil keputusan untuk berhenti belajar di Sekolah Islam Antarabangsa, Gombak selepas menyifatkan sistem pendidikan sedia ada tidak sesuai dengannya.

Malah masih teringat kata-katanya ketika itu apabila beliau mengumpamakan dirinya seperti ‘kereta Ferrari yang dipandu seperti kereta Kancil’.

Selepas 10 tahun, mStar Online kembali menjejaki Adi Putra, 16, bagi mengetahui perkembangan terkini genius matematik itu yang seakan menyepi daripada sebarang publisiti.

Menurut Adi Putra, beliau kini banyak menghabiskan masa memenuhi undangan daripada sekolah, universiti mahupun kumpulan tertentu untuk mengajar ilmu matematik luar biasa yang dimilikinya sejak lebih 10 tahun lalu.

Bukan itu sahaja, anak kepada pasangan suami isteri, Abdul Ghani Abdul Wahid dan Serihana Elias ini turut menerima jemputan untuk menjadi tenaga pengajar di sebuah universiti di Brunei Darussalam.

Namun di kala remaja seusia dengannya sedang giat mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan Siji Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan, Adi Putra pada ketika ini masih belum memiliki sebarang kelayakan akademik secara bertulis.

Malangnya, remaja yang berasal dari Bagan Serai, Perak ini juga tidak mempunyai sijil sah pengajian di peringkat A-level yang diikutinya di Kolej Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) beberapa tahun lalu.
Dakwa Adi Putra, beliau berjaya menghabiskan kursus yang diikutinya selama dua tahun di UIA, namun pembelajarannya tidak diiktiraf atas faktor usia.

“Adi nak cakap lebih pun tak tahu sangat, tapi Adi memang sudah habis belajar selama dua tahun di UIA. Tapi Adi tak pernah dapat sijil. Senang cerita…Adi pergi belajar, bukan untuk dapatkan apa-apa.
“Adi belajar lima subjek iaitu fizik, kimia, biologi, matematik dan matematik tambahan, tapi memang Adi tak ada kelayakan bertulis, alasan yang diberitahu masa itu ialah sebab Adi bawah umur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada mStar Online ketika ditemui sewaktu mengadakan program matematik bersama kanak-kanak di Subang baru-baru ini.

Ditanya bagaimana beliau mampu meneruskan kehidupannya dengan menjadi tenaga pengajar walaupun tanpa kelulusan akademik, Adi berkata beliau hanya bersandarkan kepada nama dan popularitinya sebelum ini.

“Memang tak ada kelayakan…tapi orang kenal Adi kerana nama ‘Adi Putra’. Orang tahu sejarah dan latar belakang Adi,” ujarnya.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini, Adi Putra bagaimanapun melahirkan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

Ujarnya, cita-cita sejak kecil untuk menjadi seorang profesor matematik Islam tidak pernah terpadam daripada sasaran hidupnya.

“Memang niat Adi pun insyaAllah kalau ada dana dan ada masa, Adi nak juga sambung belajar.
“Sasaran Adi ingin belajar di Monash University, Australia. Memang dari dulu lagi Adi nak ke sana sebab mereka ada modul (pembelajaran) untuk kanak-kanak seperti Adi. Malah mereka ada dana untuk Adi buat kajian dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun menurut Adi Putra, beliau berhadapan masalah dana bagi membantunya melanjutkan pengajian dalam bidang sains dan matematik yang diminatinya.

“Masalahnya ialah dana…Adi perlu cari sendiri. Dari dulu sampai sekarang memang tak dapat sokongan atau dana dari mana-mana pihak.

“Semuanya Adi kena bergerak sendiri. Buat masa sekarang Adi masih tak boleh tinggalkan Malaysia dan tak boleh tinggalkan keluarga,” katanya.
Bercerita mengenai projek terbaharunya pada ketika ini, Adi Putra berkata, beliau kini sedang menumpukan perhatian kepada Kelab Inovasi Matematik hasil inisiatifnya sendiri.

Cerita Adi Putra, kelab berkenaan bertujuan melatih golongan pelajar untuk mencipta formula matematik terkini mengikut kreativiti masing-masing.

"Selalunya kita biasa dengar inovasi dalam bidang sains. Sejak dari dulu tak banyak kita dengar orang cipta formula baharu dalam matematik.

"Formula yang kita belajar di sekolah adalah formula lama. Tapi Adi cuba dan menggalakkan pelajar untuk mencipta cara baharu. Banyak sebenarnya formula baharu yang boleh dicipta," katanya.
Setakat ini, menurut Adi Putra kelab berkenaan berjaya ditubuhkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai, Kelantan.

"Sekarang pun Adi sendiri sudah cipta sebanyak 286 formula. Mungkin ramai lagi orang di luar sana yang boleh mencipta formula-formula baharu dalam matematik.

"Setakat ini permintaan pun Alhamdulillah. Ada lagi sekolah-sekolah yang mahu Adi tubuhkan Kelab Inovasi Matematik ini di sekolah mereka.

"Adi sudah siapkan modul untuk sekolah menengah. Pada peringkat awal ini Adi sendiri yang akan mengajar bersama guru bimbingan kelab itu nanti," katanya. 
-mstar-

Tiada ulasan: