"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa sebenarnya yang sedang membantu Umno?

Timmy Say
Umno dipukul teruk di Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin. Kubu kuat Umno ditembusi PAS di mana majoritinya dikurangkan daripada 15,114 undi kepada 8,895 undi. Kawasan Felda dan tradisi kampung Melayu menunjukkan peningkatan undi kepada PAS. Peningkatan ini berlaku tatkala PAS dan DAP dalam keadaan bertelagah.

Peningkatan undi PAS disebabkan isu dalaman Umno dan juga protes terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan barangkali kempen efektif PAS yang diketuai Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sebagai naib presiden yang bertugas sebagai pengarah PRK ketika itu.

Keputusan PRK Rompin dan Permatang Pauh merisaukan Umno terutamanya apabila perang di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan bekas bosnya Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu 1MDB dilihat tidak kesudahan.

Sejurus selepas selesainya kedua-dua PRK, muktamar pemilihan PAS mengambil tempat. Umno pasti bimbang PAS kembali bersatu selepas muktamar.
Jika PAS yang tidak seiring sekata dan bermasalah dengan DAP dapat mengurangkan majoriti dengan sebegitu besar di kubu kuatnya di Rompin di satu PRK, apakah kesudahan Umno jika mereka terpaksa menghadapi PAS yang bersatu teguh tatkala Umno terus berkonflik dengan istana dan isu 1MDB?

Namun, mimpi ngeri Umno tidak terjadi. Dalam keadaan Umno tiada masa untuk menyerang kepimpinan baru PAS kerana sibuk melayan isu GST dan 1MDB yang menggoyahkan kedudukan Najib, mereka sudah tentu dapat menarik nafas lega apabila melihat kepimpinan baharu PAS ini diserang dari pelbagai arah sejak hari pertama penubuhannya.

Tiada lagi yang lebih menggembirakan Umno daripada melihat kepimpinan PAS diserang bekas pemimpin sendiri sejurus tamatnya muktamar.

Ramai yang menelah sebenarnya Umno inginkan Pakatan Rakyat (PR) terburai, kononnya dengan habisnya PR, Umno akan selamat.

Sebenarnya telahan itu hanya separa tepat – sama ada PR hidup ataupun tidak, lawan Umno yang utama tetap ialah PAS. Yang Umno risau ialah kebangkitan PAS. Umno sudah lama mengetahui politik kemelayuannya menyebabkan MCA dan MIC sudah tidak mampu menandangi DAP mahupun PKR di kerusi campuran, sama ada PR berpecah mahupun tidak.

Yang Umno cuba pertahankan di Semenanjung Malaysia ialah kerusi Melayu yang ditandingi PAS, di mana DAP dan PKR mempunyai pengaruh yang kecil. Anjakan pola pengundi Melayu sebanyak 5% di PRK Rompin ke arah PAS tatkala PR bergoyah membuatkan Umno panik. Jika unjuran itu kekal sehingga PRU14, silap-silap negeri Pahang pun akan terjatuh kepada pihak pembangkang.

Dr Mahathir juga menghidu perkara ini. Oleh itu selepas tamatnya PRK Rompin dan Permatang Pauh, beliau menggiatkan desakan dan serangan terhadap Najib untuk meletak jawatan. Dr Mahathir berharap sentimen rakyat akan beralih kembali ke Umno apabila Umno sendiri yang menghukum Najib sebagaimana beliau menghukum dirinya sendiri dengan meletak jawatan dan menyerahkannya kepada Tun Abdullah Badawi pada 2003. Masalah 1MDB dilihat sebagai senjata terbaiknya.

Tapi kini, Umno tidak perlu risau. Najib dan isterinya boleh tidur lena kerana ada para bekas pemimpin PAS yang tewas di muktamar baru-baru ini sedang membantunya menghancurkan kepimpinan baharu PAS dan PAS sendiri.

Lebih pelik tiba-tiba ada orang kata Umno sedang membantu kepimpinan baru PAS ini. Kalau saya ialah Umno, saya akan ketawa terbahak-bahak.

Persoalannya, mengapa Umno nak bantu? Umno nak bagi kerusi ke PAS ke? Lebih elok PAS mati dan berpecah saja. DAP dan PKR bukan lawan Umno pun di kerusi Melayu. PAS mati Umno selamat, justeru BN akan terus hidup.

Tiada apa yang lebih seronok untuk mana-mana parti politik daripada mendapat bantuan percuma untuk membunuh lawan daripada ahli lawannya sendiri. Tiada serangan yang lebih efektif daripada orang sendiri menghentam orang sendiri. Jadi dalam konflik dalaman PAS, siapakah yang sedang membantu Umno sebenarnya? Lihatlah sendiri.

Tiada ulasan: