"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Salur wang Jakim kepada Pasti: Pas tiada beza dengan Umno

Malaysia Dateline

Tindakan Timbalan Menteri (Agama) menyalurkan wang Tabung Musaadah Jakim terus kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang dimiliki oleh Pas dikesali dan didakwa ia tidak jauh beza dengan cara Umno.

“Wang cukai yang dibayar oleh rakyat, namun digunakan untuk kepentingan parti sendiri.

“Tindakan ini tidak jauh beza dengan cara UMNO membina kekayaan pemimpin dan parti menggunakan wang negara,” kata Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Timbalan Menteri (Agama), Ahmad Marzuk Shaary menyerahkan cek bernilai RM100,000 kepada Pasti yang diterima oleh Sharhan Humaizy Halim dan rakan-rakannya baru-baru ini.

Ekoran itu, ia disahkan boleh oleh menterinya, Datuk Dr Zulkifly Al Bakri.

“Pemuda AMANAH sudah pun menjangkakan respon positif daripada YB Menteri Agama dalam pemberian sumbangan kepada sekolah Pasti yang dimiliki penuh oleh Pas,” kata Shazni dalam satu kenyataannya.

Bagi beliau, sekiranya Pasti layak mendapat bantuan tersebut, seharusnya sumbangan itu turut disalurkan kepada mana-mana tadika milik swasta yang lain.

“Tempoh perintah kawalan pergerakan selama lebih 3 bulan amat memberikan kesan yang mendalam kepada semua tadika swasta di Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, ada tadika yang langsung tidak menerima sebarang yuran bulanan sedangkan mereka harus menanggung kos operasi seperti biasa.

Gaji guru perlu terus dibayar dan bayaran sewa harus diselesaikan tepat pada waktunya juga.

“PN bolehlah berhujah dengan alasan pengusaha tadika swasta mendapat pelbagai insentif daripada kerajaan seperti Program Subsidi Upah (PSU), Program Pengekalan Pekerjaan (ERP), Geran Khas Prihatin (GPK), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) atau kemudahan pinjaman perniagaan tanpa faedah.

“Tetapi mengapa Pasti mendapat ‘keistimewaan’ ini?” tanya beliau kesan dengan tindakan seolah-olah menyalurkan wang rakyat kepada kantung parti sendiri itu.

“Kami percaya ianya bukan dipilih berdasarkan kepada kelayakan semata-mata, tetapi agensi atau pihak manakah yang mempunyai kepentingan dan akses terus dengan pejabat menteri.

“Justeru, tidaklah menghairankan kerana Timbalan Menteri Agama sendiri adalah Ahli Parlimen Pas,” katanya.

Tiada ulasan: