"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakatan akan menang lima negeri dalam PRU14, kata badan pemikir

Bede Hong

KEDAH, Perak dan Johor akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) selain mendapat kemenangan besar di Selangor dan Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 berikutan tsunami Melayu, kata badan pemikir Invoke berdasarkan kajian.

Dijangka Dewan Negeri Melaka dan Negeri Sembilan akan tergantung, kata pengarah Invoke Rafizi Ramli ketika membentangkan kajian di forum "GE14 Prediction Forum: What The Big Data Tells Us?" Kuala Lumpur malam ini.

Barisan Nasional (BN) pula akan menang bersih di Terengganu dan Kelantan selain mengekalkan kuasa di Pahang.

Manakala PAS tidak akan menang sebarang kerusi persekutuan.

Menurut kaji selidik berasingan terhadap 2,000 responden mendapati sokongan Melayu terhadap BN menurun kepada 28.5% bulan lalu berbanding 41% pada Disember tahun lepas.

Sokongan Melayu terhadap PH naik kepada 14.1% berbanding 9.9% dalam tempoh sama.

Dalam pada itu, jumlah pengundi atas pagar meningkat dari 11.9% kepada 17%.

Jumlah pengundi yang mengelak menjawab parti mana yang akan mereka undi pula kekal pada 22%.

Rafizi mendakwa yang penurunan sokongan pengundi Melayu dengan kadar 6% setiap bulan antara Disember dan Februari itu, hanya pernah berlaku menjelang pilihan raya umum 1999 ketika PAS menawan dua negeri.

“Ini menunjukkan gelombang Melayu (terhadap PH),” katanya.

Di Semenanjung Malaysia, PH dijangka memenangi 89 kerusi Parlimen berbanding BN iaitu 76.

Kaji selidik itu juga menjangka kemenangan besar buat BN di Terengganu, Kelantan dan Perlis. PH pula dijangka menang 15 kerusi DUN Pahang berbanding BN iaitu 27.

“Efek PAS sudah mula nampak di sini. Di negeri pantai timur, efek PAS besar (dalam pertandingan pelbagai tiga penjuru),” kata Rafizi.

Tambahnya, Dewan Undangan Negeri Melaka dan Negeri Sembilan mungkin akan tergantung.

PH dijangka mengekal kuasa di Pulau Pinang dan Selangor. Di Selangor, PH dijangkakan menang 50 kerusi DUN berbanding enam untuk BN.

PH juga diramalkan menang di Johor dengan majoriti dua kerusi DUN, selain di Perak dengan majoriti 5 kerusi DUN.

Kedah turut diramal berada di bawah kekuasaan PH dengan majoriti lapan kerusi DUN.

Bagaimanapun, Sabah dan Sarawak tidak termasuk dalam kaji selidik Invoke ini memandangkan usaha untuk mendapatkan data agak sukar kerana terpecah dalam banyak kumpulan etnik, kata Rafizi.

“Apa yang kami boleh dapat dalam tempoh ini, secara statistiknya tidak cukup bagus. Kami tak tonjolkan mereka dan oleh itu kami tak dapat jangka keputusan untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tambah Rafizi lagi, lebih kurang 35% Melayu adalah “pengundi yang boleh dipujuk yang akan menentukan keputusan pilihan raya.”

Data Invoke dianalisis menggunakan regresi logistik yang melihat kepada hubungan antara angkubah (variables) dan hasilnya, kata Rafizi.

Soalan kaji selidik itu dijalankan secara rawak melalui panggilan-robo (robo-calls). Pelbagai soalan yang telah disediakan awal digunakan dalam kaji selidik itu. Soalan yang lain ditanya bergantung kepada kumpulan strata responden. Sekitar 9% responden menjawab soalan akhir mengenai parti mana yang mereka akan undi dalam pilihan raya nanti.

Tiada ulasan: