"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Omar: Mutiara Tok Guru, terus berjuang walaupun dibuang

SYAZMIR HARIZ NOORAZALAN
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, nama Nik Omar Nik Abdul Aziz kurang dikenali oleh rakyat Malaysia. Namun setelah menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Chempaka Kelantan atas logo KEADILAN, nama beliau terus memuncak naik. AMANAH sebagai parti naungan beliau secara tidak langsung dinaikkan oleh beliau dalam persada politik tanah air.

Walaupun ada persepsi buruk yang diwujudkan oleh pihak lawan beliau termasuk isu restu ibunya, namun ia tidak mengganggu gugat beliau meneruskan perjuangan menumbangkan kerajaan kleptokrasi. Malah jika soalan diajukan kepada beliau berkaitan ibu dan adiknya, beliau tetap menjawab dengan tenang dan mengambil jalan tengah agar keadaan tidak dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan.

Penglibatan awal beliau dalam politik sangat menarik untuk diulas. Umum mengetahui beliau merupakan cahaya mata kepada tokoh ulamak yang terkenal di Malaysia iaitu Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Semasa almarhum tok guru masih hidup, beliau hanya memberi tumpuan kepada memimpin Maahad Tahfiz Darul Anuar . Selaku pengetua maahad tersebut, beliau telah memainkan peranan penting untuk membangukan institusi pendidikan agama itu. Disokong oleh kerjasama kerajaan negeri, maahad tersebut berkembang maju.

Setelah perginya almarhum tok guru mengadap ilahi, waris tok guru hanya tertumpu kepada anak almarhum yang masuk kedalam politik lebih awal lagi atau erti kata lain menyertai politik semasa almarhum tok guru masih hidup iaitu Ustaz Nik Abduh. Ramai yang tidak menyangka bahawa Ustaz Nik Omar (UNO) akan menyertai politik. Setelah ura-ura berbunyi bahawa aka nada seorang lagi waris almarhum tok guru yang akan menyertai PRU ke-14 semua teruja dan meramalkan UNO lah orangnya.

Kemunculan beliau bertanding di Kelantan sedikit sebanyak mengganggu fokus parti pemerintah Kelantan untuk menjalankan kempennya. Kehadiran beliau telah menjelmakan semula sifat almarhum tok guru dalam politik Malaysia. Kekuatan PAS di Kelanatan tak mampu digugat secara keseluruhan oleh UNO, tetapi kehadiran beliau telah berjaya mengubah pola undi orang melayu di pantai barat. Sambutan kepada beliau lebih besar di pantai barat berbanding pantai timur.

Kata Pengarah Strategik DAP, YB Senator Liew Chin Tong, strategi memunculkan UNO di saat-saat akhir merupakan strategi yang terbaik merebut undi melayu di pantai barat. Startegi ini dinamakan ‘Teori Angsa Hitam’. Teori tersebut bermaksud, peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba. Peristiwa itu berlaku dengan memberi kesan besar pada keadaan sekeliling. Ternyata teori itu sangat merapati strategi AMANAH memunculkan beliau disaat akhir. UNO mampu menggerakkan undi atas pagar kepada Pakatan Harapan(PH). Peristiwa ini satu peristiwa ulangan dimana almarhum tok guru juga dari sifatnya telah berjaya menarik sokongan atas pagar dan bukan melayu kepada beliau.

Setelah keputusan PRU ke-14 diumumkan, UNO termasuk PH gagal mendapat sebarang kerusi sama ada di Kelantan mahupun Terengganu. Namun, di negeri lain, PH berjaya memenangi kerusi-kerusi tersebut sehingga berjaya merampas kerajaan pusat ditangan regim lama. Selain kerajaan pusat, PH melalui KEADILAN berjaya menawan Kedah, Perak,Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta Sabah melalui WARISAN bimbingan Dato Seri Shafie Apdal. PH juga kekal memerintah Selangor dan Pulau Pinang. Hal ini membuktikan bahawa UNO telah memberikan kesan yang besar kepada PH di negeri selain pantai timur.

Pengalaman politik yang masih awal memberi petunjuk yang jelas nama beliau tidak dicalonkan dalam senarai Jemaah menteri mewakili AMANAH, walaupun beliau dikatakan mampu menggalas AMANAH sebagai menteri hal ehwal agama Islam, tetapi peluang harus diberikan kepada tokoh lain untuk membolehkan UNO mengisi pengalaman politiknya sebelum diangkat ke tempat yang sesuai. Bagi mencengkamkan nilai almarhum tok guru ke arus Malaysia, UNO telah dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia(YADIM). Dengan jawatan tersebut, UNO boleh berperanan lebih besar dalam medan dakwah negara.

Semasa pemimpin YADIM bersama Ustaz Zolkarnain Abidin yang juga Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, beliau selalu menekankan soal perlumbaan melakukan kebaikan atau ‘Fastabiqul Khairat’ seiring dengan firman Allah SWT dalam al-quran yang berbunyi:

“Dan tiap-tiap umat ada kiblatnya(sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah(dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian(pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al-Baqarah, 2: 148)

Kebetulan nilai yang beliau dan AMANAH bawa sama dengan pendekatan yang dibawa oleh Mufti Wilayah ketika itu Dr. Dzulkifli Mohamad Al-Bakri . semasa memimpin, beliau telah mebawa pendekatan yang penuh ramah kepada bukan islam, namun tidak berkompromi dengan usaha-usaha yang melanggar syariah Islam.

Namun pada 16 Julai 2020, Menteri Jabatan Perdana Menteri( Hal Ehwal Agama Islam) telah memaklumkan kepada UNO yang tugas beliau sebagai Yang Dipertua YADIM telah ditamatkan lebih awal. Tiada alasan yang jelas mengapa tugasan beliau ditamatkan awal, namun ia lebih kepada memilih orang yang lebih sesuai mengikut parti yang memerintah. Sedih bila kita melihat bahawa sesetengah parti politik begitu gagah mempersoalkan perlantikan UNO sebagai Yang Dipertua YADIM kerana ia berunsur politik. Namun, setelah parti tersebut menjadi kerajaan, mereka juga melantik orang politik di posisi tersebut. Adakah tindakan tersebut haram bagi pihak lain, tetapi halal bagi mereka?

Lebih menyedihkan, jika benar ini merupakan tindakan politik semata-mata, ummah Malaysia telah kehilangan sebutir mutiara tok guru yang telah menyinar luas dalam dunia dakwah. Tindakan tersebut telah menyekat kemaraan UNO dalam berdakwah kepada masyarakat. Sedang nilai yang beliau bawa sesuai dengan kedudukan negara kita yang mempunyai kaum yang pelbagai. Gaya almarhum tok guru berdakwah ada UNO dan ia harus di arus perdanakan.

Namun sosok pendakwah yang mempunyai aura tok guru ini tetap bersabar dalam menghadapi ujian yang dihadapi. Malah beliau akan terus diangkat sebagai pendakwah yang akan mengukuhkan AMANAH di mata masyarakat.


Penulis adalah AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor
Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak

Tiada ulasan: