"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MKI persetujui konsep Rahmatan lil alamin sebagai dasar baharu pentadbiran Islam di Malaysia

DALIA ISMAIL
Mesyuarat Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan (MKI) telah mempersetujui konsep Rahmatan lil Alamin sebagai dasar baharu dalam pentadbiran Islam di negara ini.

Perkara ini dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf yang berkata, pada masa ini, langkah seterusnya ia perlu dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan kabinet.

“Dalam mesyuarat hal ehwal Islam telah dibawa dan dipersetujui sebagai dasar baharu pentadbiran Islam.

“Kita hanya perlu maklumkan kepada Majlis Raja-raja dan kabinet atas keputusan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah ucapan Yang DiPertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada perasmian Istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama bagi penggal kedua Parlimen Ke-14 pada 11 Mac lepas.

Baginda turut menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan-lil-alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar yang diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia.

Ia seterusnya menjadi model Malaysia iaitu model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar.

Dalam memperkukuh ajaran Islam di negara ini, agama-agama lain perlu dihormati demi keharmonian dan kesejahteraan semua.

Dr Mujahid menambah, bagi beliau titah ucapan Yang Dipertuan Agong itu satu kejayaan awal untuk melihat dasar pentadbiran Islam ini, adalah berpandukan gagasan besar Rahmatan lil alamin termasuk dibawahnya adalah maqasid syariah dan model Malaysia.

Justeru katanya dengan hasrat untuk menganjurkan Solidariti Demi Keamanan dijadualkan pada Sabtu ini, di Dataran Merdeka, akan dapat menyatakan kepada dunia mengenai model Malaysia yang sebenarnya.

“Ini satu aspirasi, juga kita nak bawa perhimpunan ini sebagai satu model Malaysia kepada dunia bahawa kita mempertahankan kedamaian dan kita menolak, kebencian melawan kebencian.

“Kita khuatiri ada pihak yang mungkin akan mengunakan isu ini untuk tujuan merosakkan masyarakat…kita rasa gembira kerana YDP Agong terima ide itu,” ujarnya.

Tiada ulasan: