"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pertemuan rahsia dengan Mahathir: Saya diaib, dihina - Zahid

Ahmad Zahid Hamidi hari ini bercakap mengenai syarat-syarat "menghukum" yang dikenakan terhadap Umno dan penghinaan yang terpaksa dilaluinya dalam beberapa mesyuarat yang beliau hadiri.

Presiden Umno yang baru menyerahkan kuasa kepada timbalannya Mohamad Hasan berkata semasa mesyuarat pertama yang dirahsiakan itu, beliau bukan sahaja menghadapi penolakan tapi penghinaan.

"Bukan penolakan secara literal tetapi penolakan untuk penghinaan dan juga suata tindakan untuk seolah Umno ini berada di dalam najis mughallazah. Najis ini paling berat sekali, seolah seperti najis binatang-binatang haram," katanya.

Bagaimanapun Zahid tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai pertemuan rahsia yang menjadi misteri itu.

"Ada dua permintaan. Pertama Umno mesti dibubarkan, ahli-ahli Umno mesti melompat ke sebuah parti baru. Ertinya sejarah Umno selama tujuh dekad itu mahu dipadamkan dan oleh kerana kononnya semua rakyat benci kepada Umno. 'Umno rasuah, perompak, penyamun'," kata beliau kepada anggota parti itu dalam suatu majlis dialog di Kuala Lumpur malam tadi.

Zahid memaklumkan dalam pertemuan rahsia itu beliau terpaksa membayar harga yang mahal kerana bertegas Umno tidak boleh dibubarkan.

Beliau memberitahu ketika pertemuan berkenaan berlangsung beliau ialah pemangku presiden Umno.

Jalan lompat tidak afdal

Zahid juga mengimbas kembali kali kedua pertemuan rahsia itu berlangsung yang mana beliau membawa sama timbalan dan naib-naib presiden Umno hadir sama.

"Apabila begitu penghinaan dikenakan kepada kita..rakan dalam majlis tertinggi yang telah beri mandat kepada saya tidak goyah malah sokong pendirian saya tidak afdal jalan untuk kita lompat, untuk kita bubar parti keramat ini.

"Tapi azam saya biar pun kita ditolak, diaibkan, dihina, namun untuk membubarkan Umno... tidak ada dalam kamus politik saya," tegasnya.

Pada 7 Jun lalu, kira-kira sebulan selepas Umno kalah dalam pilihan raya umum ke-14, Zahid telah bertemu dengan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Tiga bulan kemudian, Zahid mengesahkan beliau bertemu Mahathir dua kali, tetapi enggan mendedahkan apa-apa maklumat mengenai mesyuarat tersebut.

Zahid berkata pertemuannya dengan Mahathir telah silap dibaca, membawa kepada tindak balas yang diterima.

Beliau menambah pertemuan itu bukan bertujuan supaya pemimpin-pemimpin Umno melompat parti.

Pakatan Harapan dan sekutunya memenangi 121 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat pada PRU14. Bagaimanapun, Bersatu hanya menguasai 13 kerusi pada masa itu.

Walaupun kehilangan kuasa, Umno memenangi 54 kerusi parlimen, namun kini berkurangan menjadi 38 kerusi selepas pengumuman pemimpinnya keluar parti.

Sekurang-kurangnya tiga bekas ahli parlimen Umno telah menyertai Bersatu.

Tiada ulasan: