"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jika putus, sila berundur dari Selangor, PKR beritahu PAS

MALAYSIA DATELINE
PKR akan menghormati sebarang keputusan Pas berhubung hubungan dengan parti itu namun mahu ia dimuktamadkan segera dan tidak dilengah-lengahkan.

Ini kerana keputusan menamatkan kerjasama politik dengan PKR mewajarkan semua ahli Pas yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri Selangor meletakkan jawatan, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

"Jika Pas memutuskan tahalluf siyasi dengan PKR secara muktamad, perkara bermaruah dan terhormat yang perlu dibuat ialah bagi semua ahli Pas yang mempunyai jawatan di dalam Kerajaan Selangor meletakkan jawatan sejurus selepas keputusan memutuskan hubungan itu dimuktamadkan," ujar beliau dalam satu kenyataan.

Saifuddin menambah, keengganan Pas meletakkan jawatan akan memualkan rakyat kerana ruang politik pembangkang akan dilihat banyak berkisar kepada serangan kepada kawan sendiri (termasuk mengisytiharkan bertanding di kerusi-kerusi PKR) sedangkan pada masa yang sama masih mahu menerima habuan dari jawatan yang disandang di Selangor.

Beliau tidak melihat sebarang logik bagi Pas yang memutuskan hubungan dengan Amanah dan DAP serta kini mahu memutuskan hubungan dengan PKR terus kekal dalam kerajaan negeri Selangor.

"Saya memantau perjalanan Muktamar Pas terkini memandangkan ia berkait dengan strategi PKR dan Pakatan Harapan dalam PRU14. Tambahan pula, sebarang keputusan Pas mengenai tahalluf siyasi dengan PKR akan ada kesan kepada penyertaan Pas dalam Kerajaan Selangor.

"Saya ambil maklum usul yang diluluskan tanpa bahas oleh Dewan Ulamak Pas dan tidak terkejut jika usul yang serupa akan terus diluluskan sepanjang berlangsungnya Muktamar Pas pada hari ini.

"Saya juga kesal serangan dan kritikan kasar terhadap YAB Dato' Seri Azmin Ali Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor yang dibuat oleh perwakilan Dewan Ulamak Pas semasa perbahasan semalam," kata beliau.

Pas juga, ujar Saifuddin menzahirkan secara jelas untuk memimpin beberapa negeri termasuk Selangor yang kini diterajui PKR.

Sehubungan itu, beliau menunggu keputusan muktamad Muktamar Pas berhubung kerjasama politik antara dua parti dan PKR akan terus menggarap kekuatan semua pihak yang mahu menamatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Tiada ulasan: