"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda PAS dilihat sukar pikat pengundi muda, Selepas dominasi ulama

MOHD FARHAN DARWIS
Nik Abduh Nik Aziz, puak pro-Hadi yang mengalahkan seteru progresif dalam sayap pemuda, dilihat sukar menarik sokongan orang muda terhadap PAS. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Jun, 2015.
Nik Abduh Nik Aziz, puak pro-Hadi yang mengalahkan seteru progresif dalam sayap pemuda, dilihat sukar menarik sokongan orang muda terhadap PAS. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Jun, 2015.
Barisan kepimpinan baharu Pemuda PAS dilihat tidak mampu menandingi kredibiliti dan keupayaan Pemuda Umno dalam menarik sokongan golongan pengundi muda, yang merupakan golongan paling penting dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata penganalisis.

Pada pemilihan muktamar PAS awal bulan ini, sayap pemuda parti Islam itu menyaksikan golongan ulama mengambil alih kepimpinan dan menyingkirkan kumpulan “profesional dan progresif”.

Ia menyebabkan agak sukar mereka menyusun strategi menarik pengundi muda.

Ini diburukkan lagi dengan hubungan keruh antara PAS, DAP dan PKR di peringkat kepimpinan tertinggi, ditambah pula pucuk pimpinan PAS terdiri daripada mereka yang rata-rata berasal dari pantai timur.

"Tinjauan melalui muktamar Pemuda dan Wanita PAS, dapat dilihat mereka agak goyah untuk menghadapi saingan daripada Umno," kata pusat kajian PAS, Ilham Centre.

Pengerusi Eksekutifnya, Mohamad Hisomuddin Abu Bakar berkata barisan Kabinet sayap Pemuda juga terdiri daripada mereka yang tidak berpengalaman menghadapi PRU14.

"Individu yang bertanggungjawab dalam menguruskan soal kerusi antara komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini dapat kita lihat dikesampingkan.

"Barisan kepimpinan Pemuda PAS hari ini juga kebanyakannya hanya mengisi slot ceramah kempen dalam pilihan raya sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, kelemahan ketara dapat dilihat daripada aspek teknikal apabila barisan kepimpinan Pemuda PAS yang baharu tidak berpengalaman dalam perang saraf dan gerak kerja kempen.

"Mereka belum teruji. Mereka perlu buktikan, mereka kata ulama mampu menyaingi kumpulan progresif, kita lihat nanti.


"Terdapat kelemahan apabila pengarah pilihan raya masih belum menemui wakil mereka di setiap negeri,” katanya.



Hisomuddin (gambar, kanan) berkata, golongan progresif dikatakan mengambil pendirian tunggu dan lihat selepas dilabel negatif dalam pemilihan baru-baru ini.

"Kumpulan konservatif sukar bentuk kabinet di negeri-negeri, apatah lagi di peringkat pusat," katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat kekurangan dalam Pemuda PAS itu tidak akan menjadi masalah jika mereka bergabung dengan Umno.

"Kecuali mereka hendak bergabung dengan Umno. Tapi kita tahu, Umno tidak akan berikan kerusi kubu kuat mereka untuk PAS," katanya.

Dalam pemilihan lalu, bekas ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat tewas kepada Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Aziz, anak kepada bekas mursyidul am PAS.

Barisan kepimpinan Pemuda PAS daripada pihak progresif juga tewas dan jawatan mereka diisi kumpulan penyokong konservatif yang bersama dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Antara barisan kepimpinan tertinggi yang turut tersingkir ialah timbalan presiden PAS Mohamad Sabu selain naib presiden Salahuddin Ayub dan ahli jawatankuasa pusat, Khalid Samad.

Minggu lalu, puak progresif yang tewas dalam pemilihan mengadakan perhimpunan di Muar, Johor di samping membangkitkan kemungkinan menubuhkan parti baharu demi memastikan kerjasama PR diteruskan.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno, Ibdillah Ishak juga melihat barisan kepimpinan Pemuda PAS bukan saingan kepada mereka.

Ibdillah yang juga pengerusi Biro Media Sosial Pemuda Umno berkata, sebagai sebuah parti politik, mereka seharusnya merintis haluan tengah supaya terus kekal relevan dengan realiti politik dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.

"Pemuda PAS ini jika dilihat memang semuanya daripada kem ulama. Saya percaya sesebuah parti politik perlu bergerak secara progresif. Baik Umno mahupun PAS, kita haruslah merintis haluan tengah.

"Pemuda Umno memang merintis haluan tengah, perjuangan untuk bangsa Melayu yang lebih bermartabat dan berbakti kepada setiap warga Malaysia. Pemuda Umno mengamalkan politik khidmat bakti, berjuang untuk semua rakyat," katanya.

Pemuda Umno berkata ia tidak menganggap Pemuda PAS dengan kepimpinan baharunya sebagai saingan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Jun, 2015.
Pemuda Umno berkata ia tidak menganggap Pemuda PAS dengan kepimpinan baharunya sebagai saingan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Jun, 2015.

Katanya, Pemuda PAS juga tidak mempunyai hala tuju perjuangan yang jelas selepas Nik Abduh mengambil alih pucuk pimpinan.

"Pemuda PAS mempunyai wadah perjuangannya yang tersendiri, tetapi masih samar-samar tentang ke mana hala tuju mereka.

"Saya tidak lihat Pemuda PAS sebagai saingan pun. Pemuda PAS tidak fokus kepada isu negara dan rakyat.

"Apa nilai tambah yang Nik Abduh bawa kepada kehidupan seharian orang muda di Pasir Mas atau di Kelantan?," soal Ibdillah, merujuk kerusi Parlimen Nik Abduh.

Malah, katanya, Nik Abduh tidak ada sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan.

"Adakah anak muda Malaysia hendak mengharapkan Nik Abduh bawa perubahan hakiki kepada kehidupan mereka?

"Apakah pencalonan Nik Abduh menawarkan solusi kepada permasalahan generasi muda?," soalnya.

Bagaimanapun, menurut Naib Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khiruddin, ramai muka baharu dari kalangan professional akan dilantik ke dalam jawatankuasa kerja sayap itu bagi memudahkan urusan pentadbiran.

"Pemilihan mereka berdasarkan merit dan kepakaran dalam bidang masing-masing," katanya kepada The Malaysian Insider.

Khairil berkata Pemuda PAS akan menggunakan pendekatan asas "engagement" dalam menangani isu dan menyediakan penyelesaian terbaik kepada permasalahan rakyat.

"Itu keutamaan yang akan diperhalusi dalam bengkel arah tuju strategik kami lepas Aidilfitri, insya Allah.

"Untuk Ramadan ini, kami melawat negeri-negeri untuk mendapatkan maklum balas," katanya, ketika ditanya persediaan Pemuda PAS menghadapi jentera Pemuda Umno pada PRU14.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: