"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Faktor Mahathir-Anwar ibarat kain tak cukup panjang

ZAKARIA MUSA
Walaupun Bersatu Hitam sudah terkeluar daripada kerjasama longgar Pakatan Harapan (PH), namun Parti Amanah Negara (AMANAH) dan juga DAP seperti terus menjalin hubungan dengan kelompok penyokong Dr Mahathir Mohamad itu.

AMANAH dan DAP menunjukkan isyarat untuk terus berusaha merebut kembali Putrajaya selagi peluang masih terbuka, sedangkan sekutu mereka, PKR, bagai berpatah arang.

Mahathir pula dilihat memutuskan hubungan dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan terus membuat serangan terbuka selepas beberapa opsyen perdana menteri gagal mendapat persetujuan dan mencapai hasilnya.

Timbul kemusykilan, mampukah “cukup bilang” dicapai jika Mahathir dan Anwar terus bertelingkah, dan lebih buruk sekiranya koalisi baharu terpaksa dibentuk. PKR mempunyai hampir 40 Ahli Parlimen, satu angka yang cukup besar di kala Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri hanya mempunyai majoriti sokongan yang begitu tipis, sekitar dua hingga tiga undi sahaja.

Mahathir pula, meskipun sekadar membawa lima wakil rakyat daripada Bersatu Hitam, beliau dikira boleh mempengaruhi lebih ramai ahli Parlimen untuk bersamanya.

Paparan undian semasa usul Perdana Menteri menyingkirkan Speaker Dewan Rakyat baru-baru ini menunjukkan kedudukan Muhyiddin Yassin terus tidak stabil. Ramai syak dengan bilangan sokongan yang diperolehinya ketika pintu Istana Negara ditutup buat Mahathir, hujung Februari lalu.

Dengan segala usaha “menambat kesetiaan” wakil rakyat melalui tawaran pelbagai jawatan, Muhyiddin sekadar memperolehi undi “cukup-cukup makan” sahaja. Maka boleh dibayangkan proses melobi dan membeli sokongan akan berterusan, yang memungkinkan fokus lebih utama membangun dan memulihkan negara akan terabai dengan teruk.

Rekod empat bulan kerajaan Perikatan Nasional (yang dibentuk atas kepentingan sempit) mentadbir tanpa hala tuju yang jelas cukup membimbangkan. Tiga komponen utama — Bersatu, Umno dan Pas — memperalatkan kuasa serta kedudukan untuk memperkukuh pengaruh bagi melonjakkan diri sebagai parti Melayu paling kuat menjelang PRU15.

Ketiga-tiganya saling bersaing dan masa sama cuba menjatuhkan secara halus. Kepentingan rakyat dan masa depan negara dipertaruhkan. Penggubalan polisi dan dasar penting terabai.

Situasi tidak stabil ini dijangka berterusan. Komposisi pemerintah dan pembangkang yang hampir setara itu, daripada satu segi, akan memungkinkan elemen sogokan membeli atau menambat sokongan seperti tiada kesudahan.

Justeru, terdapat pandangan popular yang menyarankan agar “permainan kuasa” ini segera ditamatkan dengan pembubaran Parlimen, membolehkan PRU15 berlangsung.

Namun begitu, selain belanja besar mengadakan pilihan raya umum, banyak lagi persoalan berbangkit. Pandemik Covid-19 belum berakhir. Kita juga mungkin berdepan protes senyap pengundi yang bosan dengan karenah elit politik yang mengkhianati mandat rakyat dua tahun lalu. Pemilih masih terasa penat beratur panjang di tengah panas, 9 Mei 2018.

Isu berterusan Mahathir-Anwar dilihat mungkin mengundang protes senyap pengundi.

Dijual beli

Siapa boleh beri jaminan “langkah pengkhianatan” tidak boleh berulang lagi? Dijangka PRU15 mungkin mengheret keputusan hampir sama, tiada gabungan parti yang menang besar.

Tiada lagi majoriti selesa dua pertiga. Aksi lompat parti berterusan. Lebih buruk usaha membeli sokongan bagi membentuk kerajaan akan berterusan. Sebenarnya, tanpa majoriti dua pertiga pentadbiran kerajaan menjadi lebih transparen dan bertanggungjawab; proses semak-imbang boleh berjalan dengan baik.

Justeru, dikhuatiri ramai pengundi terutama anak-anak muda tidak lagi menghormati proses demokrasi. Mereka merasakan mandat rakyat dalam pilihan raya boleh dijual beli menurut selera dan kepentingan ahli-ahli Parlimen. Mereka sudah melihat parti yang menang dalam PRU14 menjadi pembangkang, manakala parti yang kalah menjadi kerajaan.

Ahli-ahli politik dilihat hilang integriti dan hanya memikirkan soal kepentingan diri dan kelompok. Mereka menjadikan undi rakyat sebagai bahan komoditi untuk tawar-menawar demi mengecap keuntungan jangka pendek.

Segala janji manis dan komitmen perjuangan hanya berkumandang semasa kempen pilihan raya. Tiada segan-silu untuk mengkhianati mandat rakyat dan sanggup meruntuhkan kerajaan pilihan ramai.

Rakaman audio yang dipercayai suara Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat terakhir Bersatu, sebelum keluar PH, lagi menimbulkan kekeliruan masyarakat umum. Melalui audio yang tular itu, Muhyiddin mengemukakan perancangan untuk membuat tawaran (sogokan) kepada ahli-ahli Parlimen Umno agar menyertai Bersatu menubuhkan kerajaan baharu dengan menjanjikan jawatan pentadbiran dan pengerusi GLC. Tujuannya agar Bersatu menjadi parti Melayu terbesar yang menguasai kerajaan.

Namun, mesej lebih ketara adalah aktiviti membeli sokongan menyebabkan kerajaan PH tumbang dan ini jelas satu penyalahgunaan kuasa dan amalan korupsi. Langkah Sheraton dilihat sarat elemen rasuah.

Difahamkan laporan polis dan aduan SPRM telah dibuat mengenai audio mirip suara Muhyiddin itu. Dalam perbahasan di Parlimen, wakil DAP juga membangkitkannya dan cuba memperdengar rakaman berkenaan tetapi dihalang Speaker.

Presiden Bersatu itu pernah mendakwa tidak suka “bermain politik” atas alasan rakyat sudah muak, tetapi beliau pula dilihat memperalat kuasa sewenang-wenangnya demi jawatan perdana menteri. Khalayak semakin rasa diperbodoh dengan gelagat politikus kita.

Sementara orang ramai menyaksikan hala tuju dan pentadbiran negara diuruskan mengikut warisan regim Barisan Nasional dan usaha pembaharuan yang dibawa PH telah terhenti, harapan mereka agar mandat rakyat dimartabat menjadi pudar apabila dua tokoh utama pembangkang, Mahathir-Anwar terus bercelaru menentukan sikap politik.

Perikatan Nasional (PN) jelas rapuh dan berselisih pandangan. Mereka hanya diikat dengan kepentingan politik masing-masing. Tidak sukar untuk diduga hubungan tegang itu bertambah parah apabila proses rundingan kerusi bermula.

Penyokong PH (kini di posisi pembangkang) ternyata kecewa, bukan sahaja di atas keruntuhan kerajaan akibat pengkhianatan dan kegagalan menguruskan pertelingkahan sesama sendiri, tetapi hubungan dingin itu tambah parah meskipun selepas terkeluar dari Putrajaya. PH sepatutnya diperkukuh untuk merebut kembali kuasa yang dirampas, malangnya ia semakin goyah dan retak menanti belah.

Pelbagai opsyen dikemukakan bagi mencari formula terbaik mencapai “cukup bilang” tetapi semuanya gagal merumuskan kesepakatan. Pertemuan dan rundingan berterusan; harapan dan impian indah dibayangkan.

Konspirasi 1998

Realitinya Muhyiddin masih kekal berkuasa. Mahathir dan Anwar terus berada di hujung kutub yang bertentangan. Sesekali sindiran yang melukakan dilemparkan, manakala penyokong masing-masing tetap serang-menyerang, balas-membalas, ungkit-mengungkit. Perdamaian hanya retorik.

Saya perhatikan, ada pendukung tegar Anwar yang sudah hilang kepercayaan kepada Mahathir. Apa juga aksi dan gerak bekas perdana menteri ketujuh itu akan ditafsirkan secara negatif. Sehingga sampai ke satu tahap Mahathir dianggap seteru utama Anwar; seolah-olah misi terbesarnya adalah untuk menggagalkan Presiden PKR itu daripada menjadi perdana menteri.

Tidak hairanlah jika Mahathir terus ditohmah sebagai arkitek utama kejatuhan kerajaannya sendiri, demi menghalang janji 7 Januari 2018 ditunaikan. Seolah-olah konspirasi 1998 berterusan. Lebih buruk Mahathir juga dituduh ingin menghancurkan PH dan menggagalkan agenda reformasi.

Mungkin itulah sebabnya apa jua opsyen melibatkan Mahathir sebagai perdana menteri kesembilan akan ditolak mentah-mentah oleh Anwar dan pengikutnya walaupun tempoh dihadkan kepada enam bulan sahaja. Syak wasangka terhadap Mahathir begitu tinggi.

Kem Anwar lebih bersedia untuk melupakan hasrat merebut kuasa yang dirampas Mac lalu itu sedangkan sekutunya dalam PH, iaitu DAP dan AMANAH dilihat masih belum berputus asa untuk mengembalikan mandat rakyat.

“Kenapa kita harus tolak peluang jika ruang masih terbuka untuk tamatkan pemerintahan pintu belakang Muhyiddin? Keputusan undian Speaker Dewan Rakyat membuktikan jika kena gayanya, sekiranya calon PM kita boleh tarik sokongan empat atau lima lagi ahli Parlimen, maka kerajaan baru dapat dibentuk. Kami percaya Mahathir boleh melakukannya, terutama mempengaruhi MP dari Borneo dan juga Bersatu,” kata seorang penyokong kuat Mahathir.

Timbul persoalan, bukankah lebih baik PH beri fokus kepada persiapan PRU15 daripada disibukkan dengan polemik berterusan siapa calon PM dan usaha merampas balik Putrajaya?

Jawab saya mudah, agenda perkukuh jentera pilihan raya sentiasa menjadi keutamaan. Malah, berakhir saja PRU14 dua tahun lalu, persiapan PRU15 sudah pun bermula. Cuma dalam skala kecil.

Manakala soal rundingan, perbincangan dan lobi memartabatkan semula mandat rakyat, atau mengumpul sokongan mencukupi ahli-ahli Parlimen, hanya melibatkan pemimpin tertinggi PH dan tak perlu riuh-rendah pun.

Pelik juga apabila politikus pembangkang bersikap acuh tak acuh dengan usaha membentuk kerajaan baru itu. Peluang yang datang mungkin terlepas begitu sahaja jika asyik berdebat “apa yang kami dapat” jika ditumbangkan pentadbiran Muhyiddin-Azmin.

Prioriti paling penting adalah kembali berkuasa bagi meneruskan agenda reformasi yang tertangguh atau terhenti sejak hujung Februari lalu. Lebih buruk apabila tradisi lama warisan rejim Umno-BN kembali diamalkan. Ia tidak pelik kerana Umno mempunyai wakil paling ramai dalam PN.

Selain itu, sektor awam sudah terbiasa dengan Umno yang menunjangi pemerintah selama 60 tahun. Semasa pentadbiran PH sering dimomokkan isu “daulah terpendam”, apabila kerajaan tebuk atap ditegakkan, rasanya isu “deep state” tidak timbul lagi. Muhyiddin pula, walaupun menteri kanan zaman PH, langsung tidak mengemukakan apa-apa wawasan atau polisi berelemen reformasi.

Malah, pentadbirannya tidak dipandu manifesto dan komitmen politik. Sebahagian besar menterinya pun tidak dikenali umum. Muhyiddin sendiri hanya muncul di kaca televisyen melalui perutusan khas; tiada sidang akhbar yang dapat menjelaskan misi besar perdana menteri.

Naik muak

Apabila Mahathir bersedia mengundur diri daripada pencalonan perdana menteri, dan nama Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal muncul, diharapkan kemelut lama dapat dijernihkan. Rupa-rupanya tidak. PKR tidak berganjak, malah mampu mempengaruhi DAP dan AMANAH untuk menyokong Anwar.

Mahathir meluahkan rasa kecewa kerana dakwanya, yang mencadangkan nama Shafie adalah DAP sendiri. Mahathir bertegas dengan pendiriannya bahawa Anwar tidak mampu meraih sokongan mencukupi.

Tambah Mahathir, wakil rakyat yang menyokongnya pun tidak bersedia untuk bersama Anwar. Justeru, tiada kata sepakat dapat dicapai. Ibarat kain tidak cukup panjang, tutup kaki terdedah kepala, tutup kepala terbuka kaki.

Kepada masyarakat umum, mereka mungkin naik muak dan bosan dengan permainan kuasa elit politik ini. Tambahan pula negara dilanda wabak Covid-19 yang berimpak serius terutama kepada ekonomi rakyat.

Pengangguran melonjak, pekerjaan terjejas teruk. Pilihan raya era koronavirus mengundang risiko besar. Di pihak PN pula, Muhyiddin masih dalam dilema untuk menbubarkan Parlimen; persefahaman tiga parti Melayu — Bersatu, Umno dan Pas — sukar mencari titik temu. Nasib dan masa depan partinya, Bersatu terawang-awang.

Kita harus bergerak dalam ruang yang tidak lagi terbelit dengan faktor Mahathir atau Anwar. Parti yang menang dalam PRU14 perlu segera kembali memulihkan negara. Ini bukan soal tamakkan kuasa atau tidak sanggup pikul tanggungjawab sebagai pembangkang berkesan.

Menyanjung pilihan pengundi dan memastikan demokrasi serta proses pilihan raya terus dihormati. Sebarang aksi rampasan kuasa harus ditolak dengan bersungguh-sungguh. Mahathir dan Anwar perlu bersemuka empat mata merungkai kekusutan pembangkang.

Jangan sampai anda berdua dikenang sejarah punca negara terperangkap dalam krisis tiada berkesudahan. Hayati semangat korban menjelang Aidiladha ini.

Mahathir dan Anwar perlu bersemuka empat mata merungkai kekusutan pembangkang.

Tiada ulasan: