"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti Perlis jawab kontroversi puisi ‘mempertuhankan lembu’

BANGI, 25 Rejab 1438H, Sabtu – Kerajaan India yang membunuh umat Islam setiap hari hanya kerana memakan daging lembu adalah pihak yang dimaksudkan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin dalam puisinya semalam.

Menulis di Facebooknya hari ini, Asri berkata, kerajaan pimpinan Narendra Modi sanggup membunuh sesama manusia kerana ‘mempertuhankan lembu’.

Beliau menjawab kontroversi yang timbul berkenaan puisi yang ditulisnya semalam dengan nada agak keras berbanding tulisannya sebelum ini.

“..apabila yang mempertuhankan lembu bersatu.. lantas menyeru agar pendakwah kita dibelenggu.. mahu diserahkan kepada kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati..” tulis Asri semalam.

Petang semalam, Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) bertindak balas dengan mendesak polis menahan Asri yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina dan menimbulkan kebencian terhadap masyarakat beragama Hindu.

Tanpa menyebut mana-mana pihak selain kerajaan Modi, Asri menjelaskan, mereka yang tidak mempertuhankan lembu di negara ini seperti di India tidak perlu terasa dengan apa yang disentuh dalam puisinya.

“Puisi itu untuk suasana semasa di negara India. Saya percaya dalam negara kita yang rata-rata berpendidikan tinggi tidak mungkin akan menyembah haiwan seperti lembu, ataupun mensucikannya.

“Apatah lagi sehingga sanggup membunuh orang lain kerananya. Akal yang waras mustahil menerima hal seperti itu. Demikian manusia yang waras menolak kepercayaan kasta antara manusia seperti yang berlaku di India sehingga ada kasta yang dipanggil ‘pariah’. Kasta paria dan kepercayaan kasta tidak patut wujud di negara kita yang percaya kesamarataan antara manusia.

“Maka hal itu tiada kaitan dengan orang di sini yang tidak mungkin ‘beriman’ dengan hal-hal karut seperti itu,” tulis Dr Asri.

Tiada ulasan: