"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu mengandung dakwa diganggu ‘doktor pakar’


Ibu mentua mangsa menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat menantunya yang diganggu seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor pakar.
TEMERLOH – Seorang wanita yang mengandung anak sulung berusia tujuh bulan trauma setelah diganggu secara seksual seorang ‘doktor pakar’ klinik kerajaan selepas menerima rawatan di sebuah klinik kerajaan di sini, semalam.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Siti 20-an berkata, ‘doktor pakar’ terbabit mengganggu secara seksual selepas mendapat butiran peribadi dirinya daripada kakitangan klinik kerajaan terbabit.

Menceritakan semula kejadian, Siti berkata, dia bersama suami pergi mendapatkan rawatan pemeriksaan berkala ibu mengandung di klinik kerajaan, kira-kira jam 8.15 pada Rabu.

Menurutnya, selepas menjalani rawatan dalam tempoh setengah jam di klinik tersebut dia pulang seperti biasa ke rumah ibu mentuanya di bandar ini.

“Waktu sampai di tempat kerja petang tu, saya terima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dia doktor pakar.

“Saya jawablah semua soalan macam biasa sebab dia nampak macam tahu semua. Tapi saya pelik bila dia mula tanya beberapa soalan sulit dan tak sepatutnya ditanya.

“Saya jadi makin takut bila dia mula keluarkan perkataan lucah dan ugut nak cari saya.

“Lepas tu saya matikan talian dan terus beritahu suami. Lepas bincang dengan mak mentua kami ke balai polis esoknya buat laporan polis,” katanya.

Siti berkata, dia kemudian bersama suami dan ibu mentua ke klinik kesihatan tersebut untuk mendapatkan penjelasan.

“Kami terkejut bila salah seorang kakitangan di situ mengaku bagi maklumat peribadi, nombor telefon dan nama saya kepada seorang lelaki yang mendakwa dia ‘doktor pakar’.

“Kakitangan itu mengaku ada seorang lelaki hubungi klinik mendakwa dia doktor pakar untuk mendapatkan semua butiran rawatan diterima ibu mengandung pada hari tersebut,” katanya.

Sementara itu, ibu mentua mangsa yang mahu dikenali sebagai Aminah berkata, dia kecewa kejadian yang menimpa menantunya disebabkan kecuaian pihak klinik yang memberikan maklumat peribadi kepada pihak ketiga.

Menurutnya, akibat kejadian itu, menantunya kini trauma, mengalami tekanan dan dibimbangi akan menjejaskan kandungan berusia tujuh bulan.

“Kami kecewa kerana kakitangan klinik hanya mohon maaf, itu pun sebelum itu mereka cuba pertahankan tindakan mereka.

“Menantu saya asyik menangis saja lepas kejadian. Kami difahamkan kejadian ini bukan yang pertama berlaku, dah ada beberapa bukti kejadian yang sama berlaku sebelum ini,” katanya.

Suami mangsa, yang mahu dikenali sebagai Muhamad berkata, dia mendapat maklumat kejadian yang sama turut dilaporkan berlaku di Kuantan sebelum ini.

“Saya tengok dalam Facebook ada beberapa wanita mengandung mendakwa diganggu secara seksual oleh lelaki yang sama,” katanya.

Sinar Harian akan mendapatkan maklum balas perkara ini dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.

Tiada ulasan: