"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tsunami India pada 2008 dan tsunami Cina pada 2013 ini kali tsunami Melayu, kata bekas pemimpin MCA

Liow Sze Xian
Selepas 10 tahun PRU12, ini kali tsunami Melayu, kata bekas pemimpin MCA
Bekas wakil rakyat Subang Jaya selama tiga penggal Lee Hwa Bengbertanding kerusi Parlimen Kelana Jaya dan kalah kepada pendatang baru entah dari mana, Loh Gwo Burne yang bertanding sebagai calon PKR pada PRU 2008.– Gambar Facebook, 8 Mac, 2018.

KERJAYA politik bekas wakil rakyat MCA, Lee Hwa Beng terhenti dipukul tsunami politik 2008, yang hari ini genap 10 tahun, yang pada pandangannya tercetus dek kemarahan kaum India kepada Barisan Nasional (BN).

Sepuluh tahun selepas pilihan raya yang bersejarah itu, Lee melihat belum ada tanda-tanda tsunami pengundi India, yang kemudiannya disusuli oleh tsunami pengundi Cina pada pilihan raya umum berikutnya pada 2013, akan reda.

Malah menjelang pilihan raya umum ke-14 yang diyakini akan diadakan dalam masa 100 hari ini, Lee melihat ada tanda-tanda akan muncul tsunami Melayu yang dimulakan riaknya oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pada PRU 2008 wakil rakyat Subang Jaya selama tiga penggal ini bertanding kerusi Parlimen Kelana Jaya dan kalah kepada pendatang baru entah dari mana, Loh Gwo Burne yang bertanding sebagai calon PKR.

Satu-satunya rujukan pengenalan Loh, beliaulah orangnya yang merakamkan peguam kanan V.K. Lingam mengatur pelantikan hakim, yang kemudiannya membawa kepada penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan diraja.

"Kalau saya tak kalah pada 2008, saya mungkin sudah jadi timbalan menteri," kata Lee dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Beliau menyebut bagaimana Presiden MCA ketika itu, Ong Ka Ting sudah siap sedia untuk memajukan namanya sebagai calon timbalan menteri sekiranya menang kerusi Kelana Jaya seperti yang dijangka.

"Jujur cakap, saya tidak terfikir saya akan kalah," kata Lee.

Beliau bagaimanapun perasan ada tanda-tanda dalam kalangan pengundi yang tidak seakrab dulu bersalaman dengannya dan acuh tak acuh bertegur sapa dengannya.

Pengundi-pengundinya itu kemudian datang menziarahinya secara peribadi untuk memberitahu mereka bukan marah apa-apa dengannya, cuma mereka tidak mengundinya kerana Umno.

Kalah

Mengimbau kembali kekalahan mengejutnya 10 tahun lalu, Lee berkata ada empat faktor yang menyumbangkan kepada berakhir karier politik beliau: tempoh kempen lebih panjang selama 13 hari, penglibatan MCA dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), tunjuk perasaan Hindraf dan video V.K. Lingam.

Sepanjang tempoh kempen 13 hari ini, pembangkang menganjurkan sehingga 10 ceramah di kawasan Subang.

"(Veteran DAP) Lim Kit Siang datang, (ketua umum PKR) Anwar Ibrahim datang. Ceramah ada hampir setiap hari. Mereka bangkitkan isu PKFZ dan mengatakan MCA tunduk kepada Umno dalam BN," katanya.

Lee yakin kalau tempoh berkempen itu lebih singkat, barangkali dia tidak kalah.

MCA menang 15 daripada 40 kerusi parlimen yang ditandingi oleh parti itu pada pilihan raya umum 2008, serta 32 daripada 90 kerusi negeri.

Sebelum itu, MCA selalunya menang lebih separuh daripada kerusi yang ia tandingi di peringkat persekutuan dan negeri dalam semua pilihan raya umum yang ia sertai sejak 1959, kecuali dua kali iaitu pada 1969 dan 1990.

BN tak berubah

Selepas 10 tahun, Lee merasakan rasuah dan penyelewengan masih berakar berumbi dalam BN manakala Umno masih lagi parti yang dominan dalam gabungan yang memerintah itu.

Katanya, apabila dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang antara 2008 hingga 2011, beliau cuba hendak merungkaikan kemelut skandal PKFZ dan meleraikan segala yang kusut.

Bagaimanapun, Lee kemudian dipecat dari jawatannya dalam parti oleh presiden MCA ketika itu, Chua Soi Lek.

Lee yang menulis buku "PKFZ: A Nation's Trust Betrayed bersama seorang bekas wartawan, Lee Swee Lian kemudiannya dibuang dari MCA pada 2013 kerana mengkritik parti.

"Rasuah itu penamat riwayat MCA. Terlalu banyak rasuah sehinggakan senang untuk pembangkang serang.

"Orang tidak suka parti politik yang menguasai parti lain. Orang tidak suka rasuah. Ini semua orang tahu. Tetapi selepas 10 tahun, tak ada yang berubah. Tidak ada," kata Lee, merujuk kepada BN dan MCA.

Perang mulut yang terbaru antara Ahli Majlis Tertinggi Umno, Nazri Abdul Aziz dengan MCA menunjukkan betapa MCA tidak mampu mengekang seorang menteri Umno.

Tsunami Melayu Mahathir

Lee percaya ekor tempias tsunami India pada 2008 dan tsunami Cina pada 2013 yang menyaksikan MCA hilang lebih banyak kerusi parlimen dan negeri tidak akan reda selagi BN tidak menyelesaikan isu penyelewengan dan rasuah.

Beliau memberikan contoh walaupun BN mungkin ada lebih ramai pengikut di media sosial, pembangkang tidak perlu bergantung kepada penyokongnya semata-mata untuk menyebarkan berita yang tidak memihak kepada BN.

Rakyat Malaysia yang bebas yang jelak dengan sikap berlebih-lebih Umno akan melakukannya sendiri, katanya.

Selebihnya beliau percaya Dr Mahathir mampu mencetuskan kocak yang akan bertukar jadi tsunami Melayu pada PRU14 nanti.

Ini kerana orang Melayu ada ikatan yang istimewa dengan bekas perdana menteri itu yang kini memimpin Pakatan Harapan, katanya.

"Dalam pemikiran mereka, pembangunan ekonomi yang pesat di Malaysia ini kerana Mahathir, dapat belajar ke luar negeri kerana Mahathir, semuanya kerana Mahathir," kata Lee.

Beliau percaya tsunami Melayu akan memukul pada 2018, selepas tsunami India pada 2008 dan tsunami Cina pada 2013.

Tiada ulasan: