"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ayah sokong parti baharu jika masih hidup, kata anak Fadzil Noor

Muhammad Faiz Fadzil, anak kepada bekas presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, berkata arwah ayahnya akan menyokong penubuhan parti baharu seperti yang dicadangkan kumpulan progresif yang tewas pada pemilihan parti baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Jun, 2015.
Anak kepada bekas presiden PAS, Muhammad Faiz Fadzil yakin jika bapanya Datuk Fadzil Mohd Noor masih hidup, beliau akan menyokong parti baharu yang sedang dalam proses pembentukan.
Faiz mengulas video Youtube yang disebarkan di laman sosial bagi menunjukkan Fadzil akan menentang penubuhan parti baharu sekiranya masih hidup.

"Anda mungkin tak setuju dengan saya, tapi saya percaya Ustaz Fadzil Noor (UFN) pasti menyokong parti baharu yang didokongi oleh pemimpin yang dilahirkannya yang banyak berjasa kepada karier perjuangannya,” tulis Faiz dalam laman Facebooknya hari ini.


"Parti baharu adalah meneruskan perjuangan UFN walau berlainan.”

Menurut Faiz, ayahnya satu-satunya pemimpin zaman 70-an yang menentang kemasukan PAS ke dalam Barisan Nasional (BN) semasa pemerintahan perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Katanya, Fadzil pada ketika itu beralih untuk bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk menjadikan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) kumpulan pendesak Islam yang kuat di negara ini.

"Dia kembali aktif bersama PAS setelah PAS ditendang keluar daripada BN dan sertai PRU 1978 sehingga sanggup dibuang kerja dari UTM. Jelas perjuangan UFN istiqamah menentang Umno-BN dan mahu tubuhkan kerajaan.

“Sebab itu UFN merencana pelbagai strategi politik termasuk menarik golongan profesional menyertai PAS, memadamkan fahaman ahli terhadap Amanat Hadi dan Tahaluf dengan Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif," katanya merujuk kerjasama PAS dengan parti politik lain sebelum ini.

Menurut Faiz, video yeng disebarkan mengenai Fadzil menyebut pemimpin yang gilakan jawatan sampai sanggup tubuh parti baru, menjelaskan keadaan ketika itu.

"Itu keadaan ketika itu. Tapi keadaan sekarang lain. Ahli dan rakyat yang nakkan parti baru kerana PAS sekarang sudah terpesong daripada peta perjuangan menentang Umno-BN.

“Dalam keadaan rakyat dahagakan sebuah pemerintahan baru yang bersih adil dan berkebajikan melibatkan penyertaan semua kaum, maka parti baru yang memperjuangkan semua prinsip Islam ini dan aspirasi rakyat adalah menjadi wajib," katanya.

Beliau yakin parti baharu yang bakal dipimpin G-18, kumpulan yang tewas dalam pemilihan PAS baru-baru ini, akan terus mendaulatkan Islam.

"Insya Allah parti baru ini akan terus menentang Umno-BN, mendaulatkan Islam dan akhirnya menyelamatkan ahli PAS yang masih keliru dengan halatuju politik PAS sekarang," katanya.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: