"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi pemimpin Pas kalah saman fitnah bayar RM100,000

MALAYSIA DATELINE

Selepas Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Ketua Pemuda Pas Selangor, Syarhan Humaizi, giliran bekas ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin pula kalah saman fitnah.

Mohamed Hafiz hari ini gagal mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap perintah membayar ganti rugi RM100,000 kepada peguam, Eric Paulsen dalam tuntutan kes saman fitnah terhadapnya.

Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed, yang mempengerusikan panel tiga hakim, menolak permohonan kebenaran untuk merayu dikemukakan oleh Mohamed Hafiz.

Panel hakim yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh dan Vernon Ong Lam Kiat itu memberikan alasan persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh Hafiz gagal memenuhi kehendak Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Hafiz Mohamed Nordin
Lapor Bernama, panel itu juga mengarahkan Mohamed Hafiz yang juga aktivis NGO Jalinan Muslimin Pulau Pinang membayar kos sebanyak RM10,000.

Susulan keputusan itu, mahkamah turut mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 4 Julai 2018 yang mengarahkan Mohamed Hafiz membayar ganti rugi tersebut kepada Paulsen yang ketika itu merupakan pengarah eksekutif ‘Lawyers For Liberty’.

Sebelum itu, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) memfailkan saman fitnah RM3 juta terhadap Paulsen pada 2 Sept 2015 selepas peguam itu mengeluarkan kenyataan fitnah melalui laman Twitter @EricPaulsen101 pada 9 Jan 2015.

Pada 22 Oktober 2015, Paulsen memfailkan saman balas terhadap pertubuhan itu dan Mohamed Hafiz sebagai defendan pertama dan kedua berhubung penerbitan satu artikel berjudul ‘Jangan biar Eric Paulsen bebas tanpa perbicaraan’ bertarikh 9 Februari 2015 di laman web Isma.

Bagaimanapun, Isma menarik balik saman itu selepas berpuas hati dengan penjelasan Paulsen mengenai kenyataannya yang didakwa mengaitkan pertubuhan itu sebagai kumpulan ekstremis.

Paulsen turut menarik balik saman balas terhadap Isma. Bagaimanapun, ia tidak membabitkan Mohamed Hafiz.

Peguam Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamarudin mewakili Paulsen manakala Mohamed Hafiz oleh Hasnal Rezua Merican.

Pada 3 Februari lalu, Razman diperintahkan oleh mahkamah membayar RM254,150 kepada Nizar kerana memfitnah melalui kenyataan yang disiarkan akhbar Sinar Harian bertarikh 2 Jun 2015 melalui rencana bertajuk “Pendekatan Nizar mirip DAP”.

Selanjutnya pada 26 Februari lalu, Syarhan pula diperintahkan bayar oleh mahkamah RM80,000 kepada wakil rakyat DAP, Teresa Kok Suh Sim kerana fitnah anti-Islam melalui akaun Facebook tahun lalu.

Tiada ulasan: