"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MASALAH LEMAH SYAHWAT DAN MATI PUCUK DI KALANGAN PESAKIT DIABETES

Dr Norman Mohd Norawi

Diabetes Mellitus atau penyakit kencing manis adalah penyakit kronik yang utama berlaku dalam masyarakat kita di Malaysia sekarang. Berdasarkan statistik pada tahun 2019, jumlah penduduk Malaysia yang menghidap diabetes adalah 18.3% iaitu hampir 4 juta orang.

Diabetes adalah akibat pengambilan karbohidrat berlebihan seperti makanan proses dan bergula tinggi. Gaya hidup yang kurang sihat seperti tidak bersenam, merokok dan stres berlebihan juga menyumbang kepada masalah ini.

Kajian menunjukkan, pesakit diabetes selalu mengalami masalah lemah syahwat iaitu masalah tiada nafsu untuk melakukan hubungan seks atau kurang libido dan juga masalah tidak berkemampuan melakukan hubungan seks seperti mati pucuk.

PUNCA MASALAH MATI PUCUK DAN KEROSAKAN SARAF

Kajian sains terbaru menunjukkan, 60-65% pesakit kencing manis lelaki mempunyai masalah mati pucuk iaitu masalah mencapai ketegangan zakar atau masalah tidak mampu mengekalkan ketegangan zakar. Ia sangat biasa berlaku dikalangan pesakit diabetes. Ia nya berpunca dari saluran darah ke zakar menjadi sempit akibat pengerasan saluran darah iaitu atherosklerosis kerana kadar gula dalam darah yang tinggi.

Disamping itu, punca utama gangguan nafsu syahwat dan mati pucuk adalah berkaitan dengan masalah hormon testosteron yang rendah dan gangguan hormon lain yang sangat mudah berlaku kepada pesakit diabetes.

Kerosakan saraf atau neuropathy akibat diabetes berlaku kerana paras glukosa yang tinggi dan juga kerana keradangan pada dinding saluran darah halus yang rosak (microangiopathy) akan menyebabkan saraf tidak mendapat bekalan oksigen dan nutrien yang secukupnya. Akibat kerosakan saraf ini maka isyarat dari otak gagal sampai ke zakar yang menyebabkan ianya tidak menegang apabila berlaku stimulasi seksual.

Saluran darah yang menyempit kerana faktor atherosklerosis menyebabkan aliran darah yang lemah dan kurang untuk menegangkan zakar dan mengekalkan ketegangan zakar dengan lebih lama. Kajian mendapati, pesakit kencing manis adalah lebih mudah mendapat masalah penyempitan saluran darah akibat atherosclerosis ini.

Kebiasaannya , pesakit kencing manis juga mengalami masalah tekanan darah tinggi yang menambahkan lagi penyempitan saluran darah. Terdapat juga beberapa jenis ubat darah tinggi yang mempunyai kesan sampingan yang menyebabkan masalah mati pucuk ini seperti ubat Beta Blocker & hydrochlorothiazide .

Pesakit kencing manis yang tidak mengambil rawatan dengan betul dan mempunyai masalah gula yang tidak terkawal juga menyebabkan berlakunya kekurangan bahan ‘nitrik oksida’ yang membantu dalam proses menenangkan zakar. Paras gula yang tinggi juga mengurangkan nafsu syahwat atau libido. Mengawal paras gula dengan lebih baik dengan mengikut nasihat doktor maka masalah ini boleh di kurangkan kerana paras gula yang terkawal akan mengembalikan nafsu syahwat tadi.

Terdapat juga pesakit kencing manis menghadapi masalah ‘pancutan berbalik’ (retrograde ejaculation) kerana kerosakan pencerut pada leher pundi kencing. Kerosakan ini berlaku kerana saraf yang mengawal pencerut ini rosak akibat paras gula yang tinggi dalam darah dikalangan pesakit kencing manis. Masalah ini boleh menyebabkan kemandulan dikalangan pesakit kencing manis lelaki.

GANGGUAN SYAHWAT LELAKI

Kajian juga menunjukkan nafsu syahwat menurun kerana paras hormon testosteron adalah rendah. Ini adalah kerana paras insulin yang tinggi akan menyebabkan paras testosterone menurun. Oleh kerana itu, kebanyakan pesakit kencing manis mempunyai masalah perut buncit, otot mengecut dan lemah yang merupakan tanda luaran kekurangan hormon testosteron ini.

Terdapat juga ubat-ubatan tertentu yang boleh menyebabkan masalah gangguan syahwat lelaki seperti ubat hypertensi , ubat diabetes , ubat anti prostat dan ubat anti kolesterol.

Menurunkan berat badan , pengawalan gula yang lebih baik dan bersenam dengan lebih kerap akan membantu meningkatkan paras hormon testosteron. Doktor boleh memberikan rawatan hormon gantian testosteron untuk membantu masalah ini dan anda perlu

berjumpa doktor untuk membantu anda mendapatkan rawatan ini .
Pemakanan sihat yang tinggi lemak sihat dan makanan asli berprotin tinggi juga boleh membantu meningkatkan paras testosteron lelaki.

GANGGUAN SYAHWAT WANITA

Bagi wanita juga akan menghadapi masalah kurang nafsu syahwat apabila mengidap penyakit kencing manis akibat gangguan hormon testosterone. Nafsu syahwat juga di pengaruhi oleh hormon testosteron walaupun kepada kaum wanita.
Di samping itu, pesakit diabetes wanita akan menghadapi masalah kekeringan faraj, sakit semasa bersetubuh, susah mencapai orgasma dan tidak bernafsu jika paras gula tinggi dan tidak terkawal.

Masalah kekeringan faraj adalah kerana pengaliran darah yang tidak lancar ke faraj akibat penyempitan saluran darah iaitu masalah atherosklerosis.

Bagi wanita yang menghadapi masalah kekeringan boleh menggunakan gel pelincir. Rawatan dengan krim estrogen atau pessari boleh diberikan oleh doktor. Wanita yang menghadapi masalah sakit semasa bersetubuh mungkin adalah kerana jangkitan kulat candida pada faraj dan rawatan anti kulat akan membantu dalam masalah ini.

RAWATAN UNTUK MASALAH MATI PUCUK

Rawatan dengan ubat-ubatan boleh diberi oleh doktor dengan ubat seperti sildenafil, taladafil dan vardenafil telah membantu mengatasi masalah mati pucuk dikalangan pesakit, tetapi anda perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambilnya.

Elakkan mengambil ubat-ubatan herba yang di jual di pasaran yang tidak mendapat pengesahan dan pendaftaran daripada KKM kerana di khuatiri mengandungi bahan-bahan terlarang dan merbahaya.

Pesakit diabetes yang mengalami masalah kurang hormon testosteron boleh mendapatkan rawatan hormon gantian dengan doktor .

Terdapat beberapa jenis herba seperti Tongkat Ali telah di kaji menunjukkan ianya mempunyai kesan positif meningkatkan paras testosterone di kalangan lelaki dan wanita .

Mengubah gaya hidup kepada gaya hidup yang lebih sihat dengan bersenam dan meninggalkan tabiat buruk seperti merokok boleh membantu mengurangkan masalah mati pucuk dikalangan pesakit diabetes.

Pesakit kencing manis wanita yang mempunyai paras gula yang tidak terkawal akan hilang nafsu seks kerana paras gula yang turun naik akan mengakibatkan rasa lesu dan tidak bermaya. Pengawalan gula yang lebih stabil dan meningkatkan paras hormon akan mengembalikan nafsu syahwat ke paras yang normal.

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI),
MNM(ACNEM), FAGE

Rujukan:

1. Mathis Grossmann, Low Testosterone in Men with Type 2 Diabetes: Significance and Treatment, The Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism, Volume 96, Issue 8, 1 August 2011, Pages 2341–2353, https://doi.org/10.1210/jc.2011-0118
2. https://www.diabetes.co.uk/diabetes-erectile-dysfunction.html
3. https://www.webmd.com/erectile-dysfunction/guide/blood-pressure-medication-and-ed#1
4. Fernández-Miró M, Chillarón JJ, Pedro-Botet J. Déficit de testosterona, síndrome metabólico y diabetes mellitus [Testosterone deficiency, metabolic syndrome and diabetes mellitus]. Med Clin (Barc). 2016;146(2):69-73. doi:10.1016/j.medcli.2015.06.020
5. Joseph P, Lonn E, Bosch J, et al. Long-term Effects of Statins, Blood Pressure-Lowering, and Both on Erectile Function in Persons at Intermediate Risk for Cardiovascular Disease: A Substudy of the Heart Outcomes Prevention Evaluation-3 (HOPE-3) Randomized Controlled Trial [published correction appears in Can J Cardiol. 2018 Jun;34(6):811]. Can J Cardiol. 2018;34(1):38-44. doi:10.1016/j.cjca.2017.09.026
6. Shao N, Yu XY, Yu YM, et al. Short-term combined treatment with exenatide and metformin is superior to glimepiride combined metformin in improvement of serum testosterone levels in type 2 diabetic patients with obesity. Andrologia. 2018;50(7):e13039. doi:10.1111/and.13039
7. Hackett G, Heald AH, Sinclair A, Jones PW, Strange RC, Ramachandran S. Serum testosterone, testosterone replacement therapy and all-cause mortality in men with type 2 diabetes: retrospective consideration of the impact of PDE5 inhibitors and statins. Int J Clin Pract. 2016;70(3):244-253. doi:10.1111/ijcp.12779
8.

Kostis JB, Dobrzynski JM. Statins and Erectile Function. Can J Cardiol. 2018;34(6):813.e5. doi:10.1016/j.cjca.2018.02.014F
9. Baspınar O, Bayram F, Korkmaz S, et al. The effects of statin treatment on adrenal and sexual function and nitric oxide levels in hypercholesterolemic male patients treated with a statin. J Clin Lipidol. 2016;10(6):1452-1461. doi:10.1016/j.jacl.2016.09.004
10. Cunningham GR, Stephens-Shields AJ, Rosen RC, et al. Testosterone Treatment and Sexual Function in Older Men With Low Testosterone Levels. J Clin Endocrinol Metab. 2016;101(8):3096-3104. doi:10.1210/jc.2016-1645
11. Saad F. Androgen therapy in men with testosterone deficiency: can testosterone reduce the risk of cardiovascular disease?. Diabetes Metab Res Rev. 2012;28 Suppl 2:52-59. doi:10.1002/dmrr.2354
12. Henkel RR, Wang R, Bassett SH, et al. Tongkat Ali as a potential herbal supplement for physically active male and female seniors--a pilot study. Phytother Res. 2014;28(4):544-550. doi:10.1002/ptr.5017
13. Talbott SM, Talbott JA, George A, Pugh M. Effect of Tongkat Ali on stress hormones and psychological mood state in moderately stressed subjects. J Int Soc Sports Nutr. 2013;10(1):28. Published 2013 May 26. doi:10.1186/1550-2783-10-28

Tiada ulasan: